KUCHING - Seorang kanak-kanak antara lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga negara Indonesia yang diusir ketika cuba memasuki Sarawak melalui lorong tikus di kawasan Biawak, Lundu sekitar 300 meter dari sempadan Malaysia – Indonesia, semalam.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen berkata, kesemua mereka dikesan cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia, oleh sepasukan anggota Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) yang sedang melaksanakan serang hendap dalam Op Benteng di kawasan berkenaan pada jam 7.30 pagi.
Menurutnya, setelah ditahan dan disoal siasat, lapan PATI terdiri daripada empat lelaki, tiga wanita bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Mereka memberitahu, tujuan memasuki Malaysia kerana ingin mencari pekerjaan," katanya.
Katanya, kesemua PATI tersebut ditahan dan diusir keluar dari sempadan Malaysia, manakala laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.
"Tentera Darat khususnya di Sarawak amat komited dalam menggalas tanggungjawab meneruskan inisiatif Op Benteng.
"Op Benteng dilakukan dalam mengekang aktiviti PATI menyelinap masuk ke Sarawak serta kegiatan jenayah rentas sempadan setiap masa," tegasnya. - Getaran, 16 September 2021

