Berita Terkini

10 jam yang lalu: Sukan SEA: Andre Anura Anuar muncul juara acara lompat kijang lelaki, sasaran lima emas sukan olahraga tercapai 13 jam yang lalu: Peningkatan kes COVID-19 ketika adalah dalam jangkaan KKM - Khairy 13 jam yang lalu: Ubat antiviral Paxlovid berkesan merawat COVID-19 - Khairy 13 jam yang lalu: Maybank perkenal pengeluaran tunai ATM tanpa sentuh 13 jam yang lalu: Polis Kelantan tahan warga Thailand, rampas pil Yaba bernilai RM480,000

IKUTI KAMI


Masalah Tidak Timbul Jika Perdana Menteri Guna Ungkapan Bahasa Malaysia-Indonesia - MPN

Semasa Dikemaskini 1 bulan yang lalu ยท Diterbitkan pada 07 Apr 2022 3:25PM

Panelis program Minda Profesor Negara bertajuk Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia sebagai Bahasa Antarabangsa.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Usul Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar Bahasa Melayu dijadikan bahasa kedua ASEAN terus menjadi perdebatan panas antara Malaysia dan negara jiran, Indonesia.

Terbaru, Menteri Pendidikan, Budaya, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim menolak usul tersebut dan berpendapat Bahasa Indonesia lebih wajar dianggap sebagai bahasa ASEAN dengan mengambil kira kelebihan sejarah, undang-undang serta linguistik.

Menurut Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Kamaruddin M Said, kekeliruan timbul apabila Ismail Sabri menyebut ungkapan Bahasa Melayu semasa menyatakan usul beliau untuk menjadi bahasa tersebut sebagai bahasa kedua ASEAN.

Namun beliau berpendapat, ungkapan Bahasa Melayu yang disebut Perdana Menteri semasa menyatakan usul tersebut sebenarnya bermaksud bahasa nusantara.

“Kesan perubahan nama Bahasa Malaysia ke Bahasa Melayu sudah menimbulkan kekeliruan. Tidak ramai orang mengerti tentang konteks Bahasa Melayu daripada perspektif Indonesia.

“Sebab kalau di Malaysia, orang Malaysia selalu suka menyebut ini alam Melayu, semuanya sekali yang kita panggil Nusantara itu alam Melayu, jadi bahasanya Bahasa Melayu.

“Jadi sewaktu Perdana Menteri mengatakan bahawa Bahasa Melayu perlu jadi bahasa kedua ASEAN, saya fikir beliau bermaksud Bahasa Melayu disebutkannya itu bahasa Nusantara yang termasuk di dalamnya bahasa Indonesia sebab penuturnya 300 juta orang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Minda Profesor Negara bertajuk Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia sebagai Bahasa Antarabangsa yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook MPN, hari ini.

Program yang berlangsung lebih sejam itu turut menampilkan Prof Dr Ir Ari Purbayanto dan Prof Dr Aminuddin Aziz dari Asosiasi Profesor Indonesia (API).

Jelas Kamaruddin lagi, kekeliruan itu tidak akan tercetus sekiranya Perdana Menteri menggunakan ungkapan Bahasa Malaysia-Indonesia ketika menyatakan usul beliau.

“Tetapi di Indonesia ungkapan Bahasa Melayu itu bermaksud bahasa daerah Riau semata-mata. Jadi pada saya, kalaulah Perdana Menteri menggunakan ungkapan Bahasa Malaysia-Indonesia, tentu tidak menimbulkan masalah.

“Bila disebut Bahasa Melayu kepada Indonesia ia menjadi masalah. Jadi saya fikir sudah ada percubaan untuk mengubah kembali nama Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia pada 2007 tetapi tidak berjaya.

“Jadi sekarang harus dicuba lagi supaya pada waktu itu orang tidak begitu mengerti tentang sentimen nama Bahasa Melayu itu di Indonesia. Saya pun baharu mengerti sewaktu (program) di Surabaya,” katanya.

Mengimbau kembali pengalamannya sewaktu di Surabaya, beliau menyedari bahawa dalam undang-undang dasar Indonesia sudah dinyatakan walaupun bahasa itu Bahasa Melayu, tetapi sebagai bahasa negara, ia dikenali Bahasa Indonesia bukan lagi Bahasa Melayu.

Justeru, Kamaruddin menasihati pejuang bahasa di negara ini supaya memahami dasar tersebut dan harus bersedia mengubah semula nama Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kerjasama memartabatkan Bahasa Melayu tidak akan terhalang disebabkan kesilapan nama tersebut.

“Walaupun betul kedua-dua bahasa ini terasnya ialah bahasa melayu, tapi ia mempunyai implikasi. Apabila kita sebut bahasa tadi ia bahasa tanpa sempadan.

“Kalau dalam dunia akademik memang jelas ini bahasa serumpun tetapi tidak serupa,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpendapat, dalam dunia digital hari ini, bahasa dipilih aplikasi terjemahan atas talian iaitu Bahasa Indonesia akan lebih cepat membangun di pentas dunia.

“Dalam dunia digital sekarang, kita secara tidak langsung terlibat dengan kerja terjemahan secara digital, Google Translate misalnya. Jadi kalau Bahasa Indonesia itu, Google Translate lebih mudah menterjemahkannya kerana bahasa itu diucapkan ramai orang dan algoritma Bahasa Indonesia sudah mantap.

“Tapi kalau dalam Bahasa Melayu, yang penuturnya tidak ramai dan tidak banyak terjemahan dilakukan, algoritmanya lambat. Jadi saya fikir bahasa yang dipilih Google Translate, bahasa itulah akan cepat membangun di pentas dunia. Pada saya itulah (Bahasa Indonesia) bahasa yang dibantu teknologi tadi,” katanya. - Getaran, 7 April 2022

Sorotan

1

Awal Ashaari Didakwa Khianat Rosak Palang Pagar Sebuah Perumahan

2

Bijak Bermain Kata, Sajak Teo Wei Sing Tembusi Dunia

3

Bastianini Catat Kemenangan MotoGP Ketiga Di GP Perancis

Disyorkan untuk anda

Semasa 8 jam yang lalu

Bakar Mercun Dekat Plaza Tol, 5 Lelaki Dicekup Polis

oleh Sofian Baharom

Semasa 20 jam yang lalu

Harga Tepung Dijangka Melonjak, Peniaga Makanan Tepuk Dahi

oleh Fitri Nizam

Politik 1 hari yang lalu

JPP Pandang Serius Dakwaan Rafizi, Aplikasi ADIL Pelaburan Jangka Panjang

oleh Aiman Sadiq

Sukan 1 hari yang lalu

Doa Ibu Bapa Iringi Kejayaan Sazzlan Genggam Emas Di Hanoi

oleh Ardyhansah Amat