web statsweb stats

Berita Terkini

3 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Nadi Kemajuan Bangsa: Memperkasa Jaringan Jalan Raya Demi Kesejahteraan Rakyat 

Usaha gigih Kerajaan Madani dalam menaik taraf jaringan jalan raya negara merupakan satu langkah strategik yang holistik demi kesejahteraan rakyat. 

Rencana Dikemaskini 3 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 05 Mar 2026 12:14PM

Lebuhraya Pan-Borneo membolehkan rakyat Sabah dan Sarawak menikmati perjalanan dengan lebih mudah, pantas dan selamat

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Keampuhan sesebuah negara bukan hanya berpaksikan kepada kekukuhan ekonomi dan kemantapan sistem pertahanan semata-mata, tetapi melangkaui pelbagai garis sempadan.

Ramai tidak menyedari, infrastruktur  jalan raya yang mampan bukan sekadar simbol kemajuan, tetapi ia memainkan peranan penting sebagai urat nadi yang menggerakkan ekonomi dan menjamin keselamatan sosial rakyat. 

Di bawah payung gagasan Kerajaan Madani, usaha memperkasa kualiti jalan raya di seluruh negara telah diangkat sebagai agenda nasional yang kritikal. 

Melalui pendekatan secara holistik, kerajaan komited untuk memastikan setiap pelosok tanah air, dari pesisiran pantai hinggalah ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, menikmati jaringan perhubungan yang selamat, selesa, dan efisien. 

Penambahbaikan infrastruktur ini bukan sekadar tentang pembinaan konkrit semata-mata, tetapi ia adalah manifestasi keprihatinan kerajaan dalam memartabatkan harga diri rakyat, selaras dengan prinsip ihsan dan kesejahteraan yang menjadi teras Malaysia Madani.

Peruntukan Kewangan

Menerusi pembentangan Belanjawan 2026, keseriusan kerajaan dalam menangani isu jalan raya diterjemah melalui peruntukan kewangan yang sangat signifikan. 

Antara tunjang utama dalam usaha ini ialah pemerkasaan Program MYJALAN yang telah menerima suntikan dana sebanyak RM2.5 bilion, yang dikhaskan sepenuhnya untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh negara. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam beberapa kenyataan rasmi beliau sering menekankan, Program MYJALAN ialah satu inisiatif proaktif yang memberi peluang kepada rakyat untuk terlibat secara langsung dalam melaporkan kerosakan jalan. 

Alexander Nanta Linggi - Gambar fail
Alexander Nanta Linggi - Gambar fail

Dana dalam skala mega ini membuktikan bahawa kerajaan tidak berkompromi dalam aspek penyelenggaraan, memandangkan jalan yang diselenggara dengan baik adalah kunci utama kepada pengurangan risiko kemalangan maut.

3,000 Unit Lampu LED

Selain tumpuan kepada permukaan jalan, aspek pencahayaan turut diberi penekanan serius demi keselamatan pemanduan pada waktu malam, terutamanya di kawasan yang gelap dan sunyi. 

Di bawah seliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kerajaan telah menetapkan sasaran untuk memasang 3,000 unit lampu LED baharu di pelbagai lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kemalangan (blackspots) di sepanjang lebuh raya. 

Penggunaan teknologi LED bukan sahaja memberikan pencahayaan yang lebih terang dan jelas bagi membantu penglihatan pemandu, malah ia lebih cekap tenaga dan mampan untuk jangka masa panjang. 

Langkah ini amat penting bagi membantu pemandu mengenal pasti geometri jalan dan papan tanda dengan lebih efektif, sekali gus mengurangkan kekeliruan yang sering menjadi punca nahas ngeri.

Keselamatan Cerun

Menyedari hakikat bahawa geografi Malaysia yang berbukit-bukau sering terdedah kepada ancaman bencana alam, kerajaan turut memperuntukkan RM260 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja keselamatan cerun. 

Kawasan berisiko tinggi di seluruh negara akan dipantau secara rapi dan diperkukuh dengan teknik kejuruteraan cerun yang moden. 

Ini merupakan langkah pencegahan yang kritikal bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang bukan sahaja boleh melumpuhkan sistem perhubungan nasional, malah berisiko meragut nyawa pengguna jalan raya.

Pelaburan dalam keselamatan cerun ini mencerminkan visi kerajaan untuk lebih mengutamakan pencegahan (preemptive) berbanding pemulihan selepas bencana berlaku, yang lazimnya memakan kos jauh lebih tinggi.

