web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Rakyat Ukraine Hanya Inginkan Keamanan - Bekas Duta

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 24 Feb 2023 11:18AM

Olexander Nechytaylo - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - "Apa yang dimahukan rakyat Ukraine hanyalah keamanan”, inilah ungkapan pertama oleh bekas duta Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo dalam satu wawancara sempena setahun perang Ukraine-Rusia. 

Ungkapan penuh emosi itu dikongsi Nechytaylo menerusi WhatsApp ketika ditanya mengenai perang Ukraine-Rusia yang genap setahun pada hari ini (Jumaat).

"Bukan kami yang memulakan perang ini...Ia mungkin berakhir esok jika Rusia memutuskan untuk berhenti menjadi pembuli dan berundur dari wilayah Ukraine, wilayah yang berdaulat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Sehingga itu semua berlaku, kami akan terus berjuang untuk tanah air dan kebebasan kami," katanya ketika dihubungi Bernama baru -baru ini.

Nechytaylo kini berkhidmat di Kementerian Luar Ukraine dan menyelia hubungan dua hala dengan 48 negara dan wilayah Indo-Pasifik termasuk Australia, India, China, Jepun dan negara-negara ASEAN.

Rusia menyerang Ukraine pada 24 Feb 2022. Sejak itu, Ukraine menyaksikan kemusnahan dan kehilangan nyawa. Penganalisis menganggarkan kira -kira 200,000 korban di pihak Rusia manakala kehilangan nyawa di Ukraine lima kali lebih tinggi.

Sejak kembali ke Kyiv pada Jun tahun lalu, Nechytaylo berkata beliau sedang "menyesuaikan diri" kepada situasi luar biasa yang berlaku di tanah airnya. 

"Apa yang dapat saya pelajari ialah manusia mudah untuk menyesuaikan diri; sesuatu yang kelihatan sangat mengejutkan hari ini, mungkin esok ia boleh menjadi sesesuatu yang normal.

"Jadi, saya tidak lagi panik (apabila) mendengar siren udara (yang kini menjadi rutin harian di Kyiv). Saya biasa bekerja, bermesyuarat, membuat panggilan telefon serta melakukan kerja-kerja rumah meskipun adakalanya bekalan elektrik terputus. 

"Satu lagi pengajaran penting yang saya pelajari ialah apabila kita berusaha dan berjuang bersungguh demi kebenaran, keadaan persekitaran menjadi tidak begitu penting...sebaliknya ia menjadikan kami lebih bersemangat,” katanya.

Diplomat berusia 49 tahun itu yakin bahawa mengenakan sekatan adalah lebih berkesan daripada perbincangan damai semata-mata dan penting kepada masyarakat dunia untuk terus memperhebat tekanan di semua peringkat untuk menamatkan konflik.

Ketegangan yang secara tidak langsung mempengaruhi segenap aspek kehidupan rakyat di seluruh dunia akibat kenaikan harga komoditi dan bahan bakar, pastinya akan terus memburuk tanpa sokongan padu dari negara lain termasuk Malaysia, katanya.

"Malaysia sering menjadi penyokong kuat kepada keamanan, undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Suara setiap negara amat penting. Kami juga menghargai keputusan Malaysia untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada Ukraine.

"Kami juga percaya kini bukan masa untuk mengelak daripada tanggungjawab dengan berselindung di sebalik berkecuali tetapi mengambil pendirian yang jelas untuk menyokong undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.

"Dunia kini saling berkait dan bergantung antara satu sama lain, jadi kita perlu bekerjasama untuk  memaksa pelaku berubah ke arah kebaikan, memulihkan keamanan dan orde antarabangsa," kata Nechytaylo, yang juga bekas duta Ukraine ke Filipina dan Timor Leste.

Justeru, buat rakan dan komuniti Malaysia yang sentiasa dekat dengan dirinya, Nechytaylo menggesa  untuk terus mendengar rayuan dan menyokong Ukraine.

"Jadi, apabila anda melihat harga yang lebih tinggi di stesen minyak atau membayar bil utiliti yang lebih mahal, anda perlu tahu punca utama masalah itu.

"Kerana itu mesej saya kepada rakyat Malaysia: ...Kita semua mesti bersatu untuk menghentikan pencerobohan yang sedang berlaku sekarang," kata yang meminati kumpulan Search.

Majlis Keselamatan PBB dijadualkan membincangkan resolusi yang dikemukakan oleh wakil Kyiv dan Kesatuan Eropah (EU) pada ulang tahun pencerobohan Rusia, memetik laman sesawang badan dunia itu pada Rabu (22 Feb).

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata tempoh setahun itu menjadi peristiwa yang suram dan kesannya turut dirasakan sehingga melangkaui luar Ukraine.

Beliau berharap rayuan bantuan kemanusiaan sebanyak US$5.6 bilion untuk rakyat Ukraine yang dilancarkan PBB baru-baru ini akan mendapat sokongan semua pihak. - Bernama

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

oleh Sophia Ahmad

Semasa 19 jam yang lalu

PDRM Sokong Larangan Menyeluruh Vape, Bimbang Penularan Dadah ‘Piu Piu’

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 23 jam yang lalu

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan