Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Orang Asli: Gadai 'Nyawa Anak' Demi Pendidikan?

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Dec 2022 11:00AM

Pelajar Orang Asli terpaksa berhimpit dalam kenderaan pacuan empat roda 4x4 semata-mata untuk ke asrama. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

GUA MUSANG (POS SIMPOR) - Seawal pukul 6 pagi, Rokiah Pandak, 47, sudah  sibuk di pondok kecilnya kerana pada hari itu anaknya, Asunia Mok Wa Tong, 11, akan kembali ke asrama sekolah dan banyak yang perlu disiapkan.

Selain menyiapkan bekalan makanan, wanita Orang Asli suku kaum Temiar itu juga perlu memastikan segala peralatan sekolah anak ketiganya itu siap dimasukkan ke dalam beg di samping pakaian seragam sekolah, kemeja-T, beg, kasut, buku dan beberapa barangan lain. 

Naluri ibu yang tidak mahu anaknya kelaparan apabila sampai ke asrama memandangkan sekolah anaknya, Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi terletak sekitar 50 kilometer atau empat jam perjalanan daripada rumah mereka di Pos Simpor, Gua Musang.

Sambil memasukkan bekas makanan yang mengandungi nasi goreng kegemaran Asunia serta bekas minuman berisi teh o panas ke dalam beg, hati kecil Rokiah meruntun sedih kerana dua minggu lagi baharu dapat berjumpa anaknya itu.

“Kena cepat, sebab Hilux datang pukul 10 pagi dan tidak boleh lewat sebab pemandu kena pergi banyak kampung lain untuk ambil anak-anak lain pergi sekolah,” Rokiah memberitahu Bernama.

Bukan sahaja Rokiah yang terpaksa melalui rutin sedemikian kerana ramai lagi ibu di Pos Simpor yang terpaksa berkorban berjauhan daripada anak demi memastikan mereka berpeluang mendapat pendidikan sama seperti anak-anak lain yang mendapat kemudahan yang lebih baik.

Walaupun diberikan kebenaran untuk anak-anak ini pulang ke rumah setiap dua minggu, hasil persetujuan yang dicapai antara pihak sekolah dan ibu bapa berikutan insiden hitam kehilangan tujuh murid Orang Asli, SK Tohoi pada 2015, namun belum cukup melenyapkan kebimbangan ibu bapa akan keselamatan anak-anak mereka.

“Insiden itu sudah lama dan kami cuba lupakan. Siapa tidak mahu anak berjaya, sebab itu saya bangun awal pagi hendak siapkan anak ke ke hostel kerana dia masih lagi kecil, tidak tahu uruskan diri.

“Kami tidak ‘pegang’ anak...Nak juga mereka ada pekerjaan baik untuk masa depan tapi kami juga bimbang dengan keselamatan anak-anak ini disebabkan kenderaan digunakan tidak selamat dan jalan di sini teruk tambah lagi musim hujan akhir tahun,” Rokiah meluahkan perasaannya kepada penulis ketika merujuk kepada tragedi hitam yang menggemparkan negara hampir lapan tahun lalu.

Rokiah Pandak bersama anak-anaknya. - Gambar Bernama
Rokiah Pandak bersama anak-anaknya. - Gambar Bernama

Ia turut meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat Orang Asli di Pos Simpor apabila empat (4) daripada tujuh (7) murid SK Tohoi yang melarikan diri dari asrama ditemui mati manakala dua masih hidup, sementara seorang lagi tidak ditemui sehingga ke hari ini.

Padat Macam ‘Sardin Dalam Tin’

Pos Simpor yang jaraknya dengan Gua Musang adalah sekitar 98 kilometer adalah antara penempatan Orang Asli paling jauh di pedalaman Semenanjung Malaysia dan tidak boleh ditemui di Google Maps selain hanya boleh diakses melalui jalan balak dan udara.

