AMPANG – Pasangan suami isteri yang juga ibu dan bapa saudara kepada dua beradik disyaki didera di Taman Cahaya di sini akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika mengesahkan perkara itu berkata, kedua-dua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Untuk makluman, kedua-dua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001 esok, pada jam 9 pagi di Mahkamah Ampang,” katanya kepada media hari ini.
Jumaat lalu, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun diselamatkan ketika cuba membunuh diri dari tingkat empat sebuah kondominium, di Taman Cahaya di sini.
Dia bertindak berdiri di luar tingkap, dipercayai kerana tidak tahan didera ibu dan bapa saudaranya, masing-masing berusia 33 dan 29 tahun.
Turut didera ialah adik perempuan mangsa berusia enam tahun.
Mohamad Farouk berkata, selepas kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan, pihaknya menemui kesan lebam di bahagian belakang badan, kaki dan tangan mangsa.
“Kedua-dua beradik tersebut dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut dan mereka kini diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Kedua-dua suspek kemudiannya direman selama lima hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – Getaran, 22 September 2022
.jpg)
