web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Aktiviti Pemburuan Lebih Jejaskan Biodiversiti, TPM Fadillah Selar Lobi Antiminyak Sawit

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 02 Jun 2023 10:06PM

Fadillah menyampaikan ucaptama sempena seminar 'Perdagangan Mampan dan Amalan Perniagaan Bertangungjawab Dalam Kawasan Global Baharu' pada Forum Minyak Sawit Lestari Antarabangsa hari ini. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

LONDON - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyelar pelobi dan kempen antiminyak sawit yang menyalahkan tanaman tersebut atas kemerosotan populasi orang utan, menyatakan aktiviti pemburuan memberikan ancaman yang jauh lebih besar kepada kehilangan biodiversiti berbanding perladangan kelapa sawit. 

“Inilah kebenarannya: jumlah (orang utan) kekal kukuh pada 11,000 sejak lima tahun lepas. Sudah tiba masanya untuk menukar tumpuan kita,” katanya dalam ucaptama mengenai “Sustainable Trade and Responsible Business Practice in A New Global Area” pada International Sustainable Palm Oil Forum di sini hari ini.

Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata media barat perlu memberi perhatian kepada isu ini.

“Mari asingkan fakta daripada fiksyen dan berdepan dengan cabaran sebenar,” katanya pada forum itu anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific, yang menyaksikan penyertaan antara lainnya kumpulan pelobi Parlimen, masyarakat awam dan pertubuhan bukan kerajaan.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Zakri Jaafar, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni dan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

“Ia bukanlah suatu keburukan alam sekitar sepertimana yang dilabelkan. Sebaliknya, realitinya adalah bukti jelas kelestarian serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) - amalan yang mesra (alam). Tidak seperti tanaman lain, pokok sawit bertindak sebagai penyelamat dengan menyerap karbon dioksida dan mengubah ladang-ladang kita sebagai sinki karbon.

“Ini bukan sekadar kata-kata saya (sebaliknya) Institut Penyelidikan Produk Hutan dan Perhutanan Jepun turut mengesahkan bahawa kelapa sawit mengatasi hutan semula jadi dari segi keupayaannya menyerap sehingga empat kali lebih banyak karbon dioksida. Oleh itu, apabila berbicara mengenai penjujukan karbon, minyak sawit jauh lebih tinggi daripada soya, minyak sesawi dan bunga matahari," katanya.

Malaysia komited usaha lestari, bukan cakap kosong

Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa Malaysia kekal tegas dalam komitmennya terhadap usaha kelestarian dan pemuliharaan.

“Kita tidak pernah bersikap lepas tangan dalam melindungi soal biodiversiti. Daripada Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Taman Negara Pulau Penyu, Taman Negara Sipadan, Lembah Danum -- (kewujudan) projek-projek ini membuktikan lagi dedikasi kita dalam melindungi warisan semula jadi.

“Malah, kita bukannya bercakap kosong sebaliknya memang mengambil tindakan konkrit. Kementerian saya misalnya turut menerajui usaha pembentukan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGF),” katanya.

Fadillah menyifatkan yayasan tersebut jelas sebagai bukti sokongan padu Malaysia terhadap inisiatif pemuliharaan dalam industri minyak sawit.

“Komitmen kita terhadap alam sekitar ini tiada sempadan. MPOGCF ini bukan sekadar menumpukan aspek orang utan sebaliknya turut menjangkau bagi melindungi pelbagai spesies hidupan liar termasuk gajah pigmi yang comel di Sabah. Secara bersama, kita sebenarnya sedang melakukan realiti perubahan yang sebenar,” katanya.

Minyak sawit dan ekonomi

Jika diteliti, minyak sawit dan sektor komoditi tidak hanya memberi manfaat untuk alam sekitar tetapi turut berperanan sebagai nadi ekonomi.

Sejak bertahun lamanya, sektor tersebut menyumbang secara signifikan kepada usaha meningkatkan lagi taraf hidup rakyat dan mengurangkan kemiskinan.

Setakat ini, sektor komoditi menggaji hampir 450,000 orang pekebun kecil sama ada di kelompok persendirian atau pekebun kecil di tanah-tanah rancangan.

Pada 2022 sahaja, sektor agrikomoditi Malaysia mencatat nilai dagangan sebanyak RM268.1 bilion dengan imbangan perdagangan sebanyak RM146.5 bilion.

Pendapatan eksport daripada produk agrikomoditi mencecah RM207.3 bilion atau 13.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Di samping itu, 2022 juga menyaksikan sektor berkenaan menyumbang sejumlah RM83.8 bilion kepada KDNK, sekali gus membuktikan kepentingan peranannya dari segi pertumbuhan ekonomi jangka panjang. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 tahun yang lalu

 MoU Sime Darby Oils, Guangxi Beibu Gulf Tingkat Pembelian Minyak Sawit - PM

2

Semasa 3 tahun yang lalu

KDNK Terengganu Tahun Lalu Ke-5 Tercorot — Khairuddin

3

Semasa 3 tahun yang lalu

Proses Pensijilan MSPO Sentiasa Berkembang, Bertambah Baik - Fadillah

4

Semasa 3 tahun yang lalu

TPM Fadillah Yakin Mesyuarat Mengenai EUDR Akan Membuahkan Hasil  

Sorotan

1

187 Jenis Ubat Berisiko Tinggi, Jumlah Stok Kurang 60 Hari - MOH

2

11 Lelaki Didakwa Jadi Ahli ‘Geng Vinod’, Berdepan Penjara Hingga 20 Tahun

3

Pelajar, Bapa Dipukul Di Luar Sekolah, Beberapa Individu Ditahan

4

Kebakaran Pasar Borong Selangor Dipadam Sepenuhnya, Operasi Beralih Kepada Fasa Baik Pulih

5

Laporan Akhir RCI TH Akan Didedah, Orang Ramai Berhak Tahu - PM

6

3 Wanita Didakwa Lakukan Aksi ‘Superman’ Di Jalan Pintasan Kuantan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

PETROS Mula Pengeluaran Minyak Pertama, Hasilkan 800 Tong Sehari

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 8 jam yang lalu

Kebakaran Pasar Borong Selangor Dipadam Sepenuhnya, Operasi Beralih Kepada Fasa Baik Pulih

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 8 jam yang lalu

187 Jenis Ubat Berisiko Tinggi, Jumlah Stok Kurang 60 Hari - MOH

oleh Sophia Ahmad

Politik 1 hari yang lalu

UMNO Tolak Cadangan ‘PBN’ Hamzah, Kerjasama BN-PN Bukan Pembentukan Gabungan Baharu

oleh Sophia Ahmad