KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini cukup terbuka dengan agenda mempertahan kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat, asalkan tidak melampaui batas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebebasan bersuara adalah isu yang sekian lama diperjuangkan pihaknya, dan pendirian mengenai perkara tersebut tidak pernah berubah.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, kebebasan bersuara juga perlu mempunyai garis yang dijaga agar ia tidak melampaui batas.
“(Kebebasan bersuara itu tidak boleh melampaui batas) sehingga menyentuh sensitiviti yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam,” katanya di laman Facebook hari ini.
Perkara tersebut jelas Saifuddin, dibincangkan semasa pertemuan bersama Ketua Dasar Awam ByteDance yang mengelola Tiktok Malaysia, Hafizin Tajudin.
Jelasnya, perbincangan tersebut berjalan dengan cukup baik demi Malaysia yang harmoni ke arah memperkukuh perpaduan nasional.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara, baik media atau orang ramai, ada batas yang perlu dipatuhi.
Menurutnya, setiap warga bebas untuk menyatakan pendapat dan kritikan namun harus sentiasa berpegang kepada prinsip kesederhanaan yang menjadi matlamat pembentukan negara ini.
Media terutamanya, kata Fahmi, perlu menjalankan tugasnya sebagai ‘estet keempat’ yakni badan yang berperanan sebagai pemantau dalam memastikan sistem demokrasi itu berfungsi dengan baik. - Getaran, 3 Januari 2023
