KUALA LUMPUR - Pemuda PAS tampil memberi penjelasan berhubung tindakan sekumpulan ahlinya berarak membawa replika pedang, lembing dan perisai di Setiu, Terengganu, kelmarin, yang tular di media sosial.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, ia adalah sebahagian acara tahunan dalam program HIMPIT yang menghimpunkan seluruh jentera pemuda parti di negeri itu yang dianjurkan sejak 1991.
Menurut beliau, sudah menjadi tradisi lapan Pemuda PAS kawasan membawa replika dan tema perarakan masing-masing.
“Ada yang membawa tema sukan, pelantar minyak, wisma Darul Iman bahkan ada yang berkuda pada penganjuran HIMPIT kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Harun menegaskan, tiada istilah keganasan dan provokasi dalam program itu, bahkan sangat menarik apabila melihat kreativiti wakil Pemuda PAS kawasan mempamerkan idea masing-masing.
“Ada antara mereka yang memulakan persiapan hampir sebulan semata-mata untuk menyertai program kali ini. Anggota polis trafik juga ada bersama kami membantu mengawal lalu lintas ketika perarakan setiap kontinjen sedang berlangsung dengan aman,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, PAS bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika siasatan dijalankan berkaitan perarakan tersebut.
“Benarlah sabdaan Nabi SAW, manusia akan menentang apa yang mereka jahil. Isu pemakaian seragam perang zaman sahabat oleh satu daripada kontinjen hanyalah sebagai memenuhi tema perarakan mereka,” katanya.
Ujarnya, acara tersebut sama seperti perarakan dan pertandingan cosplay yang dibuat di seluruh pelusuk negara yang menayangkan senjata adiwira kegemaran mereka.
“Bahkan ada filem klasik perjuangan yang ditayangkan dengan menggunakan senjata juga diterima dalam masyarakat.
“Namun kami tetap berterima kasih kepada semua pihak yang memberi publisiti kepada program tahunan ini secara langsung atau sebaliknya,” katanya.
Mohd Harun turut menyarankan semua pihak yang menjadikan perarakan HIMPIT 2023 sebagai isu, agar sentiasa mesra dengan program anjuran PAS selepas ini.
“Ia supaya mereka mendapat gambaran sebenar mengenai perjalanan program sepanjang acara yang disusun itu berlangsung,” katanya. - Getaran, 19 Februari 2023