Selain faktor geografi, keadaan jalan balak yang berlopak dan bahaya menyebabkan anak-anak ini ditempatkan di asrama SK Tohoi seawal Tahun Satu dengan jumlah terkini adalah seramai 109 murid dari 12 kampung (Kg) di  Pos Simpor iaitu Kg Penad, Kg Sedal, Kg Sumbang, Kg Ceranok, Kg Dandut, Kg Jader Lama, Kg Pahoj, Kg Kledang, Kg Pos Simpor, Kg Halak, Kg Rekom dan Kg Tihok.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyediakan kenderaan pacuan empat roda untuk kemudahan anak-anak pedalaman  ke sekolah dan asrama.

Daripada pandangan mata kasar, tidak dinafikan perkhidmatan berkenaan sebagai ‘penyelesaian’ kepada keterbatasan anak-anak kawasan di pedalaman mendapatkan akses pendidikan, namun ia bagai 'melepaskan batuk di tangga’. 

Bayangkan, untuk satu trip perjalanan,  tidak kurang 20 hingga 30 murid memenuhi pacuan empat roda sesendat seperti ‘sardin dalam tin’ sehingga kebanyakan yang berada di belakang pikap terpaksa berdiri.

Pastinya keadaan ini membimbangkan kerana kenderaan berkenaan bukan sahaja tidak berbumbung yang mendedahkan anak-anak ini basah kuyup apabila hujan bahkan merisikokan mereka untuk jatuh berikutan tiadanya pagar penghadang pada kenderaan pikap berkenaan.

"Keadaan ini memang tidak selesa dan membahayakan," demikian kata Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) Hafizudin Nasarudin kepada Bernama. KUASA adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kini banyak terlibat dalam projek pembangunan masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

“Sudah banyak kali saya tersempak dengan pikap yang padat dengan murid sekolah sehingga 30 orang. Kalau tidak silap, yang duduk di depan dalam tiga orang, tempat duduk belakang enam orang manakala selebihnya berada di belakang, memang penuh macam sardin.

“Sebenarnya, situasi sebegini tidak hanya berlaku di sini (Pos Simpor) tetapi kebanyakan perkampungan Orang Asli pedalaman memang ada masalah dengan isu pengangkutan ke sekolah. Ini berdasarkan pengamatan kami yang banyak membuat projek di kampung Orang Asli kawasan pedalaman,” tambahnya.

Tidak Berubah & Bahaya

Apa yang dinyatakan Hafizudin dan penduduk Pos Simpor ternyata benar kerana senario itulah yang penulis lihat tatkala dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur selepas berkampung beberapa hari di Pos Simpor.

Kenderaan yang disediakan itu sebenarnya tidak dapat menampung kesemua murid dari 12 buah kampung itu.

Bagi ketua wakil kecemasan wanita Pos Simpor, Senourei Johari, 26, situasi sebegitulah yang menyebabkan mereka teragak-agak untuk menghantar anak ke sekolah kerana bimbangkan keselamatan anak yang masih kecil.

“Langsung tidak berubah. Masa saya sekolah dahulu, memang penuh satu Hilux dan sekarang pun masih sama, langsung tidak ada had berapa ramai murid boleh diambil dan ini bahaya sebab pikap tidak ada pagar (penghadang) dan jalan sini pun teruk terutamanya musim tengkujuh.

“Pernah semasa saya sekolah dahulu, ada rakan terkena cangkul di dahinya yang disimpan pemandu di belakang Hilux tempat kami semua berdiri menyebabkan berlakunya pendarahan agak teruk,” katanya.

Mendengar cerita wanita ini, penulis dapat membayangkan betapa hebatnya pengorbanan masyarakat di pedalaman yang terpaksa 'bertarung nyawa’ demi menuntut ilmu, malah penulis sendiri melalui pengalaman sama ketika meredah perjalanan mencabar sepanjang laluan ke Pos Simpor dari Gua Musang.

Penulis bersama jurugambar yang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disewa bersama pemandu Orang Asli  berasa  ketidakselesaan itu. Tangan terasa perit berpaut kepada pemegang kenderaan untuk memastikan penulis dapat duduk dengan stabil disebabkan jalan yang banyak lubang besar dan berlopak.

