KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri (MOFA) berkuat kuasa, hari ini.
Pelantikan baharu MOFA itu turut membabitkan penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof sebagai Perunding Kreatif.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pelantikan Ahmad Idham adalah berdasarkan berpengalaman luas selama 25 tahun dalam industri kreatif, termasuk memenangi anugerah antarabangsa di Pesta Filem Chunsa Korea pada 2018.
Eizlan pula jelasnya, tidak asing dalam industri kreatif negara dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti serta memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan serta antarabangsa.
“Pelantikan mereka selaras dengan objektif membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia.
“Ia bagi mewujudkan kaedah baharu mempamerkan identiti dan nilai kebangsaan, di samping memaparkan kepelbagaian budaya serta menggalakkan promosi dan pertukaran budaya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pelantikan itu juga adalah sebagai langkah mempromosikan Diplomasi Budaya Malaysia, Jawatankuasa Seni dan Budaya (ARCA) yang akan dibentuk di bawah Pejabat Menteri.
“Penubuhannya adalah untuk mengukuhkan usaha meletakkan seni Malaysia sebagai saluran berkesan dalam mempromosikan warisan sejarah dan budaya negara.
“Saya yakin bahawa Ahmad Idham dan Eizlan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi dan jayanya,” katanya. - Getaran, 1 November 2021