Bagi memastikan gerak kerja di peringkat akar umbi berjalan lancar tanpa kerenah birokrasi yang membebankan, sokongan kewangan diberikan terus kepada pelaksana di lapangan. 

Peruntukan JKR

Untuk tujuan ini, RM30 juta telah diperuntukkan khas kepada 115 Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara. 

Dana terbabit khusus untuk memberi fokus kepada pelaksanaan kerja-kerja kecil yang memerlukan pembaikan segera, seperti menampal lubang (potholes) atau membaiki lampu isyarat yang rosak. 

Ia ini memastikan setiap aduan masyarakat dapat diambil tindakan dalam tempoh yang paling singkat, sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan penyampaian perkhidmatan awam di bawah seliaan kementerian.

Infrastruktur Borneo

Dalam memastikan kesejahteraan rakyat, pembangunan infrastruktur di wilayah Borneo juga tidak dikesampingkan, malah terus diperhebat bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah. 

Projek strategik berskala besar seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Sabah–Sarawak Link Road (SSLR), dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB) diteruskan dengan penuh iltizam. 

Semua projek ini bukan sahaja akan memperkukuh jaringan pengangkutan darat di Malaysia Timur, tetapi juga bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan aksesibiliti ke kawasan-kawasan luar bandar yang selama ini sukar dihubungi. 

Dengan adanya lebuh raya yang serba moden ini, rakyat di Sabah dan Sarawak akan menikmati perjalanan yang lebih singkat dan selamat, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan dan merancakkan sektor pelancongan domestik.

Projek Semenanjung

Di Semenanjung pula, beberapa projek berimpak tinggi sedang rancak dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan kronik dan meningkatkan kesalinghubungan wilayah. 

Ia mencakupi projek Penyuraian Trafik PLUS (Juru–Sungai Dua) serta pembinaan terowong bawah tanah (underpass) di persimpangan Mount Erskine–Burma di Pulau Pinang. 

Di selatan tanah air pula, projek naik taraf Lebuhraya Senai–Desaru di Johor sedang giat dijalankan untuk menyokong pertumbuhan zon ekonomi. 

Selain itu, pembinaan jalan baharu Masjid Tanah–Telok Gong di Melaka, pembinaan Jejambat Batu 9 Cheras di Selangor, serta kerja-kerja naik taraf Lebuhraya Kuantan–Segamat dan Jambatan Serengkam–Kuala Wau di Pahang merupakan bukti nyata komitmen kerajaan dalam memastikan setiap negeri mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur.

Setiap projek ini dirangka dan dibangunkan teliti, agar berupaya memberi manfaat langsung kepada rakyat dari segi penjimatan masa perjalanan dan peningkatan tahap keselamatan. 

Apabila masa di jalan raya dapat dikurangkan, produktiviti rakyat akan meningkat dan kualiti hidup berkeluarga juga akan bertambah baik. 

Dari sudut makroekonomi, kelancaran aliran trafik bermaksud kos logistik dapat dikurangkan, yang secara tidak langsung membantu menstabilkan harga barangan di pasaran. 

Semua sasaran tersebut selaras dengan matlamat Kerajaan Madani untuk mewujudkan keseimbangan pembangunan wilayah agar tiada pihak terpinggir daripada arus kemodenan negara.

Insentif Kewangan

Pembangunan fizikal bukan satu-satunya agenda kerana keprihatinan kerajaan terhadap beban kos sara hidup rakyat turut diterjemah melalui pemberian insentif kewangan. 

Sempena musim perayaan utama, diskaun tol sebanyak 50 peratus diberikan untuk kenderaan persendirian (Kelas 1) di kebanyakan lebuh raya negara. 

Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan rakyat yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan, malah ia mencerminkan semangat perpaduan dan ihsan dalam meraikan kepelbagaian budaya di Malaysia. 

Namun begitu, pemberian diskaun berkenaan tetap diiringi peringatan berterusan, supaya pengguna sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dalam menghadapi peningkatan jumlah kenderaan yang mendadak di lebuh raya.

Harus ditegaskan, penyediaan infrastruktur yang canggih dan berkualiti tinggi bukanlah jaminan mutlak kepada sifar kemalangan. 

Faktor Manusia

Kajian rasmi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati, faktor manusia tetap menjadi penyumbang utama kepada tragedi di jalan raya.

