SINGAPURA - Untuk memberi peluang rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura menikmati Ramadan bersama insan tersayang di kampung halaman, McDonald Singapura membantu menghubungkan mereka dengan keluarga di Malaysia melalui kempen terbaharunya My Happy Table.
"Adakah anda (atau sesiapa yang anda kenali) mempunyai keluarga di Johor Bahru yang dirindui ketika menyambut Ramadan? My Happy Table akan menghubungkan lebih ramai umat Islam dengan keluarga mereka,” kata McDonald Singapura di laman Facebook rasminya hari ini.
Rakyat Malaysia yang berminat menyertainya perlu menceritakan kisah mereka di bahagian komen.
McDonald Singapura berkata komen paling menyentuh perasaan bakal menikmati My Happy Table dengan hidangan McDonald percuma di seberang sempadan.
Mereka yang terpilih di Malaysia perlu hadir ke restoran di Canberra, Singapura dan Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, Malaysia pada waktu ditetapkan - 7.30 malam-8.30 malam; 9 malam-10 malam; atau 10.30 malam -11.30 malam antara 23-28 April.
Sempen promosi kempen, syarikat itu pada 16 April telah menyiarkan filem mengenai beberapa warga Malaysia yang bekerja di McDonald Singapura yang tidak berpeluang menyambut Ramadan bersama keluarga mereka di Malaysia.
"Tonton kisah Samsuri untuk menyaksikan bagaimana Semangat Ramadan lebih kuat daripada sempadan yang memisahkan kita," tulis syarikat itu.
Filem sedih itu boleh ditonton di http://bit.ly/McDonaldsMHT dan dikongsi secara meluas di media sosial. - Bernama
