Berita Terkini

15 minit yang lalu: Zambry dan rakan sejawatan dari Gambia sahkan komitmen perkukuh hubungan bilateral 16 minit yang lalu: KPM ambil tindakan pemulihan interim bagi aplikasi MOEIS dan idME 16 minit yang lalu: Mekanisme subsidi bersasar beri sokongan kepada fiskal Malaysia - Rafizi 7 jam yang lalu: UMNO pecat Khairy, Noh Omar manakala gantung keahlian Hishamuddin, Sharil Sufian selama enam tahun - Ahmad Maslan 7 jam yang lalu: UMNO lantik Khaled Nordin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu - Ahmad Maslan

IKUTI KAMI


Novel Selit Unsur Lucah Bukti ‘Sastera Dilacur’ Demi Keuntungan

Semasa Dikemaskini 4 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 30 Dec 2022 8:30PM

Lebih mengecewakan, novel itu ditulis individu Muslim yang jelas melanggar konsep akidah dan moral diamalkan Islam. - Gambar hiasan Unsplash

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Penerbitan novel Melayu bertajuk ‘Darlingku Mr Cold Mafia’ yang didakwa mengandungi unsur ‘child grooming’, pedofilia dan babak intim keterlaluan sehingga mencetuskan kontroversi serta kecaman, dianggap sebagai ‘pelacuran sastera’ di negara ini.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, beliau kesal apabila segelintir pihak, khususnya pencetak dan penerbit ‘merestui’ kandungan seperti itu, sehingga sastera menjadi mangsa kepada kerasukan kapitalis, demi mengaut keuntungan semata-mata.

Lebih mengecewakan, katanya, novel itu ditulis individu Muslim yang jelas melanggar konsep akidah dan moral diamalkan Islam.

“Dari sudut dan konsep moral, kita tidak bersetuju dengan perbuatan penerbit itu yang tidak boleh diterima sama sekali, walaupun dunia internet ketika ini dilihat tanpa sempadan kerana kita kena ada tanggungjawab menjaga moral (menerusi penulisan) untuk tidak melacurkan sastera.

“Penerbitan novel itu akan merosakkan bangsa kita sendiri kerana nanti umat Islam dan orang Melayu akan baca.

“Justeru, eloklah ia dihentikan dan kalau ada mekanisma undang-undang boleh diambil tindakan, elok dikenakan terus kepada mereka yang terlibat kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.

Mohamad Saleeh berkata, novel itu perlu diharamkan penjualannya, memandangkan ia mampu menggalakkan unsur negatif dan peningkatan gejala sosial di negara ini.

“Seperti pepatah orang Melayu, ‘lalang tak perlu ditanam, ia akan tumbuh juga’. Jadi, kalau kita membenarkan hal sebegini berlaku, seolah-olah kita menggalakkan perkara yang akan menyebabkan generasi baharu rosak, kita perlu memikirkan kesannya.

“Kita tidak pernah mahu berbangga dengan sastera kebangsaan Melayu sebegini yang kita nyatakan sebagai saranan pendidikan kerana inilah yang menjadi perosak (kepada sastera),” katanya.

Beliau turut menggesa agensi kerajaan dan penguatkuasa yang bertanggungjawab memperkasakan pemantauan, bagi memastikan tiada lagi penulis dan penerbit berani mengeluarkan novel yang mampu menimbulkan ketidaktenteraman awam.

“Kalau ada undang-undang tanpa penguatkuasaan pun tiada guna. Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mempunyai akta untuk mengambil tindakan terhadap semua pihak terlibat.

“Semua pihak perlu bersama mengecam novel tersebut kerana ia melibatkan maruah bangsa Melayu, agama Islam serta sastera orang Melayu itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, tokoh ilmuwan negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menggesa orang ramai melaporkan isu tersebut dengan kadar segera kepada polis agar penjualan novel terbabit yang mengandungi unsur tidak bermoral keterlaluan dapat dihentikan.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata, isu membelenggu novel terbabit juga adalah bukti kelemahan sekiranya bahan penulisan tidak diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mahupun Institut Terjemahan dan Buku (ITBM).

Ia berikutan isi kandungan bahan bacaan itu, tidak dinilai sebaiknya, sekali gus mampu memberi dampak negatif kepada masyarakat.

