KUALA LUMPUR – Sindiket perjudian atas talian di negara dilihat semakin berani apabila dua lagi klip video raya yang mempromosikan aktiviti haram mereka dihasilkan dan dimuat naik ke media sosial.
Video berdurasi 30 dan 48 saat itu dikesan Polis Dang Wangi dimuatnaik di platform media sosial semalam.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap semua suspek yang terbabit dalam aktiviti perjudian dan pembikinan klip video tersebut.”
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata siasatan lanjut membawa pihaknya kepada penahanan tiga individu, termasuk dua wanita yang dipercayai terbabit dalam video berkenaan.
Katanya, semua suspek berusia antara 21 hingga 42 tahun terbabit ditahan di sekitar ibu negara dan perintah reman akan diperoleh hari ini.
“Polis menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi klip video berkenaan kerana perbuatan itu bukan saja salah di sisi undang-undang malah boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap semua suspek yang terbabit dalam aktiviti perjudian dan pembikinan klip video tersebut,” katanya kepada media.
Menurut Mohamad Zainal, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Seksyen 41(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Ketibaan sambutan Aidilfitri yang dinanti-nantikan umat Islam di negara ini dicemari dengan penerbitan klip video yang mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian dengan menggunakan latarbelakang sambutan perayaan Aidilfitri.
Berlatarbelakangkan perayaan utama umat Islam itu, video terbabit membawakan lirik yang menggalak serta mengajak masyarakat untuk berjudi supaya boleh mendapatkan 'duit raya'.
Bagaimanapun, tindakan itu nyata mendapat kecaman pelbagai pihak yang nyata tidak berpuas hati dengan tindakan menerbitkan video terbabit apabila disifatkan tidak menjaga sensitiviti umat Islam di negara.
Sehingga kini, empat klip video yang mempromosikan perjudian atas talian sedang disiasat polis dengan 18 tangkapan membabitkan pelbagai pihak termasuk pengarah, pelakon, penyanyi dan komposer lagu ditahan. – Getaran, 20 April 2021