Data kajian mendedahkan bahawa 80.6 peratus kemalangan adalah disebabkan kecuaian manusia, manakala faktor keadaan jalan raya hanya menyumbang sebanyak 13.2 peratus dan faktor keadaan kenderaan pula mewakili 6.2 peratus.

Faktor manusia masih menjadi punca utama kemalangan maut - Gambar hiasan
Faktor manusia masih menjadi punca utama kemalangan maut - Gambar hiasan

Pakar Keselamatan Jalan Raya dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa perubahan sikap pengguna adalah kunci paling utama untuk mengelakkn kemalangan, walaupun kerajaan melabur berbilion ringgit untuk memperbaiki jalan.

“Keadaan jalan raya bukanlah penyumbang terbesar kepada kemalangan, sebaliknya tingkah laku kita di belakang stereng yang menentukan keselamatan diri dan orang lain,” katanya. 

Kemalangan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan, malah ia memberi impak negatif yang serius kepada infrastruktur itu sendiri. 

Setiap nahas yang berlaku sering kali menjejaskan struktur pavement (permukaan jalan), merosakkan garis jalan yang kritikal untuk pemanduan malam serta memusnahkan perabot jalan seperti penghadang besi dan papan tanda maklumat. 

Semua kerosakan ini memerlukan kerja dan kos penyelenggaraan yang sangat tinggi untuk dibaiki semula. 

Natijahnya, wang rakyat yang sepatutnya boleh digunakan untuk membina jalan baharu terpaksa dialihkan untuk kerja-kerja pembaikan akibat kerosakan yang berpunca daripada kecuaian. 

Kerosakan struktur jalan akibat kemalangan ini juga menjejaskan tahap keselesaan pemanduan bagi pengguna lain.

Secara kasar, dapat disimpulkan bahawa usaha gigih Kerajaan Madani dalam menaik taraf jaringan jalan raya negara merupakan satu langkah strategik yang holistik demi kesejahteraan rakyat. 

Melalui peruntukan yang besar dalam Belanjawan 2026, pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi, dan pemerkasaan penyelenggaraan melalui Program MYJALAN, kerajaan telah meletakkan asas kukuh bagi sistem pengangkutan darat yang moden dan inklusif. 

Namun, segala kemudahan ini perlu dihargai dan digunakan dengan penuh tanggungjawab. 

Rakyat harus menyedari bahawa keselamatan jalan raya adalah sinergi antara infrastruktur yang baik dan sikap pemanduan yang berhemah. 

Realitinya, hanya pengguna jalan raya yang berdisiplin dapat memastikan setiap perjalanan berakhir dengan selamat di destinasi yang dituju, atau disambut tangisan insan tersayang. - Getaran, 5 Mac 2026

Berita Berkaitan

1

Rencana 1 hari yang lalu

Keadilan Tidak Wajar Tunduk kepada Kuasa: Karim Khan, ICC Dan Dunia Hari Ini

2

Rencana 1 minggu yang lalu

Andy Burnham Dan Britain Baharu: Mengapa Kita Perlu Memberikan Perhatian

3

Rencana 1 minggu yang lalu

Perkauman, Sikap Taksub Dalam Pendidikan Tinggi Malaysia Menular Ke Media Sosial

4

Rencana 1 minggu yang lalu

Memanipulasi Tradisi Sebagai Alat Kuasa, Siapa Sebenarnya Mengaut Untung?

Sorotan

1

Hos Jualan Siaran Langsung Dakwa Jadi Mangsa Buli Siber, Rugi RM70,000

2

Pokok Gergasi Lebih 150 Tahun Tumbang, Warga Emas Nyaris Maut 

3

Keadilan Tidak Wajar Tunduk kepada Kuasa: Karim Khan, ICC Dan Dunia Hari Ini

4

 ‘Double Standard’ Norway Dikecam, Batal Penghantaran Peluru Berpandu Selepas Malaysia Bayar 95 Peratus Kontrak

5

Gara-Gara Memotong Barisan, 2 Lelaki Akhirnya Bertumbuk

6

Pengecualian Caj RM1 Di ATM: 84 Peratus Mesin Terlibat Seluruh Negara - Fahmi 

Disyorkan untuk anda

Rencana 1 hari yang lalu

Keadilan Tidak Wajar Tunduk kepada Kuasa: Karim Khan, ICC Dan Dunia Hari Ini

oleh Vinod Sekhar