Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Perjalanan Panjang, Berliku Dilalui Anwar Jadi Perdana Menteri Ke-10

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Nov 2022 9:10AM

Tempoh satu tahun akan datang boleh memberikan beberapa petunjuk mengenai hala tuju negara di bawah kepimpinan Anwar dan sama ada konsep Kerajaan Perpaduan akan berfungsi - Gambar oleh Azim Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - "Sabar... anda kena belajar dengan Anwar Ibrahim...sabar, begitu lama sabar."

Ini adalah kata-kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada malam selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ketika ditanya media mengenai maklumat terkini pembentukan kerajaan baharu selepas negara berdepan kemelut politik yang menyaksikan Parlimen tergantung.

Komennya agak tepat, memandangkan kesabaran dan ketekunan adalah sifat yang membawa beliau menduduki kerusi panas di Putrajaya hari ini.

Ini terbukti terutama melalui perjalanan beliau yang panjang dan berliku untuk menjadi Perdana Menteri dan perjuangannya menentang rasuah, menjangkau lebih dua dekad dan berdepan  pelbagai halangan.

Kesabaran dan ketekunan adalah sifat yang membawa Anwar Ibrahim menduduki kerusi panas di Putrajaya hari ini - Gambar Fail
Kesabaran dan ketekunan adalah sifat yang membawa Anwar Ibrahim menduduki kerusi panas di Putrajaya hari ini - Gambar Fail

Rintangan pertamanya berlaku pada September 1998, apabila beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ahli UMNO oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, berikutan perbalahan sengit mengenai tuduhan nepotisme dan kronisme dalam parti.

Anwar kemudiannya ditangkap selepas mengetuai perhimpunan besar-besaran di ibu negara dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini dimansuhkan.

Dalam tempoh itu juga beliau hadir ke mahkamah dengan matanya lembam sekali gus memberi ilham kepada logo PKR yang kini popular.

Beliau kemudiannya dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada April 1999 kerana pertuduhan rasuah dan hukuman penjara sembilan tahun dua bulan kemudian kerana meliwat yang akhirnya dibatalkan pada 2004.

Rentetan peristiwa ini melahirkan gerakan Reformasi yang kemudiannya membentuk asas parti PKR.

Rentetan peristiwa sejak tahun 1998 melahirkan gerakan Reformasi yang kemudiannya membentuk asas parti PKR - Gambar Fail
Rentetan peristiwa sejak tahun 1998 melahirkan gerakan Reformasi yang kemudiannya membentuk asas parti PKR - Gambar Fail

Selepas dibebaskan dari penjara, Anwar kembali serta-merta dalam politik, bertanding dan menang di Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum 2008 sebelum mempertahankan kerusi itu lima tahun kemudian, yang mana beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi dijatuhi hukuman penjara pada Februari 2015 atas satu lagi pertuduhan liwat yang dikenakan ke atasnya pada 2008, dan diperintahkan menjalani hukuman penjara lima tahun di penjara Sungai Buloh.

Sudah ditakdirkan, PH yang kemudiannya diketuai oleh isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan bekas musuh Mahathir memenangi PRU 2018, membuka jalan untuk membebaskan beliau dari penjara melalui pengampunan diraja.

Di bawah perjanjian dalam PH, Anwar sepatutnya mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Mahathir dua tahun selepas kemenangan PH, tetapi perjuangan gabungan itu menyaksikan kejatuhan kerajaan, dan membantutkan peluang Anwar menerajui jawatan tertinggi negara.

Anwar mengetuai PH bertanding pada PRU-15, disokong oleh apa yang disifatkannya sebagai sokongan euforia daripada orang ramai seperti Perhimpunan Reformasi pada 1998 - Gambar Fail
Anwar mengetuai PH bertanding pada PRU-15, disokong oleh apa yang disifatkannya sebagai sokongan euforia daripada orang ramai seperti Perhimpunan Reformasi pada 1998 - Gambar Fail

Beliau sekali lagi dipilih memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen sehingga pembubarannya pada 10 Oktober lalu. 

Tidak terganggu dengan pelbagai halangan dan desakan yang semakin meningkat untuk beliau meletakkan jawatan sebagai ketua gabungan itu berikutan kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Anwar mengetuai PH bertanding pada PRU-15, disokong oleh apa yang disifatkannya sebagai sokongan euforia daripada orang ramai seperti Perhimpunan Reformasi pada 1998.

Walaupun PH gagal memenangi 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan, PH berjaya menawan 82 kawasan Parlimen, menjadikannya gabungan tunggal terbesar di Parlimen.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 semalam sekali gus menamatkan kebuntuan politik selama hampir seminggu dan penantian beliau selama beberapa dekad untuk mengisi jawatan tertinggi itu.