Banyak Gaung

Maka tidak hairanlah sekiranya ada ibu bapa bertegas tidak menghantar anak mereka ke sekolah terutamanya ketika musim hujan atau tengkujuh disebabkan tiadanya jaminan akan keselamatan murid-murid ini sepanjang perjalanan pergi balik ke asrama sekolah. Demikian kata Limat Lias, 45, penduduk Kg Sedal.

“Penduduk kampung sendiri tidak tahu berapa banyak sebenarnya pikap disediakan untuk murid pedalaman Orang Asli Gua Musang kerana ia (sentiasa penuh) tidak hanya di Pos Simpor tetapi kebanyakan pos lain di Gua Musang alami masalah sama.

“Kadang dua, kadang tiga (kenderaan) yang datang tetapi semuanya penuh dan apabila hujan, jalan balak tak rata ini sangat licin, berlumpur dan bahaya sebab pemandu pikap bawa laju...Saya pernah lihat ada pemandu redah saja (lubang) seolah-olah tiada penumpang di belakang,” katanya yang mempunyai sembilan orang anak dan dua masih lagi bersekolah.

Sebelum ini, menurut Limat, pernah berlaku insiden murid sekolah terjatuh dari belakang pikap tersebut dan keadaan ini sudah tentu membimbangkan ibu bapa berikutan terdapatnya beberapa lokasi gaung di situ. 

Salah seorang pemandu yang menyediakan perkhidmatan menghantar murid ke sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Along, turut tidak menafikan keadaan jalan yang berbahaya sepanjang perjalanan dari SK Tohoi ke Pos Simpor terutama di Bukit Penad dan Bukit Lerdor.

Mereka yang tiada pengalaman mengendalikan kenderaan pacuan empat roda di kawasan berkenaan tidak digalakkan memandu ke pos berkenaan memandangkan risiko terbabas amat tinggi.

“Kalau orang luar, memang tidak nampak gaung sebab ia ditutupi semak-samun hutan dan sebab itulah bahaya kalau bawa laju, boleh terbabas. Saya orang sini sudah biasa tetapi kebanyakan pemandu pikap yang bawa murid ke sekolah orang luar, saya pun tidak kenal.

“Memang kena berhati-hati, contoh di Bukit Penad. Nama pun ‘Penad’, memang penatlah memandu melepasi situ terutamanya ketika menghantar murid pulang ke kampung disebabkan pikap perlu naik bukit sangat tinggi, tambah pula jalan tidak elok sekarang ini kerana hujan hampir setiap hari,” katanya.

Serangan Hidupan Liar

Bahayanya Bukit Penad terbukti apabila baru-baru ini sebuah pikap syarikat perladangan terbalik semasa melepasi kawasan tersebut dan Along memaklumkan biasanya murid-murid akan diminta turun dan berjalan kaki sejauh kira-kira 100 meter sebelum menaiki kembali kenderaan bagi mengelakkan risiko terbalik.

Namun langkah yang diambil  itu (meminta turun dan berjalan kaki)  sebenarnya mendedahkan mereka dengan serangan binatang liar terutama gajah yang sering melintasi di kawasan itu.

Perkara ini dikongsi pemangku penghulu Pos Simpor, Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah, 30.

Pembukaan tanah di  kawasan hutan sepanjang jalan menuju ke Pos Simpor untuk projek antaranya penanaman durian musang king dipercayai menjadi punca haiwan liar terutama gajah, harimau keluar daripada habitatnya.

“Anak kami bila-bila masa sahaja berisiko diserang harimau, gajah semasa terpaksa berjalan kaki di hutan tebal. Saya boleh tunjukkan betapa banyaknya tapak kaki gajah yang baharu sepanjang kawasan itu.

