Berita Terkini

9 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Akta Lapuk Kekang Kebebasan Media Perlu Dipinda Atau Dimansuh, Jika Tidak…

Semasa Dikemaskini 10 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 28 May 2023 7:15AM

Keperluan untuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda adalah susulan media Malaysia secara asasnya mempunyai limitasi dalam menyampaikan berita disebabkan masih terikat dengan akta terbabit - Gambar Hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi memberi ruang lebih luas dan kebebasan kepada pengamal media untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat tanpa kekangan.

Pakar keselamatan dan politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ruang sepenuhnya untuk berkarya tanpa sebarang sekatan ketat itu perlu diberikan kepada media, selagi ia tidak memberi ancaman terhadap Perlembagaan Persekutuan atau melaporkan sebarang berita palsu terhadap mana-mana pihak.

Katanya, keperluan untuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda adalah susulan media Malaysia secara asasnya mempunyai limitasi dalam menyampaikan berita disebabkan masih terikat dengan akta terbabit.

“Pengamal media perlu diberikan ruang secara bebas dalam konteks negara demokrasi hari ini jika laporan mereka tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Jika dilihat hari ini, sekatan itu masih ada lagi. Sebagai contoh, ada pandangan dari golongan akademik yang ingin beritanya ditulis wartawan dalam isu berkaitan kerajaan mahupun kepentingan negara, tetapi ia sukar disampaikan dengan jelas kerana media masih terikat dengan undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Pengamal media perlu diberikan ruang secara bebas dalam konteks negara demokrasi hari ini jika laporan mereka tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan - Gambar Hiasan
Pengamal media perlu diberikan ruang secara bebas dalam konteks negara demokrasi hari ini jika laporan mereka tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan - Gambar Hiasan

Hussain Yusri berkata, sekiranya pindaan akta itu berjaya direalisasikan, sudah pasti ia akan menimbulkan persepsi positif terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya menyelesaikan dilema yang selama ini dihadapi pengamal media.

“Langkah itu bukan sahaja menghidupkan proses demokrasi, namun Anwar akan disanjung tinggi pelbagai negara susulan beliau dan kerajaan berjiwa besar untuk dikritik, ditegur selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang dihasratkan kerajaan,” katanya.

Jelasnya, media juga berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ untuk kerajaan, selain menjadi ‘lidah’ parti politik dalam memastikan ia mampu menonjolkan usaha dilaksanakan kepada masyarakat.

“Sehubungan itu, jika kerajaan berjiwa besar, buka balik (pinda) apa jua bentuk sekatan kepada media selagi tidak bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan.

Pada masa sama, Hussain berpendapat, kerajaan perlu mewujudkan pelbagai inisiatif kepada pengamal media bagi mengangkat martabat golongan itu yang berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, dalam menyampaikan pelbagai isu semasa kepada masyarakat.

“Kita perlu angkat kerjaya wartawan atau pengamal media ini ekoran tugas mereka amatlah sukar, menghadapi pelbagai rintangan agar berita itu dapat disampaikan kepada orang ramai walaupun ada persepsi yang memandang rendah terhadap kerjaya berkenaan.

“Sebab itu, bantuan perlu diwujudkan untuk mereka susulan sudah berkhidmat kepada negara dalam konteks menyampaikan sesuatu isu, sehingga rakyat faham apa sedang berlaku dalam konteks semasa, hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik dan media baharu dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy menyarankan kerajaan mewujudkan Akta Perlindungan Wartawan & Profesion Media, bagi melindungi pemberita serta memastikan laporan dihasilkan mereka tidak diguna pakai pihak luar untuk dimanipulasi.

“Maka, akta lapuk seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 perlu disemak semula atau dihapuskan. Akta yang mengekang kebebasan media perlu dimansuhkan ekoran ia bersifat ‘pukat tunda’ yang tiada kepentingannya pada waktu ini.

“Ini kerana semakin dikongkong kebebasan media, akan wujud populariti platform media sosial lain yang membawa maklumat dalam sekelip mata. Kita tidak boleh menggalakkan satu situasi yang mana rakyat dahagakan maklumat, tetapi langsung tidak mempercayai pemberitaan media perdana akibat dikongkong,” katanya.

Kerajaan perlu mewujudkan pelbagai inisiatif kepada pengamal media bagi mengangkat martabat golongan itu yang berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, dalam menyampaikan pelbagai isu semasa kepada masyarakat - Gambar Hiasan
Kerajaan perlu mewujudkan pelbagai inisiatif kepada pengamal media bagi mengangkat martabat golongan itu yang berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, dalam menyampaikan pelbagai isu semasa kepada masyarakat - Gambar Hiasan

Mengulas hasrat kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) pada Mac tahun depan, Sara berkata, ia perlu diteliti secara terperinci bagi menyesuaikan akta terbabit dengan peredaran teknologi digital dan perkembangan media.

Jelasnya, penubuhannya harus terbuka, bertanggungjawab dan telus agar dapat membantu membina keyakinan terhadap industri berkenaan, di samping menyumbang kepada kredibiliti organisasi media khususnya media perdana.

