Berita Terkini

5 jam yang lalu: Penerbangan terus antara Kuala Lumpur-Tashkent mulai Julai ini 5 jam yang lalu: Peter Anthony tipu 4 individu termasuk Najib dapatkan kontrak di UMS - Hakim 5 jam yang lalu: Produk ‘Prime Kopi Pejuang 3 In 1’ boleh sebabkan pengambilan 'dos berlebihan' Tadalafil 5 jam yang lalu: Untung bersih suku pertama Petron Malaysia naik kepada RM106.4 juta 6 jam yang lalu: 'Health Alert monkeypox’ akan dilaksanakan menerusi aplikasi MySejahtera mulai esok - Khairy

IKUTI KAMI


Thaipusam: Pelaksanaan SOP, Sambutan Sederhana Tidak Jejas Semangat Penganut Hindu

Semasa Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jan 2022 1:27PM

Seorang penganut Hindu dilihat menyucikan badan sebelum membawa belanga berisi susu ke Kuil Thirumurugan Labuan sempena sambutan Thaipusam hari ini. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19 dan sambutan yang agak sederhana tahun ini berbanding sebelum pandemik, tidak melemahkan semangat penganut Hindu di negara ini untuk menyambut perayaan Thaipusam hari ini.

Di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves dekat sini, yang menjadi tumpuan penganut Hindu dari seluruh negara selain kehadiran pelancong asing bagi sambutan Thaipusam setiap tahun, kemeriahannya masih boleh dirasai tahun ini walaupun dijalankan dalam persekitaran SOP yang ketat.

Selain kavadi tidak dibenarkan oleh pengurusan kuil, bilangan penganut yang memasuki perkarangan kuil dihadkan kepada 9,000 orang, manakala bagi upacara sembahyang sebanyak 18 sesi, hanya dibenarkan 500 orang untuk setiap sesi.

Turut hadir di kuil berkenaan hari ini ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique bagi meninjau situasi semasa sambutan hari Thaipusam kali ini.

Di SELANGOR, Kuil Subramaniar Swamy di Batu Tiga, Shah Alam menjadi antara tumpuan para penganut Hindu dari kawasan sekitar bagi menjalankan upacara sembahyang.

Sukarelawan di kuil itu, R Ravindran, 25, berkata orang ramai mula mengunjungi rumah ibadat itu seawal 7 pagi dan semua peka dengan pematuhan SOP bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

“Namun kita (sukarelawan) akan tetap ingatkan mereka agar sentiasa patuh dengan SOP ketika dalam kuil termasuk hanya berkumpul sesama ahli keluarga ketika bersembahyang dan memendekkan tempoh keberadaan mereka dalam kuil. Ini bagi memberi laluan kepada orang lain untuk masuk bersembahyang dan menjaga jarak fizikal,” katanya ketika ditemui Bernama.  

DI PULAU PINANG, penganut Hindu dilihat mula membanjiri perkarangan pintu Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam (Kuil Hilltop) seawal pukul 3 pagi biarpun pintu berkenaan hanya dibuka pada 5 pagi bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Pengerusi kuil itu Datuk R Subramaniam berkata kehadiran awal orang ramai dikawal oleh pihak polis yang telah mendirikan pos kawalan di kuil itu sejak Ahad lepas, selain mewujudkan tujuh pos kawalan bagi memastikan keamanan dan pematuhan SOP sepanjang sambutan Thaipusam berlangsung serta mengawal bilangan pengunjung yang hadir ke kuil.

“Selepas melalui pos kawalan, setiap penganut yang masuk pintu kuil dikehendaki mengimbas MySejahtera dan memeriksa suhu badan. Mereka kemudiannya perlu beratur sehingga mencapai 150 individu sebelum mula mendaki 513 anak tangga untuk sampai ke puncak kuil,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Kuil Sri Balathandayuthapani  di Jalan Yamtuan, Seremban yang biasanya sesak dengan orang ramai setiap kali sambutan Thaipusam sebelum pandemik COVID-19, kelihatan berbeza apabila kali ini sambutannya dibuat secara sederhana.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati penganut Hindu di sini hadir sejak pukul 8 pagi bagi melakukan upacara keagamaan dengan mematuhi prosedur SOP ditetapkan termasuk memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan fizikal.

