Berita Terkini

10 jam yang lalu: Sukan SEA: Andre Anura Anuar muncul juara acara lompat kijang lelaki, sasaran lima emas sukan olahraga tercapai 13 jam yang lalu: Peningkatan kes COVID-19 ketika adalah dalam jangkaan KKM - Khairy 13 jam yang lalu: Ubat antiviral Paxlovid berkesan merawat COVID-19 - Khairy 14 jam yang lalu: Maybank perkenal pengeluaran tunai ATM tanpa sentuh 14 jam yang lalu: Polis Kelantan tahan warga Thailand, rampas pil Yaba bernilai RM480,000

IKUTI KAMI


2 Peguam, Aktivis Fail Saman Pemula Siasatan Terhadap Mohd Nazlan

Semasa Dikemaskini 1 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 07 May 2022 9:27AM

Mohd Nazlan Mohd Ghazali - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Dua peguam dan seorang aktivis memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan dua yang lain untuk menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah tidak berperlembagaan.

Ketiga-tiga plaintif, Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Ibrahim menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga dalam saman pemula itu.

Mereka memohon untuk perisytiharan bahawa SPRM tidak berhak untuk menyiasat hakim-hakim yang berkhidmat melainkan mereka telah digantung atau dipecat.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim mahkamah yang berkhidmat dan siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam mereka, Tetuan Malik Imtiaz Sarwar, ketiga-tiga individu itu berkata mereka juga telah memfailkan permohonan untuk merujuk dua soalan perlembagaan berhubung relif yang dimohon ke Mahkamah Persekutuan.

"Kami telah memulakan prosiding terhadap mereka untuk menentukan persoalan perlembagaan yang penting mengenai pengasingan kuasa dan kebebasan badan kehakiman yang timbul akibat siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan," kata mereka.

Menurut plaintif, mereka berpandangan siasatan terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

"Ia adalah perkara sangat penting yang memberi kesan kepada semua orang di negara ini. Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap daripada rakyat akses kepada keadilan, ditadbir oleh badan kehakiman yang bebas daripada sebarang campur tangan.

"Kami tidak berpandangan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kebal daripada siasatan jenayah atau pendakwaan.

Seperti kita semua, mereka mesti bertanggungjawab di atas sebarang jenayah yang mungkin mereka lakukan. Bagaimanapun, kuasa untuk menyiasat dan memulakan prosiding jenayah mesti seimbang dengan keperluan untuk memastikan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman," tegas mereka.

Mereka mendakwa perlembagaan menyediakan mekanisme untuk memastikan akauntabiliti hakim dengan cara yang tidak menjejaskan keyakinan orang ramai.

"Mekanisme itu melibatkan aduan yang dibuat secara bertulis kepada Ketua Hakim Negara dan apabila aduan itu memerlukan penyingkiran seorang hakim, pelantikan tribunal perlu dilakukan untuk menentukan aduan itu. Pada masa sama, hakim berkenaan hendaklah digantung tugas.

"Kami percaya kuasa SPRM untuk menyiasat mesti dibaca, tertakluk kepada mekanisme perlembagaan ini. Pendekatan yang harmoni akan membolehkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman, sambil memastikan hakim itu dipertanggungjawabkan," kata mereka.

Mereka juga berpendapat Kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara telah berdiam diri dalam menghadapi penegasan SPRM bahawa ia berhak menyiasat Hakim Mohd Nazlan.

"Sehubungan itu, ia menampakkan bahawa mereka bersetuju dengan pandangan SPRM. Badan kehakiman dibiarkan terkontang-kanting kerana tidak mempunyai kedudukan untuk memohon. Oleh itu kami terpaksa mengikut keadaan untuk menentukan isu-isu perlembagaan penting ini," kata mereka.

Pada 23 April, akhbar The Star menyiarkan laporan eksklusif bahawa Azam telah mengesahkan suruhanjaya itu telah memulakan siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya berikutan laporan rasmi yang dibuat berhubung perkara itu.

Baru-baru ini, Hakim Mohd Nazlan, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April memaklumkan bahawa Mohd Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman. - Bernama

Sorotan

1

Awal Ashaari Didakwa Khianat Rosak Palang Pagar Sebuah Perumahan

2

Bijak Bermain Kata, Sajak Teo Wei Sing Tembusi Dunia

3

Bastianini Catat Kemenangan MotoGP Ketiga Di GP Perancis

Disyorkan untuk anda

Semasa 14 jam yang lalu

Agensi, Jabatan Kerajaan Perlu Hormati Peranan Media 

oleh Sofian Baharom

Semasa 1 hari yang lalu

Malaysia Mohon 5,000 Tambahan Kuota Haji

Semasa 12 jam yang lalu

Ubat Antiviral Paxlovid Diperluas Ke Hospital, Klinik Swasta Dan Hospital Pengajar

Semasa 18 jam yang lalu

Banjir: 3 PPS Dibuka Di Kedah, Negeri Sembilan Tempatkan 138 Mangsa