Ujarnya, rancangan penubuhan MMC yang masih pada peringkat perbincangan, dilihat mampu menjaga integriti profesion kewartawanan, selain berupaya melindungi wartawan dan melindungi hak mereka.

“Ia juga antara lain akan memastikan fungsi media sosial diberi perhatian serius, mewujudkan sistem akauntabiliti media tersendiri, mengawal selia tafsiran berita tidak benar mengikut perspektif wartawan dan mampu menangani isu ‘aduan akhbar’ semakin lantang di Malaysia,” katanya.

Sara berkata, kerajaan juga perlu meningkatkan rundingan bersama pemegang taruh, agar tiada sebarang dasar menerusi RUU terbabit mampu menjejaskan kebebasan media atau ‘suara’ mereka.

“Kita sering mendengar rungutan laporan tidak seimbang atau berat sebelah. Di New Zealand, misalnya, majlis media akan menjadi jurucakap kepada rakyat apabila berlaku sebarang ketidakadilan terhadap media atau sebarang aduan kepada media perdana berhubung pemberitaan.

“Di Indonesia, Majlis Media Indonesia menjadi platform rundingan antara kerajaan, media dan rakyat bagi isu berbangkit. Maka, MMC perlu memastikan hak dan legasi media serta pengamalnya diberikan perhatian secukupnya, selain mengawal selia aspek akauntabiliti dan kod etika wartawan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan harus memberikan kuasa sepenuhnya kepada persatuan media sedia ada, seperti Institut Akhbar Malaysia (MPI), Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA), Institut Wartawan Malaysia (IOJ) dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) agar tidak timbul prasangka buruk dalam kalangan masyarakat terhadap fungsi sebenar badan bebas itu.

Rancangan penubuhan MMC yang masih pada peringkat perbincangan, dilihat mampu menjaga integriti profesion kewartawanan, selain berupaya melindungi wartawan dan melindungi hak mereka - Gambar Hiasan
Rancangan penubuhan MMC yang masih pada peringkat perbincangan, dilihat mampu menjaga integriti profesion kewartawanan, selain berupaya melindungi wartawan dan melindungi hak mereka - Gambar Hiasan

“Ia juga bagi memastikan badan pengawal selia media itu digerakkan berasaskan konsep dipacu industri dan bukan didorong haluan kerajaan, demi mengelak masyarakat rasa media masih dikawal kerajaan. MMC harus dikendalikan pengamal media sahaja bagi memastikan tahap kebolehpercayaan diterima rakyat.

“Justeru, segala peraturan mahu digubal atau dipinda pada masa hadapan harus datangnya daripada majlis media ini kerana ia akan membabitkan persoalan kredibiliti media, sama ada bersikap berat sebelah terhadap sesuatu pihak di samping sebagai satu platform rundingan, bukannya tempat untuk media sosial menjana pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap kesatuan kewartawanan, iaitu Gerakan Media Merdeka (GERAMM) memaklumkan, isu undang-undang kawalan media harus secara terus diperdebatkan bagi menjamin komitmen lebih kukuh daripada kerajaan dan pihak berkuasa untuk memastikan media lebih bebas.

Cabaran warga media, terutama di alaf baru pasca pandemik COVID-19, katanya, memerlukan komitmen dan tekad daripada semua pemegang taruh dalam menobatkan nilai asas kebebasan media, selain kepentingan peranan wartawan dalam meneruskan amanah dipikul.

Tegasnya, wartawan dan anggota masyarakat mempunyai peranan masing-masing dengan pengamal media perlu mengingatkan diri mereka mengenai tanggungjawab serta tugas kewartawanan, ketika melaporkan berita dengan objektif, jujur dan tepat.

Pengamal media juga, katanya, perlu menghormati privasi dan kehormatan individu.

Manakala, katanya, anggota masyarakat perlu memainkan peranan dalam mempromosikan kebebasan media dengan memahami dan menilai sumber berita dengan kritikal.

“Semua pihak perlu mengambil tindakan tepat untuk melindungi dan mempromosikan kebebasan media. Perlu ada usaha bersama antara pihak berkuasa, wartawan dan masyarakat dalam membina persekitaran kondusif untuk media bebas serta mandiri berkembang.

“Kita juga perlu memperkasakan lagi kredibiliti media tempatan untuk menjadi lebih efektif dalam memainkan peranan masing-masing,” katanya. - Getaran, 28 Mei 2023

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Video Aidilfitri Noor Rahiza Jadi Kenangan, Adik Bersemangat Sambut Raya - Abang

oleh Rafisqi Radhi

Semasa 13 jam yang lalu

Sultan Selangor Beri Perkenan Pembatalan Sambutan Ulang Tahun TLDM Jumaat Ini

oleh Fida Ruzki

Semasa 8 jam yang lalu

PAS Puji Tindakan Pantas Menteri Pertahanan Kendalikan Tragedi Helikopter TLDM

Semasa 57 minit yang lalu

Nahas Helikopter : Laporan Awal, Penuh Diserah Dalam Tempoh 14, 30 Hari Bekerja 

oleh Wartawan Getaran