Berita Terkini

14 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Kenapa Perlu Tunggu Arahan PM Untuk Batal Percutian, Bantu Rakyat? 

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Dec 2021 8:53AM

Banjir luar jangka yang melanda negara pada Sabtu lalu telah menyebabkan kerosakan harta benda yang besar kepada penduduk terlibat. - Gambar Azim Abd Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya Jemaah Menteri membatalkan percutian ke luar negara untuk membantu mangsa banjir, jelas membuktikan kegagalan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat sejak awal bencana itu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan Ismail Sabri meminta mana-mana anggota Kabinet yang sedang bercuti di luar negara untuk segera pulang ke tanah air, turut menunjukkan kepimpinan kerajaan tidak cakna dengan kesusahan rakyat.

Katanya, sebagai pemimpin dan wakil rakyat, individu berkenaan seharusnya mempunyai kesedaran sendiri untuk turun padang secepat mungkin dan menghulurkan bantuan, bukan sekadar menunggu arahan atau disuruh Perdana Menteri untuk berbuat demikian.

“Kita (menteri dan wakil rakyat) makan gaji dan hasil pendapatan itu pun daripada rakyat, jadi apabila rakyat susah kena segera turun padang membantu, tak payah disuruh.

“Walaupun bencana berlaku selepas kita sudah sampai di sesuatu negara, kita kena ada kesedaran untuk batalkan percutian, tak payah harap diarah balik, jadi bagi saya Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kabinet ini memang gagal," katanya kepada Getaran ketika dihubungi.

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub

Menurut beliau, menteri atau wakil rakyat yang bercuti seharusnya tidak menjadikan ia alasan untuk tidak mengambil tahu hal ehwal kawasan masing-masing.

“Saya dulu pun pernah jadi menteri. Jika kita bercuti, sepatutnya kita perlu ambil tahu dan bertanya kepada pegawai kita apa perkembangan kawasan serta apa khabar kementerian,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, sepatutnya pemimpin kerajaan itu menunjukkan kemampuan dan keprihatinan dalam membela nasib rakyat dengan lebih baik.

“Sikap anggota ini menunjukkan Kabinet tak ada fungsi, malah arahan Perdana Menteri itu menggambarkan beliau seorang pemimpin tidak berwibawa dan menteri berkenaan tidak ada hati perut,” kata mantan Menteri Pertanian dan Asas Tani itu.

Beliau berkata, rakyat diharap mampu menilai sikap ‘buruk’ ditunjukkan menteri pimpinan Ismail Sabri dalam keadaan negara memerlukan kerajaan bertanggungjawab dan prihatin.

“Rakyat perlu ambil kesempatan ini untuk belajar betul-betul apa makna politik kerana ia bukan masalah perkauman atau masalah agama, sebaliknya mesti memilih ketua yang boleh memimpin, menolong dan peka dengan nasib akar umbi. 

“Bukanlah nanti bila rumah rakyat terjejas banjir ini sudah pulih dan dibersihkan, dia buat-buat datang melawat dengan sampul surat RM100, RM200. Itu cara dia tipu rakyat lah bagi saya,” katanya.

Menerusi petikan video berdurasi 15 saat dikongsikan Ismail Sabri di Twitter, beliau dilihat mengarahkan menteri yang bercadang melancong ke luar negara supaya membatalkan perancangan itu.

Beliau turut meminta menteri yang berada di luar negara ketika ini, pulang segera untuk membantu rakyat terjejas banjir.

“Saya arahkan mana-mana menteri bercadang untuk bercuti ke luar negara untuk batalkan dan menteri berada di luar negara ketika ini pulang segera bagi bersama-sama membantu Keluarga Malaysia yang dalam kesusahan,” katanya menerusi keterangan di video berkenaan.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

Mengulas isu sama, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, mempersoalkan tindakan Perdana Menteri mengeluarkan arahan itu hanya selepas kira-kira seminggu banjir melanda.

Arahan berkenaan katanya, perlu dikeluarkan sejak awal fenomena alam terbabit dilaporkan, tambahan sebelum kejadian banjir, sememangnya kawasan terlibat sudah mengalami hujan tanpa henti selama beberapa hari.

Fahmi turut menggesa Ismail Sabri supaya berterus-terang memaklumkan kepada rakyat, siapakah menteri atau anggota Kabinet kerajaan yang sedang bercuti atau berada di luar negara tanpa urusan rasmi.

 “Saya juga rasa arahan Perdana Menteri ini akan menjadi percakapan dalam kalangan rakyat, terutama warganet atau netizen kerana dalam keadaan semua pihak, sama ada rakyat biasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan keselamatan berhempas pulas untuk selamatkan harta serta nyawa, hari ini kita digemparkan dengan kenyataan agak ‘tenang’ Perdana Menteri bahawa ada menteri yang berada di luar negara, ini amat mengejutkan.

