Tidak semua ibu mampu berpisah dengan anak yang dikandungkan dan dilahirkannya untuk suatu tempoh masa. Jangankan tempoh lama, waktu yang singkat pun belum tentu ibu-ibu sanggup menghadapinya.
Itulah yang dirasai oleh pelakon Shakilla Khoriri saat mengambil anak perempuannya, Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun daripada bekas suaminya, Fizi Ali yang kini bertugas sebagai penyampai radio Hot FM, malam tadi.
“Ahhh paling ditunggu. Baru faham, rasa lima hari macam lima tahun tak jumpa. Memang benar dan wujud ya perasaan (rindu) itu.
“Masya Allah, Rindunya dengan anak bertuah ini tidak ada bandingan. Rasa rindu yang macam tidur malam pun tak lena. Sampai terbau-bau dekat hidung bau badan dia semua. Dahsyat, cinta yang Allah hadiahkan kali ini,” katanya dalam satu perkongsian video pendek di IG Story.
Tahun lepas Fizi telah memberi peluang kepada Shakilla untuk beraya bersama Ameena terlebih dahulu dan pada tahun ini, giliran Fizi pula beraya dengan anak perempuan mereka yang comel itu.

Namun, hantaran Shakilla tersebut nampaknya tidak disenangi segelintir pihak, hingga memaksanya untuk memuatkan sebuah lagi hantaran biasa di akaun Instagram miliknya itu.
“Ramai yang memberikan maklum balas tentang video story yang saya muat naik malam tadi. Sejujurnya, hantaran itu bukanlah untuk membuat beberapa pihak berasa kurang selesa.
“Saya faham di kala ramai yang mendoakan kesejahteraan hidup saya dengan Ameena serta daddy Ameena, namun ada juga yang panas punggung melihat keadaan ini.
“Harapnya, anda Islam dan faham takdir tak ketentuan Allah. Saya minta ibu saya rakam video ini sebab setiap perkara yang saya lalui dengan Ameena akan dijadikan sebuah memori serta topik merapu untuk kami berdua setiap masa,” katanya.
Shakilla juga menyatakan, dia tidak peduli atau tidak kisah andai ada pihak mempertikaikan mengapa perlunya dia memuat naik setiap perkara di laman media sosialnya itu.
“Instagram saya bukan ‘NEGARA’ yang ada syarat atau undang-undang. Saya mahu muat naik perjalanan hidup saya dengan anak saya.
“Selama empat tahun saya hidup dengan Ameena, saya dapat rasa cinta dan sayang yang selalu orang katakan. Tak boleh berjauhan. Rindu yang menyeksakan.
“Alhamdulillah, saya dapat rasa sekarang sebab saya yakin dan pasti ini cinta yang ikhlas dan Jujur sepanjang hidup saya selain Mak dan Abah saya,” katanya.
Jelas Shakilla lagi, dia juga tidak mahu Ameena terkesan dengan kesalahan dan kesilapan yang dia dengan Fizi lakukan.
“Saya tak mahu dia jadi budak yang tertekan dengan pergaduhan dan reaksi muka ibu bapa dia setiap kali bertentang mata.
“Banyak usaha yang saya cuba buat untuk Ameena rasa happy tapi saya akur dan hormat bila ada yang tak setuju dengan cadangan saya.
“Tapi, saya okey sajalah sebab Allah bagi saya banyak kelebihan lain yang buat saya mampu untuk teruskan ‘journey’ hidup saya dengan Ameena bersama cinta dan sayang yang kami cipta.
“Saya dan daddy Ameena bukanlah orang bujang yang tak ada tanggungjawab. Jadi perlu hormat dan faham situasi ni. Kami berdua ada hati yang perlu dijaga dan disayangi.
“Perlu fokus dan pastikan takkan putus kasih dan sayang tu sampai bila-bila. Jadi silalah hormat keadaan ni. Jangan selfish atau rampas hak Ameena sebab dia tak layak untuk disakiti.
“Saya share semua ni untuk kita semua buka mata dan terpukul dengan keadaan yang mungkin sama dengan apa yang anda semua alami.
“Hidup bukanlah untuk kita bazirkan dengan airmata atau rasa dendam dan sakit hati yang tidak ada penghujung.
“Semoga Allah temukan dengan kebahagiaan yang kita semua cari dan perlukan dalam sisa hidup kita atas dunia ni,” katanya.
Hantaran yang dimuat naiknya itu mendapat lebih 13,000 likes daripada rakan selebriti serta peminat-peminatnya. - Getaran, 26 April 2023