Berita Terkini

2 jam yang lalu: Kerajaan Perak tunggu laporan siasatan pesawat terhempas di Ipoh 2 jam yang lalu: 4,053 pegawai kontrak ke jawatan tetap tahun ini - Khairy 2 jam yang lalu: Israel mengaku bunuh 5 kanak-kanak Palestin dalam serangan baru-baru ini - Agensi Anadolu 2 jam yang lalu: MAHB rekod 7.8 juta pergerakan penumpang pada Julai 2022 4 jam yang lalu: Cadangan tubuh suruhanjaya siasatan diraja bagi siasat isu LCS dibawa ke Kabinet esok - Hishammuddin

IKUTI KAMI


Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Mula Tunjuk Hasil Positif

Semasa Dikemaskini 2 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 28 Jul 2022 9:17AM

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa - Gambar Fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Setelah hampir sebulan ditubuhkan, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dilihat berada di landasan tepat apabila ia mula menunjukkan hasil positif dalam menguruskan kenaikan kadar inflasi yang meresahkan rakyat kebelakangan ini.

Diwujudkan oleh kerajaan pada 29 Jun lepas, pasukan itu yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran ekoran peningkatan kos sara hidup.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Komitmen pasukan khas itu dalam menangani inflasi terbukti menerusi perancangan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk pemberian subsidi, pemantauan dan penguatkuasaan melalui kementerian berkaitan.

 

KOMITMEN KERAJAAN KAWAL INFLASI

Dalam satu laporan media baru-baru ini, Annuar dipetik meluahkan tekad pasukan untuk mengawal dan seterusnya mengekalkan kadar inflasi serta harga barangan makanan di negara ini pada kadar rendah.

Beliau turut memberi jaminan pasukan tersebut akan melakukan usaha berterusan dengan melaksanakan beberapa langkah drastik yang akan diumumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan  Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.4 pada Jun 2022 berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9 peratus.

Mengulas mengenainya, pensyarah kanan di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Raja Rizal Iskandar Raja Hisham berkata penubuhan pasukan itu adalah relevan dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini, demi menjamin kebajikan rakyat.

Dr Raja Rizal Iskandar Raja Hisham
Dr Raja Rizal Iskandar Raja Hisham

“Penubuhan pasukan ini adalah perlu kerana masalah inflasi dan kos sara hidup telah menunjukkan kesannya ke atas rakyat sejak tahun lepas lagi.

“Kemungkinan agensi, jawatankuasa atau pihak berkaitan sebelum ini lebih tertumpu pada pelaksanaan gaji minimum dalam membantu rakyat menghadapi kos sara hidup sedangkan impak inflasi menekan hampir semua kelompok masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Justeru, pasukan itu akan memainkan peranan mencari penyelesaian di peringkat akar umbi termasuk mengenal pasti punca kenaikan harga barang tertentu yang disifatkan tidak munasabah.

“Pasukan ini bertanggungjawab bertindak balas kepada keadaan inflasi dan ia tidak berfungsi secara ‘ad hoc’ semata-mata.

“Keberkesanan pasukan ini semestinya akan membuahkan hasil dengan usaha pemantauan dan penguatkuasaan terperinci terhadap jaringan rantaian makanan yang mengakibatkan berlakunya kenaikan harga,’’ kata Raja Rizal Iskandar.

Antara usaha terbaharu yang dibuat pasukan itu ialah penetapan harga maksimum minyak masak yang akan diputuskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selepas didapati pengeluar minyak masak botol masih “liat” untuk menurunkan harga sekalipun harga minyak sawit dunia telah turun.

Menerusi langkah itu, kerajaan akan mewartakan harga minyak masak botol mengikut kaedah undang-undang sedia ada dan berdasarkan harga pasaran minyak sawit mentah dunia.

 

ADUAN MASYARAKAT EFEKTIF KEKANG PENCATUTAN

Mengulas lanjut, Raja Rizal Iskandar berkata kewujudan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu turut memberi kelebihan kepada rakyat yang dapat menyalurkan aduan dan pandangan berkaitan harga sesuatu barang secara langsung.

Beliau berkata dengan pendekatan turun padang, peranan pasukan itu disifatkan lebih berkesan apabila dapat mewujudkan kerjasama rapat dengan masyarakat.

“Contohnya, apabila berlaku kekurangan makanan asas seperti telur ayam atau kenaikan harga barang di satu-satu tempat, aduan dapat disalurkan terus kepada pasukan untuk siasatan terperinci.

