KUALA LUMPUR - Kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) sebanyak 25 mata minggu lalu menyebabkan peminjam perlu membayar kadar faedah lebih tinggi.
Langkah itu juga dilihat kurang berkesan kerana harga barang masih lagi meningkat, menyebabkan golongan berkenaan semakin terbeban.
Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKMM), Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, setiap kali OPR dinaikkan, pinjaman serta pembiayaan yang berasaskan kadar apungan turut meningkat sehingga menyebabkan jumlah pembayaran bulanan turut bertambah.
Menurut beliau, rakyat terutamanya peminjam yang terkesan dengan pandemik COVID-19 masih bergelut membahagikan perbelanjaan isi rumah, rentetan daripada empat kenaikan OPR secara berturut-turut sejak setahun lalu.

“Kita tahu Bank Negara Malaysia (BNM) ada pemikiran tersendiri, tetapi apabila OPR naik maka bayaran balik pinjaman terutamanya bank akan meningkat dan ini akan menyusahkan lagi peminjam.
“Sudahlah sebelum ini mereka tambah bayaran pinjaman selepas OPR naik empat kali tahun lepas dan ini naik lagi sedangkan kita tahu gaji belum naik, belum disemak jadi macam mana hendak menolong mereka,” katanya kepada Getaran.
Abu Sofian menyatakan demikian sebagai mengulas kenaikan OPR sebanyak 25 mata yang diumumkan BNM minggu lalu.
Untuk info, OPR dinaikkan bermula Mei tahun lalu, diikuti pada Julai, September dan November, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
Pada Mei 2022, kadar OPR dinaikkan kepada 2.0 peratus, diikuti Julai (2.25 peratus), September (2.50 peratus) dan November (2.75 peratus) sebelum yang terbaharu pada 3 Mei lalu iaitu 3.0 peratus.
Dalam perkembangan berkaitan Abu Sofian berkata, peminjam tiada pilihan selain membayarnya atau terpaksa memanjangkan tempoh pembayaran jika mereka tidak berkemampuan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menggalakkan rakyat menyertai koperasi dan melakukan pembelian barang menerusi platform tersebut.
“Sekiranya direalisasikan, ia merupakan antara kaedah yang mampu dilaksanakan kerajaan tanpa membebankan rakyat.
“Tujuan koperasi agar boleh membeli bekalan dengan harga lebih murah secara pukal dan boleh dijual semula kepada ahlinya,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula meramalkan BNM akan menaikkan OPR sekali lagi sebanyak 25 peratus pada tahun ini sebelum kekal berada pada paras tertinggi, iaitu 3.25 peratus.
Menurut beliau, kenaikan 25 mata asas itu tidak dapat dielak memandangkan kadar OPR tertinggi sebelum ini berada di paras 3.25 peratus sebelum diturunkan kepada 1.75 peratus.
“Saya jangka OPR akan naik lagi pada Julai atau November depan dengan jumlahnya menjadi 3.25 peratus, disebabkan BNM perlu kembali kepada tahap di mana ia mempunyai kawalan penuh untuk bertindak apabila keadaan memerlukan pada masa hadapan.
“Kalau kita lihat sebelum kegawatan, kadar dia memang 3.25 peratus tapi kemudian bila kegawatan berlaku, dalam tempoh enam bulan BNM menurunkan OPR menjadi 1.75 peratus dan kekal untuk lebih daripada setahun,” katanya.
Menurut beliau, kenaikan tersebut dijangka berlaku semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Julai atau November akan datang.
“Kemudian dalam masa sembilan bulan ekonomi pulih, BNM menaikkan semula OPR dalam masa enam bulan dan sekarang sudah setahun BNM menaikkan OPR untuk mencapai semula paras 3.0 peratus,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Ariff berkata, peminjam khususnya golongan B40 berpotensi untuk muflis dalam tempoh beberapa tahun susulan kenaikan OPR itu.
Menurutnya, ramai individu berkemungkinan akan kehilangan rumah mereka disebabkan tidak mampu membayar pinjaman.
“Peminjam terutama golongan B40 tidak akan mampu membuat bayaran balik pinjaman dalam situasi ekonomi mencabar ketika ini. Kerajaan dan agensinya perlu sedar keadaan ekonomi belum pulih sepenuhnya. Pelik kenapa OPR terus dinaikkan seolah-olah beri tekanan kepada rakyat.
"Beban ini tidak sesuai dengan situasi ekonomi semasa negara, orang kita sudah susah dan OPR pula naik berkali-kali," katanya. - Getaran, 10 Mei 2023.