KUALA LUMPUR - Dewan Ulama PAS Pusat mengecam penganjuran program Thai Hot Guy yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mac ini kerana mencemarkan kemurnian dan kemuliaan bulan Ramadan.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, program tersebut juga tidak sepatutnya dianjurkan dalam negara kerana ia menampilkan lelaki berpakaian wanita sekali gus bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran diamalkan masyarakat Malaysia.
Menurut beliau, kehadiran kumpulan terbabit adalah menjijikkan, tidak senonoh serta mendorong ke arah mempromosi ideologi dan perlakuan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam negara.
“Saya mengecam sepenuhnya penganjuran program Grand Opening Privacy Club Tun Razak dengan kumpulan Thai Hot Guy disenarai sebagai jemputan dalam program tersebut.
“Program itu juga jelas bertentangan dengan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“Golongan tersebut juga akan mencemarkan imej negara yang dihormati di mata umat Islam di seluruh dunia, malah berlawanan dengan prinsip Madani yang dilaungkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Ahmad menegaskan, program itu akan menjadi tarikan golongan gay untuk berkembang di negara ini sekali gus menyumbang kepada implikasi terhadap perkembangan penyakit HIV.
Katanya, laporan Malaysian Strategic Plan for Ending AIDS menjelaskan golongan Men Sex with Men (MSM) atau bahasa mudahnya gay, adalah penyumbang utama kepada penyakit HIV ketika ini.
Justeru, beliau menyarankan kepada pihak berwajib untuk mengambil beberapa langkah termasuk menyekat penganjuran program tersebut serta menghalang kehadiran kumpulan songsang terbabit yang jelas tidak memberi manfaat kepada negara.
“Kenal pasti kelab atau tempat yang menjadi lubuk kumpulan songsang ini berpencak. Langkah yang tegas wajar dikuatkuasakan bagi mengelakkan golongan ini terus berkembang dalam negara.
“Selain itu, sediakan pelan tindakan bagi memperuntukkan undang-undang atau dasar yang tegas terhadap kumpulan mempromosi ideologi serta perlakuan LGBT bertentangan dengan agama, budaya dan fitrah seorang manusia,” katanya.
Kelmarin, sebuah akaun Facebook bernama KL NOW memuat naik hantaran mengenai penganjuran program Thai Hot Guy yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki macho di sebuah bar di ibu negara pada 30 Mac ini. - Getaran, 22 Mac 2023
