PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan negara termasuk kawasan perairan yang kini masih menjadi pertikaian hak milik beberapa pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kawasan pertikaian melibatkan lautan dipercayai merujuk kepada blok Ambalat itu akan dipertahankan sebaik mungkin dalam usaha memelihara kedaulatan negara.
"Perbatasan terutama kawasan lautan masih ada pertindihan tuntutan dan InsyaAllah kita akan pertahankan setiap inci bumi Malaysia ini," katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2023 hari ini.
Perdana Menteri dipercayai merujuk kepada isu blok Ambalat yang masih lagi dalam proses tuntutan melibatkan beberapa pihak.
Jun lalu, kerajaan pimpinan Anwar telah menandatangani perjanjian persempadanan maritim, melibatkan Malaysia-Indonesia.
Namun perjanjian tersebut tidak melibatkan kawasan blok Ambalat seperti yang didakwa beberapa pihak.
Blok Ambalat melibatkan kawasan perairan berkeluasan kira-kira 15,000 kilometer persegi di tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah.
Kawasan itu dikatakan mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan dipertahankan Malaysia sejak sekian lama.
Dalam ucapan yang sama, Anwar berkata bahawa kerajaan akan memastikan kedaulatan negara terjamin bawah pemerintahannya.
Beliau menambah, perkara ini akan dapat dilaksanakan dengan bantuan dan kekuatan pertahanan negara yang menjadi benteng mempertahankan Malaysia.
"Tetapi cabaran bagi kita ialah sebagai mengekalkan keamanan dan kemerdekaan kerana tentunya belum terjamin tanpa kekuatan pertahanan tentera dan polis.
"Sepertimana pengalaman kita menghadapi gerombolan pengganas di Lahad Datu, sebelumnya cabaran konfrontasi Indonesia dan ancaman gerombolan komunis dari Parti Komunis Malaya.
"Alhamdulillah kita dapat tanganinya dengan baik, walaupun bibit-bibit kecil sepertimana berlaku di Lahad Datu baru-baru ini, masih berlaku," katanya. – Getaran, 30 Ogos 2023

