web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Anwar Umum Insentif, Inisiatif Buat Kebajikan Warga Felda

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 07 Jul 2023 8:30PM

Anwar Ibrahim di acara Sambutan Hari Peneroka Felda hari ini - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

SERDANG - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa inisiatif dan insentif bagi meningkatkan kualiti hidup dan memelihara kebajikan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) termasuk dalam aspek penyediaan infrastruktur, penjagaan kesihatan, pendigitalan dan perumahan.

Antara yang diumumkan Anwar untuk warga Felda ialah Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) yang melibatkan peruntukan RM21.21 juta, pembinaan pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta, perbelanjaan untuk kos operasi lampu jalan dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.7 juta setahun, dan subsidi diesel RM36 juta setahun bagi tiga Felda di Sabah.

Beliau turut mengumumkan program Digital MADANI bagi memperkasa ekonomi gig, penyelesaian isu perumahan generasi baharu Felda (PGBF) dan usaha membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain seperti sawit dan kelapa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Sambutan Hari Peneroka Felda di sini hari ini turut menyatakan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk melupuskan 80 peratus  hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

“Kebetulan saya Menteri Kewangan, saya tengok fail ada hutang RM8.3 bilion. Sehinggalah kita ambil alih (Kerajaan Perpaduan), kita buka fail, semak balik, dan RM8.3 bilion saya luluskan.

Kita telah buat keputusan untuk kurangkan jangan bebankan anak-anak Felda, ada generasi kedua, ketiga dan keempat (yang perlu dijaga),” katanya.

Pada 28 Jun lepas, satu perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Felda telah ditandatangani untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman Felda itu akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.

Menyentuh mengenai penjagaan kesihatan untuk warga Felda, Anwar berkata insentif khas SKR sebanyak RM300 akan memanfaatkan 70,715 peneroka yang berumur 65 tahun ke atas.

Beliau juga sedia maklum tentang kesusahan peneroka yang terpaksa berulang alik jauh ke hospital untuk menjalani rawatan hemodialisis, justeru 12 pusat hemodialisis akan dibina dengan peruntukan RM21 juta di semua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya.

“Pusat hemodialisis ini akan beri manfaat kepada 2,000 pesakit,” katanya. 

Anwar dalam pada itu berkata kerajaan juga tidak meminggirkan warga peneroka di Sabah dan sebagai manifestasi, beliau mengumumkan subsidi diesel berjumlah RM36 juta setahun bagi operasi penjanaan tenaga dan rawatan air di Kompleks Sahabat, Umas dan Kalabakan di Sabah.

Insentif itu, katanya akan memanfaatkan hampir 43,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Sejak Julai 2021, katanya Felda telah membelanjakan hampir RM128 juta bagi penjanaan tenaga, rawatan dan pembekalan air bersih di ketiga-tiga kawasan itu.

Anwar berkata kerajaan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM7.7 juta setahun bagi menanggung perbelanjaan kos operasi bagi 37,012 lampu jalan di rancangan Felda seluruh negara.

“Saya setuju untuk meluluskan projek pencerahan lampu jalan seluruh kawasan Felda, kita bagi peruntukan, mulai minggu depan mula siapkan lampu-lampu jalan di seluruh kawasan Felda,” katanya.

Bagi menjadikan Felda sebagai peneraju transformasi digital menerusi program Digital MADANI bagi memperkasa ekonomi gig, beliau berkata program dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan dilaksanakan di 30 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang dikenal pasti di seluruh negara termasuk di Kolej Yayasan Felda, Kelana Jaya. 

Selain itu bagi membantu menyelesaikan isu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai, Anwar berkata kerajaan akan menyediakan peruntukan sewajarnya bagi segera menyiapkan baki 283 unit perumahan PGBF.

Beliau juga berkata kerajaan mempertimbangkan usaha drastik bagi membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komiditi lain seperti sawit, kelapa atau yang bersesuaian tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri masing-masing. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 tahun yang lalu

Lori Elektrik Dengan GPS Inisiatif Baharu FELDA, Pastikan Hasil Diurus Lebih Baik - Ahmad Shabery

2

Semasa 1 tahun yang lalu

Subsidi Diesel Perlu Dilaksana, Elak Salah Guna Golongan Maha Kaya, Warga Asing - PM

3

Semasa 1 tahun yang lalu

PM Sumbang 35 Ekor Lembu Kepada 11 Wilayah Felda Sempena Aidiladha

4

Semasa 2 tahun yang lalu

Kerajaan Akan Umum Pendekatan Baharu Untuk Manfaat Warga FELDA - Ahmad Zahid

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

PM Diberi Sambutan Rasmi Di Pejabat Takaichi

Politik 10 jam yang lalu

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Semasa 6 jam yang lalu

PDRM Sokong Larangan Menyeluruh Vape, Bimbang Penularan Dadah ‘Piu Piu’

oleh Amirah Abu Bakar