KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal menemui ajal selepas dilanggar pemandu yang dipercayai mabuk di Jalan Kuching dari arah Jalan Kinabalu ke Selayang, di sini, awal pagi tadi.
Nahas pada jam 1.10 pagi itu membabitkan motosikal Demak EX90 dinaiki mangsa yang berusia 40 tahun dan sebuah Perodua Myvi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dilanggar dari arah belakang oleh Perodua Myvi di laluan sama.
Menurutnya, mangsa terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tembok penghadang jalan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu kereta berusia 32 tahun mengalami kecederaan ringan ditahan dan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian," katanya hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Getaran, 12 Mac 2022