“Jadi kita perlu penjelasan daripada beliau (Ismail Sabri) siapakah menteri sekarang ini berada di luar negara tanpa urusan rasmi yang kritikal pada saat rakyat sengsara,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata, kelewatan Perdana Menteri mengeluarkan arahan berkenaan adalah simptom yang selari dengan ‘kegagalan’ perintah lain, contoh penggunaan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih tidak digerakkan walaupun sudah bersedia sepenuhnya.

“Malah di sesetengah tempat, seperti di Lembah Pantai, saya dimaklumkan aset tentera sedang digerakkan ke kawasan Kampung Pasir, tetapi kini banjir sudah surut dan kerja pembersihan hampir siap, jadi kenapa dikeluarkan arahan seperti itu.

“Saya menganggap ini bukan salah ATM, tapi siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab di sebalik perkara berkenaan. Apa harus dirisaukan adalah mungkinkah kenyataan Perdana Menteri itu menunjukkan sifat endah tak endah, aspek ini saya risaukan,” katanya.

Menurut Fahmi, sikap dipamerkan segelintir pemimpin itu diperhatikan rakyat dan membuatkan mereka marah dengan ahli politik, terutama berjawatan eksekutif kerana menganggap golongan berkenaan tidak berupaya melaksanakan tugas serta tanggungjawab diamanahkan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, apa yang berlaku membuka mata semua pihak bahawa rakyat sama ada warga negara atau bukan adalah golongan paling cepat berusaha membantu menyelamatkan rakyat terjejas banjir.

Paling memilukan, katanya, apabila masyarakat tertanya-tanya adakah kejayaan menyelamatkan nyawa mangsa itu  disumbangkan oleh tindakan pantas rakyat, sedangkan ia sepatutnya dijalankan kerajaan Pusat.

Najwan Halimi
Najwan Halimi

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, arahan itu sepatutnya tidak dikeluarkan kerana setiap menteri dan wakil rakyat wajib mengetahui tanggungjawab masing-masing, iaitu menjaga kebajikan penduduk setempat.

Justeru, katanya, apabila Ismail Sabri berbuat demikian, itu adalah tindakan serius yang menunjukkan mungkin pemimpin berkenaan masih merancang percutian atau sedang berada di luar negara, walaupun keutamaan sewajarnya ditumpukan untuk bersama-sama rakyat menghadapi detik sukar.

Najwan berkata, pertimbangan waras selari dengan senario semasa perlu dibuat walaupun mungkin percutian tersebut sudah dirancang sedari awal.

“Sesuatu yang tidak sensitiflah kalau menteri, timbaan menteri dan wakil rakyat ini keluar melancong ke luar negara dalam keadaan rakyat tengah susah.

“Kita sebagai pemimpin kena sensitif dengan keadaan rakyat. Macam saya pun sebagai wakil rakyat, saya pendekkan percutian bersama keluarga pada saat akhir sebaik sahaja mengetahui berlaku banjir, terutama di kawasan diwakili saya untuk memberikan fokus membantu mereka,” katanya.

Tegas Najwan, keprihatinan ditunjukkan itu bukan untuk kepentingan peribadi pemimpin, sebaliknya menunjukkan sifat sensitif mereka untuk bersama-sama rakyat.

“Jadi wajar Perdana Menteri mengarahkan menteri beliau batalkan percutian dan balik untuk memberi fokus membantu rakyat terjejas banjir, malah kita ucap terima kasih serta patut memberikan kredit walaupun terlambat,” katanya.

Pada masa sama, Najwan berkata, musibah itu juga mempunyai hikmah tersendiri untuk menunjukkan kepada semua pihak, apakah pemimpin dipilih itu benar-benar menjalankan mandat diberi.

Situasi itu juga, katanya, menjadi ikhtibar bukan sahaja kepada wakil rakyat, malah pengundi dalam memilih pemimpin selepas ini pada pilihan raya umum.

Katanya, rakyat perlu memilih pemimpin yang sanggup bersama ketika senang, dan bukan ghaib apabila berlaku musibah.

“Kepada semua wakil rakyat dan diri saya juga, saya ingatkan supaya kita sama-sama memahami kesusahan serta kepayahan rakyat, jangan kita tinggal mereka semasa mereka dalam kesusahan,” katanya. - Getaran, 25 Disember 2021

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Pengurangan Pencemaran, Penggunaan Plastik Tanggungjawab Semua Pihak

oleh Fida Ruzki

Luar Negara 12 jam yang lalu

OIC Kutuk Pembunuhan Beramai-ramai Berterusan Israel Di Semenanjung Gaza

Semasa 1 hari yang lalu

Jemaah Haji Tidak Perlu Bimbang Aspek Keselamatan - TH

oleh Wartawan Getaran

Semasa 13 jam yang lalu

Isham Jalil Kemuka Representasi Untuk Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Badan Kehakiman