“Orang luar tidak nampak pengorbanan besar kami menyekolahkan anak yang masih kecil dalam keadaan kami tidak mampu menghantar sendiri dan terpaksa bergantung kenderaan disediakan JAKOA, tapi lihatlah apa yang mereka sediakan dengan keselamatan langsung tidak ada,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, sejak tahun 2013, beliau dan penghulu banyak kali membuat laporan kepada JAKOA tentang isu pengangkutan serta keadaan jalan yang perlu ditambah baik. Beliau mendakwa sehingga ke hari ini masih tiada langkah penyelesaian dilakukan.

Malah, bapa kepada tiga orang anak ini turut mempersoalkan pelantikan pengusaha pengangkutan yang mendapat tender berkenaan memandangkan mereka bukan sahaja tidak mementingkan aspek keselamatan bahkan pemandu yang digajikan juga ada segelintirnya bermasalah kerana dipercayai mengambil barang terlarang.

“Kami tidak tahu dan tertanya-tanya siapa pengusaha yang dilantik JAKOA dan pemandu yang diambil bekerja kerana mereka datang dengan pikap yang tidak ada logo JAKOA, tidak beruniform dan hanya tahu hon suruh budak-budak naik kenderaan pergi sekolah. 

“Ibu bapa mestilah bimbang, anak kami masih kecil dan naik pula pikap orang tidak dikenali dengan perjalanan lebih empat (4) jam. Kami juga dapat aduan ada antara pemandu ini ambil dadah, pil kuda… Ini bahaya apabila memandu keadaan berkhayal, risikokan anak kami kemalangan,” katanya menambah, JAKOA wajar membuat pemantauan perkhidmatan pengangkutan yang disediakan termasuklah memeriksa latar belakang pemandu yang dilantik.

Jejas Kehadiran 

Nur Mohd Syafiq Dendi mencadangkan supaya JAKOA mewujudkan kembali unit pengangkutan di agensi tersebut seperti sebelum ini bagi memudahkan pemantauan dan pengurusan pengangkutan anak pedalaman selain dapat menjimatkan kos daripada menggunakan perkhidmatan pengusaha luar.

“Kami tidak gembira kerana aspek keselamatan pendidikan anak Orang Asli dilihat tidak dititikberatkan dan kami dapat tahu mereka gunakan pikap sawit.

“Kalau kami mampu, memang tidak mahu menyusahkan orang dan lebih baik hantar sendiri anak ke sekolah tetapi jalan pun tidak elok dan motosikal asyik rosak selepas menempuh jalan tersebut,” katanya yang mengharapkan jalan balak itu dibaiki segera dengan sekurangnya meletakkan batu kerikil.

Pos Simpor adalah antara penempatan masyarakat Orang Asli paling jauh di pedalaman di Semenanjung Malaysia. - Gambar Bernama
Pos Simpor adalah antara penempatan masyarakat Orang Asli paling jauh di pedalaman di Semenanjung Malaysia. - Gambar Bernama

Kesukaran anak pedalaman ini ke sekolah turut diakui guru besar SK Tohoi, Nik Rozman Nik Yaacob, yang berkata permasalahan tersebut menjejaskan purata kehadiran murid sehingga lebih 50 peratus terutamanya ketika musim hujan dan tengkujuh.

Pastinya, situasi ini membimbangkan memandangkan ia boleh meningkatkan lagi masalah keciciran pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli dan polemik ini tidak boleh dipandang enteng sekali gus menuntut pihak sewajarnya mengambil perhatian jitu menanganinya. 

“Kami tidak terlibat langsung dengan isu pengangkutan kerana hanya menerima murid di pintu pagar sekolah. Jadi, untuk tarik kepercayaan ibu bapa menghantar anak ke sekolah adalah penting pihak berkenaan menitikberatkan aspek keselamatan.

“Saya juga tidak fikir ibu bapa lain sanggup membiarkan anak mereka naik kenderaan dengan orang tidak dikenali,” katanya.

Mengulas mengenai isu pengangkutan anak pedalaman, pensyarah kanan Fakulti Sastera dan Sosial Sains, Universiti Malaya (UM) Dr Rusaslina Idrus berkata, permasalahan berkenaan dikenal pasti sebagai punca utama majoriti anak Orang Asli Semenanjung tidak dapat ke sekolah bukanlah hanya berlaku di Pos Simpor semata-mata. 