“Laporan polis perlu dilakukan pelbagai pihak dengan segera agar siasatan dan penilaian mampu dilaksanakan bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan segera, agar novel ini dihentikan penjualan.

“Ini sepertimana pernah berlaku sebelumnya, apabila ada buku seperti unsur komunis sudah disekat. Perkara ini adalah hak rakyat, khususnya jika mampu memudaratkan anak bangsa.

“Bukan sahaja penulis, namun penerbit dan pencetak yang mengeluarkan novel itu akan diambil tindakan, mereka ini perlu peka. Jika merasakan buku berkenaan akan mengundang masalah dan lebih membawa kepada keburukan daripada kebaikan, ambil keputusan untuk tidak menerbitkannya,” katanya.

Bagaimanapun, Kok Seong menegaskan unsur negatif dan gejala sosial kemungkinan tidak akan meningkat, sekiranya pembaca matang dengan menganggap penulisan karya tersebut sebagai fiksyen serta hiburan semata-mata

“Bagi saya, ia boleh diumpamakan seperti pisau yang boleh disalah guna atau boleh dilakukan untuk tujuan kebaikan. Walaupun ada kandungan kita anggap sebagai sensitif, sudah tentu ada pengajarannya, di mana di situlah pembaca perlu terbuka untuk membezakan perkara baik dan buruk.

“Kalau pembaca matang, mereka boleh menggali novel itu untuk dijadikan peristiwa tertentu yang diceritakan, namun mereka yang tidak bijak, barangkali menganggap ia sebagai galakan tidak salah dan boleh dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Md Johari Hasan berkata, pihaknya kesal dengan penjualan karya tersebut di pasaran dengan menegaskan seharusnya novel itu perlu selaras dengan objektif dan fungsi sastera negara untuk melahirkan individu berkualiti.

“Perlu terbitkan novel yang baik, sesuai dengan fungsi sastera untuk melahirkan insan baik (bermanfaat).

“Novel ialah karya sastera, di mana ia adalah medium untuk mendidik dan mengajar, bukan menghibur saja. Novel perlu sesuai dengan kehidupan masyarakat kita,” katanya ringkas.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila novel nukilan anak muda berusia 23 tahun itu yang mengandungi unsur seksual melampau, dikecam teruk netizen.

Rata-rata mereka mahu pihak berkuasa mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pihak penerbit dan penulis supaya perkara seperti itu, tidak dinormalisasi ekoran dibimbangi boleh menjuruskan anak muda ke arah perkara tidak bermoral.

Susulan kecaman itu, penerbit karya berkenaan, KakiNovel memaklumkan, pihaknya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas isu tersebut.

Ujarnya, perbincangan akan diadakan pihaknya dengan pengurusan kedai buku Popular untuk menghentikan penjualannya.

“Bagi pengetahuan semua, pihak editor sebenarnya sudah membuat suntingan dan pemurnian ke atas babak yang tular serta menggantikan dengan istilah lebih sopan untuk cetakan baharu novel ini.

“Tidak ada sebarang elemen child grooming di dalam karya ini seperti didakwa. Ia adalah babak flashback (imbas kembali) hero dan heroin bertemu di waktu kecil, bukan babak percintaan di antara dua insan yang menjalin perasaan,” katanya.

Novel Darlingku Mr Cold Mafia berada dan dijual di pasaran sejak pertengahan tahun ini. - Getaran, 29 Disember 2022.

Sorotan

1

UMNO Pecat KJ, Noh, Gantung Keahlian 4 Pemimpin Kanan

2

Penipuan Pekerjaan: Kemboja Mohon Maklumat Disalur Melalui PDRM, Kedutaan

3

Biden Utus Surat Ucap Tahniah Buat Anwar, Hargai Demokrasi Malaysia

Disyorkan untuk anda

Semasa 15 jam yang lalu

Malaysia Gesa Dialog, ‘Ketaksuban, Jenayah Terhadap Islam Mesti Dihenti Segera’ – Kementerian Luar

oleh Farhana Farush

Semasa 1 hari yang lalu

Kes Bella: 'Saya Dikecam, Diugut Bunuh, Hilang Perniagaan' - Siti Bainun

Semasa 15 jam yang lalu

Yuran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja Kekal RM1,500

Sukan 1 hari yang lalu

Masters Indonesia: Zii Jia Mulakan Kempen Dengan Kemenangan