Keserasian Syanie Hisham dengan Saiful Apek di layar perak memang tidak dapat dipertikaikan lagi dan atas sebab itu mereka seringkali digandingkan bersama.
Terbaharu adalah menerusi filem Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi yang bakal ditayangkan di Astro First pada 27 Januari ini.
Syanie sendiri turut mengakui bahawa Saiful Apek adalah rakan gandingan yang terbaik buat dirinya.
“Pernah atau tidak anda duduk di hadapan orang dan anda seolah-olah tahu apa yang hendak diborakkan? Anda juga tahu apa yang dia akan katakan dan tahu bagaimana dia mahu mengatakannya?
“Itulah yang saya ada dengan Saiful Apek. Cara kami berfikir seolah-olah sama dan perkara ini seringkali berlaku setiap kali berlakon.
“Misalnya waktu berlakon dalam filem Lu Mafia Gua Gangster (2016), pengarahnya daripada India dan telah memecahkan sebuah babak kepada tiga bahagian.
“Mungkin dia tidak yakin dengan kemampuan kami. Tapi, dia tidak tahu betapa gilanya kami berdua. Satu babak itu kami terus buat tanpa henti sampai pembantu pengarahnya pun terkedu dan tak habis-habis memuji,” kata Syanie kepada Getaran.
.jpg)
Menurut Syanie lagi, mempunyai rakan gandingan yang tepat dan terbaik akan memudahkan lagi penghayatan dan penyampaian dalam lakonan.
“Adakalanya, saya dan Saiful Apek tidak perlu berkata apa-apa pun tetapi kami faham apa yang perlu dilakukan. Itu yang saya tidak dapat daripada pelakon lain. Bukan saya tak boleh berlakon dengan pelakon lain tetapi apa yang cuba saya maksudkan di sini, saya lebih serasi dengan Saiful Apek.
“Dalam Hantu Kuat Ketawa, saya kira penonton akan dapat melihat lakonan kami yang matang sebagai suami isteri. Ada babak yang nampak komikal walaupun situasi itu bukanlah komikal.
“Untuk menjayakan watak dalam filem ini, saya cuba memikirkan apakah tindakan yang akan dilakukan oleh seseorang isteri apabila suaminya yang dahulu sering berzikir, tidak pernah tinggal solat dan sering mengimamkannya tiba-tiba berubah sikap. Apa yang perlu dilakukannya?," katanya.
Jelas Syanie lagi, keserasian dan keakrabannya dengan Saiful Apek juga membuatkan segelintir orang bertanya, tidakkah ada pihak tertentu yang berasa cemburu dengan mereka?
“Saya katakan tidak kerana dengan Saiful Apek, hubungan kami ibarat adik-beradik, rakan baik mahupun pasangan yang sudah lama berkahwin.
“Suami saya sendiri pun faham dan tidak kisah bila saya berlakon dengan Saiful Apek dan isteri Saiful Apek juga tidak pernah cemburu. Walaupun serasi, kami tahu batas-batas kami,” katanya.
Mengulas perkembangan terkini, Syanie baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem arahan Aziz M Osman, Jaga-Jaga Senariounion.
“Penggambaran filem tersebut berlangsung dalam keadaan yang lancar. Tapi, apa yang boleh saya katakan, menjayakan filem ini menyedarkan saya bahawa kami semua sudah tua.
“Kalau dulu, bila pengarah sebut ‘cut’ sahaja, semua borak tak henti-henti. Sekarang, masing-masing duduk dan ada yang tertidur. Masing-masing juga sudah beruban.
“Saya ini pun, nasib baik pakai tudung, kalau tidak, orang dapat lihat juga uban-uban di kepala. Saya beritahu abang Aziz M Osman, nampak tak perbezaan kami dulu dan sekarang? Apapun, kami seronok menjayakan penggambaran tersebut,” kata Syanie.

Jaga-Jaga Senariounion bagaimanapun bukanlah sebuah filem kesinambungan Senario The Movie (1999), Senario Lagi (2000) mahu pun Lagi-Lagi Senario (2001).
Sebaliknya, jelas Syanie, ia memaparkan kisah dalam tempoh sehari yang berlaku kepada setiap anggota Senario dengan mengekalkan nama mereka sendiri.
“Abang Aziz turut menggabungkan beberapa pelakon yang pernah terlibat dalam filem-filem Senario terdahulu termasuk saya.
“Ceritanya sangat menarik kerana selain memaparkan kisah yang berlaku pada kami semua dalam masa sehari ia juga mempunyai elemen misteri.
“InsyaAllah, ia akan ditayangkan pada tahun ini. Sekarang ia dalam proses pos produksi. Saya sendiri tak sabar menunggu,” katanya.
Sambung Syanie lagi, dia cukup teruja apabila menerima tawaran demi tawaran kebelakangan ini, namun dia tidak boleh menjayakan penggambaran dalam tempoh yang lama.
“Itu adalah permintaan suami saya. Kalau sekejap-sekejap boleh. Macam Jaga-Jaga Senariounion saya terpaksa menjalani penggambaran selama hampir dua minggu. Dia izinkan kerana itu filem Senario.
“Dia yang cakap saya kena terima dan kena buat filem itu. Nak tahu kenapa dia kata begitu? Sebab kerana filem-filem Senariolah, dia tertarik dan suka dengan saya.
“Bahkan, semua cerita lakonan saya dia tengok. Cuma, dia tidak tahu yang mana keluar dulu,” katanya yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan pertama dengan suaminya, Zahril Hafiz Mohammed Nor pada 19 Februari nanti. - Getaran, 24 Januari 2022
Gambar: Facebook Syanie & Fail.