KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubar berkuat kuasa 23 Jun ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.
Istiadat berhubung perkenan dan pengumuman itu disempurnakan di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang dalam satu istiadat ringkas sebentar tadi.
Selain Selangor, lima negeri yang akan mengadakan PRN adalah Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah.
Baginda turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DUN Selangor.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor bagi memohon perkenan pembubaran DUN negeri itu.
Turut berangkat pada istiadat itu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Haris Kasim; Speakar DUN Selangor Ng Suee Lim dan barisan Ahli Dewan Diraja Selangor. - Getaran, 19 Jun 2023

