Setelah sekian lama, duo Twenty One Pilots melancarkan single terkini mereka berjudul ‘Shy Away’ pada awal April lalu. Buah tangan terbaru ini adalah lagu pertama daripada album Scaled and Icy yang bakal dikeluarkan pada 21 Mei 2021 yang akan datang.
Album Scaled and Icy merupakan album comeback mereka setelah lama sepi dalam dunia hiburan.
Selain itu, album ini bakal memuatkan sebelas buah lagu yang sebahagian besarnya ditulis, disusun, dirakam dan disunting oleh Tyler Joseph, vokalis kumpulan ini sendiri. Manakala penciptaan rentak bunyi drum bagi setiap lagu telah dihasilkan oleh Josh Dun, pemain drum kumpulan ini.
Walaupun rentak rancak dan alunan lagu ‘Shy Away’ lain daripada karya-karya yang telah dihasilkan oleh mereka sebelum ini, mereka berharap agar lagu ini dapat memberi impak dan energy yang positif buat para pendengar.

“Pandemik ini telah mendatangkan kesan yang luar biasa kepada manusia seluruh dunia. Siapa sangka, kita akan berada dalam self isolation selama ini, jauh daripada keluarga dan kawan-kawan kita?
“Perubahan gaya muzik kami terutamanya buat lagu ‘Shy Away’ perlu dilakukan untuk mengalihkan ‘mood’ setiap orang yang mendengarnya,” kata Tyler.
Menurut Josh, “Semasa kami merakamkan lagu ‘Shy Away’ dan selainnya, kami berdua berada di dua tempat yang berbeza. Tyler berada di Columbus, Ohio dan saya pula berada di California.
“Walaupun kita tidak berada dalam satu ruang yang sama, kami tetap menemukan cara untuk berkolaborasi dengan menggunakan teknologi terkini iaitu secara atas talian melalui aplikasi Zoom.”
Album Scaled and Icy ini dikatakan telah terhasil sepanjang lockdown dan banyak menceritakan emosi, keraguan dan kesepian yang telah dihadapi oleh duo ini. Jadi, ia tidak mustahil jika lagu-lagu yang ada pada album ini sangat personal dan membawa nilai istimewa bagi mereka.
Satu fakta menarik yang mungkin ramai tidak tahu tentang lagu ‘Shy Away’ adalah suara Tyler bukan satu-satunya yang dapat didengar. Bunyi bising yang ada pada permulaan lagu ini milik bayinya, Rosie.
“Saya tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk melibatkan Rosie pada mulanya. Tetapi, semasa saya sedang menyusun lagu ini, dia berada di sisi saya. Walaupun belum lama menjadi seorang bapa, saya sentiasa mahukan lagu saya mempunyai makna yang istimewa bagi saya.
“Jadi, saya tak teragak-agak dan mengambil kesempatan ini untuk merakam cebisan suaranya. Mungkin saya akan melibatkan Rosie lebih banyak lagi dalam penghasilan muzik pada masa akan datang,” jelas Tyler.
Duo ini juga berkongsi tentang makna di sebalik ‘cover art’ yang ada pada album mereka. “Walaupun kita semua terbatas dalam satu tempat dan ruang, saya dan Josh tidak mahu ia terserlah dalam muzik kami.
“Kami ingin keluar dari dinding-dinding yang sedang membataskan kami untuk menciptakan lagu-lagu yang penuh makna dan berwarna-warni. Naga yang ada dalam karya seni ini mewakili tiga perkara, iaitu inspirasi, ketakutan dan magic. Kami ingin mengaitkan lagu-lagu ini dengan sesuatu yang ajaib dan magical seperti itu.”
Lagu berjudul ‘Shy Away’ boleh didengari menerusi pelbagai platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music dan YouTube. - Getaran, 10 Mei 2021