Bagi penyokong dan mereka yang rapat dengan beliau, kesabarannya selama ini sekurang-kurangnya kini tidak sia-sia, tetapi bagi Anwar, tanggungjawab sebenar beliau bermula sekarang.

Apa seterusnya untuk Perdana Menteri baharu?

Anwar Ibrahim mengambil alih negara pada saat kritikal ketika kadar inflasi melambung tinggi, nilai ringgit semakin lemah, ketidakharmonian kaum dan landskap politik yang berpecah belah - Gambar oleh Sairien Nafis
Anwar Ibrahim mengambil alih negara pada saat kritikal ketika kadar inflasi melambung tinggi, nilai ringgit semakin lemah, ketidakharmonian kaum dan landskap politik yang berpecah belah - Gambar oleh Sairien Nafis

Pemimpin PKR itu mengambil alih negara pada saat kritikal ketika kadar inflasi melambung tinggi, nilai ringgit semakin lemah, ketidakharmonian kaum dan landskap politik yang berpecah belah.

Apabila Anwar secara rasminya menjadi Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, beliau wajar bertindak dengan segera menangani isu-isu penting itu.

Malah, pemimpin PKR itu nampaknya mengakui hakikat ini apabila beliau, dalam sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri malam tadi, secara khusus menyebut keperluan untuk menyelesaikan kenaikan kos sara hidup.

Semua mata kini akan tertumpu kepada bagaimana kerajaan pimpinan beliau akan menangani kebimbangan itu, terutama selepas parti gabungannya memburukkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini berhubung isu tersebut.

Tetapi mungkin lebih mendesak ialah keperluan untuk mengurangkan ketegangan kaum dan agama yang memuncak dicetuskan oleh pemimpin politik dan penyokong tertentu sejak permulaan kempen PRU-15.

Boleh dikatakan, negara tidak berada dalam keadaan berpecah-belah sejak tragedi berdarah pada 13 Mei 1969, dan jika kandungan video di media sosial baru-baru ini oleh individu tidak bertanggungjawab menjadi isyarat, mereka yang terlibat harus ditahan segera.

Anwar Ibrahim juga mempunyai tanggungjawab kritikal untuk menenangkan pelbagai parti politik, seperti yang disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong - Gambar oleh Alif Omar
Anwar Ibrahim juga mempunyai tanggungjawab kritikal untuk menenangkan pelbagai parti politik, seperti yang disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong - Gambar oleh Alif Omar

Selain itu, Anwar juga mempunyai tanggungjawab kritikal untuk menenangkan pelbagai parti politik, seperti yang disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ini mungkin menjelaskan mengapa beliau membuat cadangan segera kepada PN untuk menyertai PH dalam Kerajaan Perpaduan sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun terdapat permusuhan antara pemimpin kedua-dua parti.

Terdapat juga kebimbangan mengenai krisis dalaman dalam BN yang semakin memuncak sejak Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk bekerjasama dengan PH, yang boleh mengancam kestabilan politik diidamkan oleh Anwar.

Tempoh satu tahun akan datang boleh memberikan beberapa petunjuk mengenai hala tuju negara di bawah kepimpinan Anwar dan sama ada konsep Kerajaan Perpaduan akan berfungsi.

Tetapi dalam konteks yang lebih besar iaitu penggal penuh Parlimen selama lima tahun, Anwar harus diberi sedikit ruang dan masa untuk membuktikan kemampuan dan kebolehannya.

Sehingga itu, rakyat Malaysia hanya boleh berharap kepada beliau untuk membangkitkan keyakinan dan perpaduan dalam negara sebagaimana usahanya mengilhamkan gerakan Reformasi yang kini sinonim dengan PKR. – The Vibes, 25 November 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 jam yang lalu

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

2

Semasa 4 hari yang lalu

Kes Najib: Keputusan Lembaga Pengampunan Adalah Muktamad - PM

3

Politik 5 hari yang lalu

MIC Janji Bantu Kempen PRK Kuala Kubu - PM

4

Politik 1 minggu yang lalu

Kerajaan Tidak Akan Berkompromi Dengan Tindakan Melampau, Jejas Kestabilan Negara

Sorotan

1

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

2

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

3

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

4

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

5

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

6

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

7

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

Disyorkan untuk anda

Sukan 3 jam yang lalu

Piala Thomas: Zii Jia Ketepikan 'Kegoyahan' Kem Perseorangan Lelaki Negara

Semasa 26 minit yang lalu

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

Semasa 1 hari yang lalu

Tunggakan Gaji Bekas Kakitangan Kedah Agro Diselesaikan Secara Berperingkat

oleh Rafisqi Radhi

Semasa 6 jam yang lalu

Kedutaan AS Sangkal Kenyataan Gilley, Malaysia Selamat Untuk Dilawati

oleh Wartawan Getaran