Ia turut berlaku di sekitar pos pedalaman lain berdasarkan hasil kajiannya selama sembilan bulan pada 2021 bersama rakannya, Wan Ya Shin bertajuk ‘Contextualising Education Policy to Empower Orang Asli Children’ yang dilakukan di lima buah negeri, Selangor, Johor, Perak, Kelantan dan Pahang.

Selain aspek keselamatan dan jalan, beliau berkata, ada antara perkampungan Orang Asli yang langsung tidak dapat akses pengangkutan terutamanya penempatan baharu sekali gus menyebabkan anak mereka tidak dapat ke sekolah.

“Isu pengangkutan punca berlakunya masalah keciciran pendidikan kalangan anak Orang Asli dan kerana itu JAKOA sewajarnya perlu sentiasa melakukan pemantauan, meningkatkan jumlah kenderaan bagi menampung jumlah murid dan melakukan penilaian terhadap pengusaha yang diberikan tender,” katanya sambil menambah, kajian itu dikelolakan Institusi bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Benarkah Pantau?

Biarpun begitu, Ketua Pengarah JAKOA Sapiah Mohd Nor dalam satu temu bual bertulis kepada Bernama menyatakan, pihaknya sentiasa memantau keadaan jalan antara kawasan perkampungan Orang Asli dengan sekolah serta pengangkutan yang digunakan untuk kemudahan pelajar.

“Pada 2022, JAKOA memperuntukkan sebanyak RM36.9 juta untuk tujuan tambang pengangkutan meliputi 627 laluan dari 37 daerah dengan penerima manfaat seramai 41,511 murid Orang Asli yang melibatkan 271 pengusaha pengangkutan.

“Dalam setiap sebut harga perkhidmatan pengangkutan yang dilaksanakan, pihak JAKOA mewajibkan aspek keselamatan seperti pagar penghadang, kenderaan berbumbung dan jumlah kapasiti penumpang mengikut had dibenarkan untuk dipatuhi setiap pengusaha perkhidmatan pengangkutan,” katanya.

Beliau menambah, perkhidmatan pengangkutan berkenaan dilaksanakan secara berkontrak oleh JAKOA negeri dan komitmen agensi bersama pengusaha pengangkutan menunjukkan murid pedalaman ini tidak mengalami masalah aksesibiliti dan ketersempaian ke sekolah tinggi.

Namun begitu, persoalannya apakah benar komitmen dinyatakan itu? Walhal, apa yang dialami penduduk Pos Simpor, dapatan kajian Rusaslina di kawasan kampung Orang Asli lain serta pengalaman penulis bersama jurugambar sepanjang meredah perjalanan ke sekolah, situasi yang berlaku adalah sebaliknya. - Bernama

Tag: Orang Asli, pedalaman, pengangkutan, JAKOA, Gua Musang,

Berita Berkaitan

1

Gaya 2 minggu yang lalu

Jualan Baju Raya Dalam Talian Tidak Jejas Tukang Jahit Orang Asli

2

Kisah Kita 4 bulan yang lalu

Pastikan Tidak Lenyap, Usaha Kamuskan Bahasa Mendriq Sudah Bermula 

3

Semasa 6 bulan yang lalu

Mayat Orang Asli Dipercayai Dibaham Harimau Ditemukan Di Kawasan Cerun

4

Semasa 9 bulan yang lalu

Bomba Terbangkan 2 Pesakit Orang Asli Ke Hospital Gua Musang

Sorotan

1

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

2

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

3

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

4

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

5

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

6

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Menguasai Bahasa Kebangsaan Dengan Baik Bukan Syarat Perbaharui Pasport - JIM

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

“Jenazah Ibu Sempurna” – Anak Allahyarham Noor Rahiza

Semasa 4 jam yang lalu

Pak Lah Dirawat Di IJN Kerana Masalah Paru-paru

oleh Fida Ruzki

Semasa 11 jam yang lalu

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan