KUALA LUMPUR - Orang awam diminta agar tidak hanya menuding jari kepada penjawat awam kerana isu integriti melibatkan semua pihak, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata, isu integriti sangat memerlukan penglibatan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang bagi membendung ia daripada terus berleluasa.
“Sebagai contoh, masyarakat pun menggalakkan rasuah juga, apabila YB (Yang Berhormat) datang ke kenduri, mereka minta banyak duit.
“Jika YB beri RM50, dia (masyarakat) komplen, dia nak RM500. YB nak cari dari mana? Itu, kita menggalakkan rasuah jugalah,” katanya pada Program Executive Talk yang membicarakan mengenai ‘Intergriti Dalam Menjaga Kerahsiaan Negara’, hari ini.
Menurut Ayob Khan, isu integriti bukan hanya boleh dipertanggungjawabkan secara total kepada penjawat awam untuk dibendung.
“Orang awam pun penting juga. Isu rasuah dan integriti bukan membabitkan penjawat awam saja tetapi semua pihak.
“Ia perlu melibatkan semua, jika tidak susah (nak dibendung), ia takkan habis (rasuah),” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyangkal dakwaan bahawa tiada tindakan diambil terhadap pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dengan masalah integriti.
Tegasnya, pegawai dan anggota PDRM juga tidak terkecuali menjalani siasatan oleh dua pihak iaitu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Tidak ada kata kita (PDRM) bertolak ansur terhadap pegawai dan anggota sendiri, tidak ada. Ketika saya di Johor, saya fokus dekat kertas siasatan (membabitkan integriti) jika ada membabitkan kes jenayah, pada masa sama JIPS juga siasat, serentak.
“Kertas siasatan jenayah ini mudah, jika dituduh di mahkamah kita akan tahan kerja, jika sabit kesalahan kita akan gantung kerja,” katanya.
Ayob Khan berkata, ramai anggota yang terlibat dalam isu salah laku dan integriti dibuang kerja sepanjang dua tahun beliau memegang jawatan Ketua Polis Johor.
“Pada tahun 2020 seramai 49 orang dibuang kerana terlibat dengan isu dadah, manakala tahun berikutnya lebih 30 orang dibuang kerja,” katanya. – Getaran, 17 Februari 2022