“Pendekatan ini juga dapat mengesan mana-mana peniaga yang tidak bertanggungjawab dan sengaja mengaut untung besar ketika negara berdepan ancaman inflasi,’’ katanya.

Pandangan senada turut disuarakan Dr Ariff Azly Muhamed, pensyarah kanan di Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA yang menyifatkan keberkesanan langkah mengekang aktiviti pencatutan dapat meminimumkan kenaikan harga barang.

Dengan pendekatan turun padang, peranan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi disifatkan lebih berkesan apabila dapat mewujudkan kerjasama rapat dengan masyarakat - Gambar Hiasan
Dengan pendekatan turun padang, peranan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi disifatkan lebih berkesan apabila dapat mewujudkan kerjasama rapat dengan masyarakat - Gambar Hiasan

“Kita harus setuju kenaikan inflasi adalah sesuatu yang sukar dielakkan, namun sekiranya aktiviti pencatutan dapat dibendung, inflasi mampu memberikan impak positif termasuk harga barangan lebih terkawal sekali gus tidak membebankan rakyat,’’ katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan khas tersebut  berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta menyelaraskan tindakan, khususnya untuk mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Ini susulan terdapat laporan sesetengah peniaga yang menaikkan harga serta menjual barangan melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan. 

 

PASUKAN KHAS MAMPU SELESAIKAN INFLASI 

Dalam pada itu, Ariff Azly berkata rakyat perlu memberi ruang kepada pasukan khas tersebut dalam usaha menyelesaikan isu berkaitan inflasi secara total.

Beliau berkata penubuhan pasukan itu merupakan langkah proaktif kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

“Penubuhan (pasukan khas) adalah peringkat awal kerajaan dalam menangani inflasi, kita yakin sekiranya skop bidang kuasa pasukan itu diperluas dan diperkasakan ia mampu menyelesaikan masalah berkaitan inflasi.

“Banyak lagi langkah atau syor yang boleh dilakukan pasukan ini sekiranya ada komitmen yang berterusan dan jihad ke arah itu (tangani inflasi)… kita pasti pasukan khas ini akan mencapai matlamat penubuhannya,” katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman dalam satu kenyataan pula berkata penubuhan pasukan itu adalah satu pendekatan rentas kementerian yang holistik dirumuskan kerajaan serta memastikan rakyat memahami situasi yang sedang melanda negara.

Beliau berkata kerajaan melalui pasukan khas itu akan membuat pengumuman setiap kali mesyuarat diadakan untuk memaklumkan rakyat mengenai tindakan susulan yang akan diambil bagi menangani masalah inflasi.

Jelasnya menerusi langkah itu, secara tidak langsung akan menyedarkan rakyat tentang komitmen kerajaan dalam memainkan peranan mengurangkan impak inflasi ke atas rakyat. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Kebocoran Data: Pengguna Data Dicadang Wajib Lantik Pegawai Perlindungan Data

2

Semasa 2 minggu yang lalu

Pinda Akta, Guna Teknologi Tertentu Perkukuh Perlindungan Data Peribadi - Annuar

3

Kisah Kita 2 minggu yang lalu

Dari Runway Ke Tabligh, Syaqireen Buktikan Model Juga Boleh Berdakwah!

4

Semasa 3 minggu yang lalu

Potong Gaji Menteri Supaya Mereka Sedar Betapa Sukar Hidup Rakyat

Sorotan

1

LCS: Cadangan Tubuh RCI Dibawa Ke Kabinet Esok - Hishammuddin

2

Ustaz Abu Syafiq Menang Kes Saman Fitnah Siber Terhadap PU Faiz 

3

Tumbuk, Toreh Muka Rakan Selepas Enggan Bayar Kos Baiki Kereta

Disyorkan untuk anda

Semasa 14 jam yang lalu

Lonjakan Kos Sara Hidup Beri Kesan, Keluarga Tentera Akui Terbeban

oleh Izwan Ramlan

Semasa 1 jam yang lalu

Mengapa Tindakan Terhadap Tokoh Politik 'Besar' Ambil Masa Puluhan Tahun? - Anwar

oleh Fitri Nizam

Politik 5 jam yang lalu

PAS Boleh Takluk Pahang Pada PRU-15 Jika…

oleh Aiman Sadiq

Semasa 1 hari yang lalu

Buli Siber: Akta Khas Perlu Digubal, Kempen Wajar Ditambah Baik

oleh Sofian Baharom