KUALA LUMPUR – Pandangan setiap manusia berhak diraikan termasuk melibatkan ideologi politik.
Bagaimanapun, perbezaan pendapat itu tidak seharusnya membawa kepada perbuatan melabel seseorang itu sebagai salah, sesat mahupun kufur.
Khutbah Jumaat hari ini yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengupas mengenai perbezaan ideologi politik tidak menjadikan seseorang terkeluar daripada agamanya kerana perkara itu bukanlah sesuatu yang melibatkan akidah.
"Semua ideologi, aliran kumpulan atau tokoh rujukan, adalah terletak bawah agama Islam dan tertakluk dengan nilai dan prinsip agama Islam.
"Atas dasar ini, perbahasan politik dibincangkan bawah ilmu fiqh dan bukan bawah perbahasan aqidah.
“Kerana itulah kita dapati banyak ijtihad-ijtihad baharu oleh pemimpin politik muslim sepanjang zaman disebabkan sifat fiqh yang fleksibel.
"Justeru, bersetuju, menolak atau mengkritik sesuatu pihak dalam hal ehwal tatakelola negeri dan negara tidaklah menyebabkan seseorang itu kehilangan iman," katanya.
Teks khutbah berkenaan turut mengingatkan semua pihak untuk tidak taksub dalam apa juga yang disokong bagi mengelakkan gejala melampau.
Umat Islam diingatkan bahawa gejala sedemikian hanya akan memendekkan akal dan tidak dapat melihat keadaan dengan lebih baik sehingga menolak untuk berbincang mengenai sesuatu perkara itu.
"Gejala ini timbul disebabkan oleh sikap memandang hanya diri atau kumpulannya sahaja yang betul, manakala pihak lain adalah salah.
"Akibatnya lahirlah dakwaan sesetengah pihak yang menganggap mereka sahaja yang benar dan suci, manakala pihak lain adalah sesat, salah, batil atau kufur. Lantaran itu, muncullah dakwaan seperti ‘kami sahaja yang Islam’, kami sahaja pendokong sunnah’ atau ‘tidak bersama kami akan masuk neraka’.
"Kenyataan ini, seolah-olah mengangkat diri atau kumpulannya setaraf rasul yang maksum dan kata-katanya setaraf sabda yang diwahyukan, sedangkan semua ulama’ salaf dan khalaf telah berijmak bahawa semua pendapat dari siapa pun boleh diambil dan diketepikan," katanya.
Jelasnya lagi, perbezaan idea politik bukanlah sesuatu yang ditegah syarak sebaliknya perkara itu jika diuruskan dengan baik akan memberi manfaat untuk rakyat dan juga negara.
"Secara amnya, setiap pihak yang mengerah fikiran menampilkan idea dalam membina dan memajukan negara, jika ia benar di sisi Allah SWT, akan mendapat dua ganjaran.
“Jika salah di sisi Allah SWT, ia mendapat satu ganjaran.
"Ini menunjukkan, perbezaan idea pengurusan politik bukanlah suatu yang ditegah dalam syarak, sebaliknya ia medan untuk semua pihak yang berkaitan berusaha menyumbang idea-idea yang bermanfaat atau mengelakkan mudarat daripada menimpa rakyat dan negara," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud dilaporkan melabelkan dua wakil rakyat negeri itu sebagai melawan perjuangan Islam semasa menyampaikan kuliah di Kelantan minggu lalu.
Mohd Nassuruddin ketika dalam syarahan umum secara sedar dan jelas, telah menamakan dua DUN iaitu Galas, Mohd Syahbudin Hashim dan Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim sebagai melawan perjuangan Islam. - Getaran, 25 Ogos 2023
