TAWAU - Dua penduduk menempuh detik cemas apabila hampir dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu tekong pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Tinagat, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, mereka berjaya mengelak kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu secara melulu oleh suspek.
Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Mirza, 21, berkata, terdahulu dia bersama seorang rakannya menaiki motosikal dari kampung bersebelahan, sebelum terserempak kenderaan suspek dan sebuah van berwarna putih yang diletak dalam keadaan mencurigakan.
“Kami cuba menghampiri kenderaan terbabit, namun, Proton Saga itu tiba-tiba memecut dan cuba merempuh saya.
“Pada masa sama, van berkenaan juga turut memecut dan di dalamnya ada beberapa orang penumpang, yang dipercayai baru saja tiba dari Indonesia,” katanya.
Selepas melihat suspek melarikan diri, Mirza dan rakannya memeriksa lokasi berkenaan sebelum menemui empat individu, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang tidak sempat menaiki van terbabit.
Insiden berkenaan kemudiannya dihebahkan ke kawasan sekitar, termasuk kampung Batu Payung dan Membelua, kerana mereka percaya masih PATI yang bersembunyi di situ.
Suspek ketika disoal mendedahkan, terdapat sekitar 20 PATI berlepas dari Sungai Nyamuk, Indonesia dengan menaiki dua bot, sebelum diarahkan untuk terjun berhampiran Pantai Tinagat.
Bagaimanapun, sehingga tengah hari tadi, hanya dua PATI keluar dari tempat persembunyian dan berjaya ditahan penduduk.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Rusdi, 45, berkata, kampung mereka dan kawasan berhampiran sering menjadi lokasi pendaratan PATI.
“Hampir setiap minggu, pasti akan ada PATI mendarat di sini, dan biasanya mereka mudah melarikan diri.
“Malah penduduk juga sudah beberapa kali menahan PATI dan menyerahkannya kepada polis, namun, kejadian sama tetap berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Peter Umbuas mengesahkan penahanan tujuh suspek berusia 16 hingga 50-an berkenaan.
“Semua tahanan terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita itu akan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau memuji tindakan penduduk di tiga kampung berkenaan yang sentiasa peka dalam membantu pihak berkuasa membanteras kehadiran PATI di situ.
“Perkara ini harus dicontohi orang ramai untuk bersama kerajaan mengatasi masalah kehadiran golongan terbabit di daerah ini,” katanya. - Getaran, 26 April 2021

