Selalunya apabila kita mendengar tentang wagyu, kita sudah mula terbayangkan keenakkan daging premium ini apabila ia masuk ke dalam mulut. Setiap kepingan memberikan sensasi rasa yang cukup membahagiakan.
Namun, kita juga tahu harga wagyu bukanlah murah kerana ia diimport dari luar negara. Jadi, ini bermakna anda harus sedia membayar sejumlah wang untuk sebuah kenikmatan.
Jika anda salah seorang penggemar wagyu, Getaran ingin mencadangkan Wagyu Dojo untuk menjamu selera.
.jpeg)
Restoran yang terletak di Jalan Klang Lama ini menjanjikan pengalaman menjamu selera yang menyeronokkan, dan yang paling penting ia telah mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jadi umat Islam boleh makan di sini tanpa ragu-ragu.
Keistimewaan Wagyu Dojo ialah, ia menampilkan set omakase yang disediakan oleh cef berpengalaman.
.jpeg)
Sebagai penggemar makanan, mungkin anda sudah tahu maksud omakase ini bukan?
Omakase adalah istilah gastronomi dari Jepun yang membawa maksud ‘saya serahkan kepada anda’. Dalam konteks kulinari, omakase adalah pengalaman makan yang menyerahkan sepenuhnya rasa dan kemahiran chef kepada pelanggan.
.jpeg)
Omakase biasanya disajikan dalam bentuk sushi, tetapi juga boleh juga berupa sashimi, tempura, atau hidangan lainnya.
Apabila memesan omakase, pelanggan tidak perlu memesan hidangan tertentu. Chef akan memilih dan menghidangkan makanan mengikut citarasa dan kemahiran mereka.
Ini memberikan pengalaman makan yang lebih peribadi dan unik untuk pelanggan. Ini bermakna, saat anda melangkah masuk ke Wagyu Dojo anda tidak perlu lagi berkira-kira untuk memilih hidangan wagyu yang diinginkan.

Ini kerana anda perlu buat tempahan awal memandangkan tempat duduk adalah terhad, hanya lapan orang untuk setiap sesi yang dijadualkan pada 12.00 tengahari, 5.30 petang dan 8.00 malam.
Terdapat dua set omakase yang boleh dipilih iaitu yang berharga RM468++ dan RM388++ untuk seorang dewasa.

Setiap set menampilkan yakiniku premium yang menampilkan potongan premium wagyu A5 pilihan chef dan bahan premium segar, termasuk hidangan istimewa, Sando yang merupakan sandwic Jepun.
Lebih menyeronokkan, pelanggan akan diberikan sekeping kad yang mempamerkan setiap bahagian daging lembu.
Jadi, setiap kali cef ingin menyiapkan hidangan, dia akan berikan maklumat tentang setiap kepingan wagyu terbabit.
Anda boleh gunakan pen yang turut tersedia untuk mewarna bahagian yang telah dimakan. Jika ingin berkunjung ke Wagyu Dojo lagi, boleh tunjukkan ini, dan minta cef sediakan bahagian lain.
.jpeg)
Dengan kata lain, anda boleh meneroka kelazatan wagyu di setiap inci. Antaranya ialah Karubi, Tatebara, Uchibara, Heel, Uwamisuji, Jyo Karubi dan Katabara.
Setiap bahagian mempunyai tekstur berbeza, namun tetap berjus dan berlemak.
Satu lagi keseronokan menjamu selera di Wagyu Dojo ialah, anda bukan sahaja dapat memanjakan lidah, malah mata juga akan terpesona dengan persembahan hidangan yang estetik dan menawan.

Bolehlah muat naik foto-foto cantik ini ke akaun media sosial, dan kongsikan kelazatan dan pengalaman dengan rakan-rakan di alam maya. Pujian untuk cef yang berdedikasi!
Untuk tempahan, anda boleh ke https://www.tableapp.com/wagyu-dojo atau ikuti Wagyu Dojo di akaun Instagram, @wagyudojo.
.jpeg)
Selamat menjamu selera! – Getaran, 13 Ogos 2024
Foto : Rahayu MN