PUTRAJAYA - Di sebalik deruan jet dan pesawat, suara penyampai komentar pertunjukan udara pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang bergema di Dataran Putrajaya pastinya turut menggamatkan suasana.
Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapt Nur Nadhirah Nazri, 29, yang pertama kali diamanah menyumbangkan suara bagi menyampaikan komentar semasa pertunjukan itu berkongsi rasa bangga dan terharu dengan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
"Saya hanya berbekalkan pengalaman saya sebagai 'commentator' pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2023) yang lepas, saya tidak mendapatkan latihan formal sebelum ini, saya sahut cabaran (untuk menyampaikan komentar).
"... walaupun sedikit gemuruh kerana membawa nama TUDM tetapi saya yakin dengan kebolehan dan kerjasama antara semua elemen (pihak) seperti elemen air dan elemen ground yang akan memaklumkan waktu sasaran, itu akan membuatkan ia lebih mudah sebab kita boleh anggar masa untuk penyampaian komentar," katanya.

Bagi Kapt Aslam Hairi Abdul Rashid, 33, yang digandingkan dengan Nur Nadhirah, beliau berkata penyampai komentar berperanan penting dalam menyampaikan komentar yang bertepatan dengan pertunjukan dan situasi semasa di lokasi.
"Harapan saya setiap apa maklumat dan komentar yang saya berikan selari dan diisi dengan fakta-fakta yang sepatutnya rakyat tahu, sebab mungkin rakyat kurang arif dengan aset-aset yang dimiliki negara.
"Dengan adanya pertunjukan udara ini dan penyampaian komentar pada masa yang sama, sekurang-kurangnya orang ramai yang hadir sedikit sebanyak di samping berasa teruja, mereka juga memperoleh maklumat bermanfaat mengenai aset pertahanan negara," katanya yang berpengalaman menyampaikan komentar pertunjukan udara pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Kuala Lumpur.
Sementara itu, pengacara Jovenea Jim Lajim yang telah berkecimpung dalam industri pengacaraan selama 10 tahun turut membuat kemunculan semula pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini selepas kali akhir mengacarakan sambutan itu, tujuh tahun lepas.
Beliau yang 'terbang' dari Kota Kinabalu, Sabah berbangga menjadi sebahagian daripada tenaga kerja yang gigih menjayakan sambutan hari bersejarah negara, dan menyifatkannya sebagai peluang keemasan untuk berkolaborasi dengan rakan pengacara di Semenanjung, sekali gus menyuntik semangat patriotik.
"Sambutan ini adalah untuk kita terus menyemarakkan semangat kita memperingati dan menghargai tanah air kita, dan satu perkara yang penting ialah Hari Kebangsaan ini adalah untuk kita semua, rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak meraikan penyatuan ini," katanya yang turut digandingkan dengan pengacara Terrence Dass dan Syuhaida Ariffin.
Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos.
Ini kali kelima sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya.
Sebelum ini, Putrajaya menjadi lokasi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.
Dianggarkan bilangan pengunjung akan menjangkau 100,000 orang dan persiapan bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 giat diatur pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan badan bukan kerajaan. - BERNAMA
.jpg)