Presiden kuil berkenaan, R Parameswaran berkata seramai 200 pengunjung dihadkan ke kuil berkenaan pada satu-satu masa bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari dengan hanya upacara sembahyang dan upacara ‘paal koodam’ atau membawa belanga berisi susu sahaja dibenarkan.

Di JOHOR, tinjauan di Kuil Arulmigu Sri Balasubramaniar, Skudai, Johor Bahru mendapati penganut Hindu tiba seawal pukul 7.30 pagi dengan ahli pengurusan kuil memastikan mereka membuat pemeriksaan suhu badan dan mengimbas kod MySejahtera.

Pengerusi kuil Datuk KS Balakrishnan berkata secara keseluruhan dianggarkan seramai 800 orang melakukan upacara sembahyang dan ‘paal koodam’ hari ini dengan hanya 50 individu dibenarkan memasuki perkarangan kuil dalam masa sejam.

“Sehingga tengah hari ini, 300 orang  hadir mengikut giliran waktu yang telah ditetapkan dengan hanya 50 orang dibenarkan masuk ke kuil setiap sejam. Kita (pihak kuil) menyediakan kaunter, dan kesemua mereka telah berdaftar dengan pengurusan kuil untuk hadir pada hari ini,” katanya, sambil menambah seramai 50 ahli pengurusan kuil bertugas untuk memantau SOP dengan dibantu anggota Polis dan Rela.

Di PERAK, sejak 6.30 pagi kira-kira 2,000 orang penganut  Hindu hadir secara berperingkat bagi meraikan sambutan hari Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh.

Presiden Kuil Perak M. Vivekananda ketika ditemui berkata selalunya sambutan di rumah ibadat yang terkenal itu menjadi tumpuan kira-kira 400,000 orang pada setiap kali sambutan Thaipusam dengan pelbagai upacara keagamaan, perarakan pedati dan pembawa kavadi, namun semuanya berbeza sejak pandemik COVID-19 melanda.

“Kali ini kami  sambut dengan sederhana dan akur dengan arahan kerajaan yang tidak membenarkan kavadi dan hanya 100 orang yang boleh mengikuti 'Chariot' disebabkan pandemik masih melanda ditambah dengan varian Omicron,” katanya.

Di MELAKA, jumlah penganut Hindu yang bersembahyang di Kuil Sri Subramaniar Devasthanam, Batu Berendam hanya kira-kira 500 orang, berbanding tahun sebelum penularan CIVID-19 yang mencecah sehingga 4,000 orang.

Setiausaha kuil berkenaan, S Ravi Santharan berkata pemeriksaan ketat dilakukan anggota Rela termasuk memastikan penganut yang ingin bersembahyang di kuil itu telah mendapat dos lengkap vaksin sebelum dibenarkan masuk, manakala tempoh untuk sembahyang disingkatkan sehingga 1 tengah hari sahaja berbanding sebelum ini sehingga lewat petang.

Di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri Azman Nasrudin berkata pihak kuil yang terlibat dengan sambutan itu menempatkan sukarelawan bagi memastikan SOP dipatuhi, selain kehadiran polis bagi memantau keadaan di kuil. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 hari yang lalu

Kes Baharu COVID-19, Angka Kematian Menurun

2

Semasa 4 hari yang lalu

Kes Harian COVID-19 Menurun Sedikit, 3 Kematian

3

TARA 5 hari yang lalu

Lebih 100,000 Individu Dapatkan Khidmat Sokongan Mental MIASA Sejak Ogos 2020

4

Semasa 1 minggu yang lalu

KJ Tabik Masih Ramai Rakyat Amalkan SOP

Sorotan

1

Zuraida Patut Lepaskan Kerusi Parlimen Ampang Juga - Fahmi Fadzil

2

Malaysia Airlines Mula Penerbangan Pertama Dari Kuala Lumpur Ke Doha

3

Letupan Bom Di Tak Bai: 3 Sukarelawan Polis Marin Cedera

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Banjir Kilat, Pokok Tumbang Di Seremban

Semasa 1 hari yang lalu

Aktiviti Tidak Bermoral, 2 Rumah Urut Disita

oleh Rubini Nagarajah

Semasa 1 hari yang lalu

Penerbangan Haji Pertama 4 Jun, TH Tetap SOP Kerana COVID-19

oleh Sofian Baharom

Semasa 16 jam yang lalu

Mansuh Sijil Penginapan Pekerja Asing, Stok Ayam Pasti 'Bernafas' Semula

oleh Susan Albert