Ini adalah masa yang sangat mencabar dan mencengkam untuk kita semua. Pandemik ini melelahkan. Tidak hanya ekonomi yang terjejas, malah kesihatan mental juga menjadi topik carian tertinggi dan dibincangkan secara serius di alam maya.
Menurut statistik yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 366 kes bunuh diri dilaporkan bagi tiga bulan pertama tahun ini. Ia disebabkan oleh kemurungan kerana kebanyakan kita berada dalam tekanan dan terpisah daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat.
Jika anda sedang melalui fasa-fasa kelesuan semasa membaca artikel ini, ketahuilah, artikel ini memang ditulis untuk anda. Kami di Getaran dan beberapa selebriti terkemuka tanah air tidak ingin anda melaluinya sendirian.
Pernah mengalami situasi yang sama ialah Remy Ishak yang dilanda kemurungan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Walaupun Remy rajin berbual dengan rakan dan keluarga melalui panggilan telefon, namun, ia tidak juga meredakan perasaan pelakon Anak Halal itu. Tapi mujur sahaja Remy cepat bertindak mendapatkan rawatan sebelum diizinkan pulang ke kampung oleh pihak berkuasa.
“Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk meredakan kesedihan dalam diri masing-masing. Bagi saya, membaca dan berbual dengan orang lain adalah cara paling berkesan.
“Dekat rumah saya ada banyak buku agama dan motivasi daripada para ilmuwan. Saya jadikan mereka rujukan kerana mereka semua sudah terbukti berjaya melawan segala cabaran dan dugaan hidup.
“Selain itu, saya berkongsi perasaan saya dengan rakan rapat yang dipercayai. Sebab ada keadaan yang saya tak boleh fikir sendiri. Jadi, saya kena minta pendapat kawan-kawan kerana mereka lebih berpengalaman dalam sesuatu perkara,” katanya.
Penyanyi Noh Salleh juga berkongsi mesej yang sama. Menurut tulisan dalam sebuah akhbar tempatan, dia memberitahu pernah mengalami depresi dan keresahan empat tahun lalu selepas pulang daripada menyertai misi kemanusiaan.
Berkat sokongan isterinya, Mizz Nina dan juga rajin melakukan aktiviti larian, Noh akhirnya keluar daripada fasa itu.
Mengakui situasi pandemik ini jauh lebih mencabar, penyanyi 'Angin Kencang' itu mengajak orang ramai agar tidak segan untuk meminta bantuan kerana banyak tangan yang akan sudi menghulurkan bantuan.
“Ketahuilah, anda tidak sendirian. Dalam fasa ini, kita semua sedang menghadapi dugaan di tahap kita masing-masing.
“Bantuan di hujung jari anda sekarang ini, cuma kena usaha sikit sahaja. Jangan risau, semua orang sedang saling membantu dalam situasi hari ini.
“Kekal positif. Kalau boleh, kurangkan penggunaan media sosial. Sekali lagi, tolonglah ingat bahawa anda tidak sendirian,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Di tengah kemelut yang melanda masyarakat, masih juga terdapat segelintir pihak yang membina prasangka buruk dan stigma kepada mereka yang sedang menghadapi masalah kesihatan mental.
Pelakon dan penyanyi kumpulan DeFAM, Sophia Liana mengingatkan semua agar jangan terlalu gopoh menghakimi kehidupan orang lain.
“Setiap individu ada masalah masing-masing. Tak kisahlah sama ada kita kenal atau tak kenal orang itu. Jangan cepat sangat menghakimi orang lain.
“Kalau badan kita tak sihat, kita jumpa doktor. Kalau mental kita tak berada dalam keadaan stabil, kita kena sihatkan diri kita. Ia sangat subjektif dan janganlah cakap mereka (penghidap depresi) tak kuat iman. Kita tak boleh melihatnya dari satu sisi.”
Pelakon ‘Mr. Donat Karamel’ itu juga melalui media sosialnya mengajak orang ramai untuk kekal produktif walaupun terpaksa berkurung di dalam rumah.
Bukan itu sahaja, dia juga mengingatkan untuk saling menghitung segala nikmat dan sentiasa bersyukur memandangkan ramai lagi orang di luar sana yang hidupnya lebih mencabar berbanding kita.
“Jauhkan diri dari media sosial kalau perlu. Ambil masa untuk bersama dengan diri sendiri. Sentiasalah berfikiran positif dan menganggap setiap perkara baik walaupun kecil terjadi kepada kita sebagai sesuatu yang besar,” katanya mengakhiri temu ramah.
Jika anda mengalami rasa sedih yang mendalam, atau rasa putus harapan selama dua minggu berturut-turut, silakan berbual dengan Befrienders yang akan memberikan anda sokongan emosi di talian 03-76272929. - Getaran, 7 Julai 2021
Sumber foto: Instagram Remy Ishak, Noh Salleh, Sophia Liana
