KUALA LUMPUR - Ibu bapa yang membayar tambang untuk perkhidmatan bas sekolah tidak akan terbeban sekiranya caj itu dinaikkan.
Jaminan terbabit diberikan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat.
Beliau berkata, kenaikan tambang perkhidmatan pengangkutan itu adalah tidak sama kerana nilainya berpandukan kawasan dan status masyarakat setempat.
Katanya, ia selepas kerajaan sudah tidak mengawal tambang bas sekolah bermula 1 Januari 2015, menyebabkan jumlahnya terpulang kepada pasaran.
Menurutnya, bagi kenaikan tambang, pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada pengusaha serta biasanya, semua itu bergantung kepada kajian semula penyata untung rugi, selain kata sepakat operator bas sekolah bersama ibu bapa.
“Berdasarkan rekod kami, tambang bas sekolah pada masa ini adalah antara RM50 contohnya di Keramat, manakala bagi kawasan elit seperti Damansara dan Petaling Jaya, boleh mencecah RM300 sebulan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa ibu bapa perlu bersedia dengan ura-ura kenaikan tambang bas sekolah di sekitar Lembah Klang yang dijangka bermula minggu depan atau Julai, berikutan kos penyelenggaraan serta alat ganti kenderaan meningkat secara mendadak.
Amali Munif berkata, kos kenaikan tambang itu membabitkan kiraan 44 kali pelajar menaiki bas dalam sebulan, iaitu 22 hari maksimum dengan dua kali sehari dan mengikut kadar terbabit, ia dikira masih rendah.
Sementara itu, pengusaha bas sekolah sekitar Damansara, Mohd Zaid Zainuddin, 50, berkata, kenaikan tambang secara purata RM15 hingga RM25 sebulan boleh dipertimbangkan, memandangkan sudah ramai penyedia perkhidmatan berkenaan yang gulung tikar dan beralih ke industri pekerjaan lain.
“Setakat ini kami (pengusaha bas sekolah) sudah memberikan gambaran awal kepada ibu bapa. Perbincangan mengenai kenaikan tambang juga dilakukan supaya mereka tidak terkejut dengan perubahan ini.
“Ada dalam kalangan mereka memahami dan bersetuju dengan usaha ini, cuma meminta supaya kadar kenaikan tidak terlalu ketara (cadangan kenaikan mereka hanya RM10 hingga RM15 ),” katanya.
Bagi pengusaha van sekolah, Shahrul Aidit Ahmad, 48, yang sudah 20 tahun menawarkan perkhidmatan mengambil dan menghantar murid di sekitar Kelana Jaya, Selangor, pertambahan caj itu wajar berikutan kos penyelenggaraan dan servis kenderaan terbabit kini meningkat berganda selepas pandemik baru-baru ini.
“Mahu atau tidak, pada masa ini kita berhadapan dengan kenaikan harga semua barang, termasuk kos penyelengaraan bas dan alat ganti kenderaan import, terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelasnya, ketika ini, purata tambang adalah mengikut jarak dari rumah ke sekolah, iaitu lebih kurang dua kilometer (km) hingga tiga km dengan nilai RM50 untuk sehala bagi setiap bulan atau kira-kira RM100 sebulan seorang untuk pergi dan balik.
__Datuk_Nadzim_Johan_-_Azim_Rahman_3.jpg)
Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, kerajaan perlu memiliki formulasi dengan melaksanakan langkah pemberian subsidi kepada pengusaha bas sekolah untuk mengurangkan impak kenaikan tambang dalam pelbagai aspek.
“Kaedah memberikan subsidi tersebut boleh dilakukan dengan pelbagai cara, antaranya tuntutan boleh dibuat daripada kerajaan atau memberikan faedah lain, seperti simpanan premium atau kredit dapat ditukar kepada perkara lain yang sesuai untuk kegunaan pengusaha bas sekolah,” katanya.

Isu kenaikan tambang bas sekolah juga mendapat perhatian Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan yang mencadangkan kerajaan menetapkan harga siling.
“Cadangan itu bagi memastikan jumlah kenaikan tambang tidak dibuat sesuka hati sehingga memberi bebanan kepada ibu bapa.
“Kerajaan juga perlulah memikirkan mengenai subsidi terhadap kenderaan digunakan, terutama dalam kalangan pengguna tetap bas sekolah yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan isi rumah B40 dan M40,” katanya. - Getaran, 30 Mei 2022

