web statsweb stats

Berita Terkini

3 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Menelusuri Arus Perubahan: Mengangkat Martabat MA63 Dalam Kerangka Malaysia MADANI

Kerjasama erat antara pemimpin Pusat dan Negeri, yang didasari oleh semangat hormat-menghormati, adalah resipi utama untuk memastikan MA63 tidak lagi menjadi modal politik bermusim

Rencana Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 25 Feb 2026 11:02AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Satu ketika dahulu, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pernah dianggap sekadar satu relik, dokumen kusam yang tersimpan dalam arkib sejarah. 

Intipati tuntutan yang dianggap ‘mustahil untuk direalisasikan’ pada waktu tersebut, adalah faktor utama membawa kepada berlakunya ‘peminggiran’ perjanjian berkenaan.

Realitinya, MA63 ialah ‘dokumen hidup’ yang menjadi batu asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia. 

Sejak sekian lama, rakyat Sabah dan Sarawak menuntut agar hak-hak yang termaktub dalam MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan keseimbangan pembangunan dan keadilan wilayah dapat dicapai. 

Penantian mereka bagaikan pungguk rindukan bulan, entah bila akan tercapai.

Namun, mendung tak bererti hujan kerana kemunculan Kerajaan MADANI menyaksikan satu anjakan paradigma luar biasa dalam usaha menterjemahkan semua tuntutan terbabit ke dunia nyata.

Pencapaian Besar

Setakat akhir tahun lalu, satu pencapaian besar telah direkodkan apabila 13 daripada 29 perkara berkaitan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak berjaya diselesaikan, sekali gus menandakan fasa baharu dalam hubungan antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pelbagai kesempatan sering menegaskan, pelaksanaan MA63 bukan sekadar tuntutan politik, tetapi satu amanah yang wajib ditunaikan. 

Katanya, tanggungjawab kerajaan bukan sekadar menghormati perjanjian, tetapi melaksanakannya dengan penuh keikhlasan demi keutuhan persekutuan.

Kenyataan ini mencerminkan komitmen politik yang tinggi dalam memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang setara, bukan sekadar negeri-negeri di bawah Persekutuan. 

Kejayaan menyelesaikan 13 perkara  itu juga adalah bukti bahawa rundingan diplomatik dan teknikal yang dijalankan secara berhemah mampu membuahkan hasil yang konkrit.

Sektor Utiliti Dan Tenaga

Menyentuh aspek pencapaian, pasti ramai sepakat bahawa antara yang paling memberi impak ialah sektor utiliti dan tenaga. 

Penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada Sabah menerusi penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merupakan langkah strategik yang membolehkan Sabah menentukan hala tuju tenaga mengikut keperluan domestik mereka sendiri. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 menyifatkan langkah ini sebagai manifestasi sebenar autonomi negeri. 

Menurut beliau, penyerahan berkenaan memberikan ruang kepada kerajaan negeri untuk merancang pembangunan industri yang lebih mampan tanpa perlu menunggu kelulusan birokrasi dari Putrajaya. 

Fadillah Yusof - Gambar fail
Fadillah Yusof - Gambar fail

Kuasa kawal selia bekalan gas juga telah beralih sepenuhnya ke tangan Kerajaan Negeri Sabah, manakala Sarawak pula memperoleh kuasa yang lebih besar dalam pengedaran dan kawalan gas di wilayahnya, memperkukuh kedaulatan sumber di Borneo.

Reformasi Pentadbiran

Reformasi pentadbiran yang melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Sabah dan Sarawak turut mencerminkan pengiktirafan terhadap kapasiti teknikal tempatan. 

Melalui pindaan Arahan Perbendaharaan 182 (AP182), kedua-dua jabatan diiktiraf sebagai Jabatan Teknik bagi projek bernilai sehingga RM50 juta. 

Pindaan terbabit membawa kesan domino yang bukan sedikit, dari aspek positif tentunya. 

Semua projek pembangunan Persekutuan kini boleh diuruskan terus oleh agensi negeri, dan hal ini bukan sahaja mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur seperti jalan raya serta sistem pengairan, malah memastikan peruntukan yang disalurkan dapat dibelanjakan dengan lebih efisien. 

Kesedaran bahawa ‘penduduk tempatan lebih memahami bumi mereka’ menjadi teras kepada perubahan dasar tersebut, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada keputusan berpusat yang kadangkala tidak selari dengan realiti geografi di Borneo.

Aspek Perundangan

Dari sudut perundangan, pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan Artikel 1(2) dan 160(2) telah memulihkan maruah Sabah dan Sarawak. 

Kedua negeri kini diiktiraf semula sebagai rakan kongsi yang membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963. 

Pengiktirafan itu turut disusuli langkah praktikal seperti pelantikan wakil tetap daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak ke dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui pindaan Akta LHDN 1995. 

Ia berupaya memastikan suara wilayah Borneo sentiasa diambil kira dalam penggubalan dasar percukaian. 

Semakan pemberian khas tahunan di bawah Seksyen 112D Perlembagaan Persekutuan pula telah menyaksikan peningkatan jumlah peruntukan, yang menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merupakan satu langkah positif ke arah kemampanan kewangan negeri. 

Tegas Abang Johari, Sarawak memerlukan sumber kewangan yang stabil untuk memacu ekonomi digital dan tenaga hijau mereka sendiri.

Sektor Pendidikan Dan Kehakiman

Sektor pendidikan dan kehakiman juga tidak ketinggalan, apabila Sarawak diberikan ruang melaksanakan sistem peperiksaan sendiri bagi murid Tahun 6, selain memperkukuh penggunaan bahasa Inggeris melalui Program Dwibahasa (DLP). 

Ini menunjukkan fleksibiliti Kerajaan Pusat dalam menyelaraskan dasar pendidikan mengikut aspirasi rakyat di Borneo yang amat mementingkan penguasaan bahasa global. 

Dalam bidang kehakiman pula, autonomi pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak telah ditingkatkan, termasuk prosedur pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman yang kini melibatkan rundingan lebih erat dengan Yang di-Pertua Negeri. 

Semua langkah ini disusun khas bagi memastikan sistem keadilan tetap relevan dengan konteks sosio-budaya setempat sambil mengekalkan integriti sistem perundangan negara.

Baki 16 Perkara

Namun begitu, masih berbaki 16 perkara yang masih dalam peringkat rundingan berterusan. 

Dipantau rapi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS) selaku sekretariat, rundingan yang masih berjalan ini merangkumi pelbagai aspek teknikal dan kewangan pada skala lebih kompleks. 

Isu paling kritikal tentunya berpusat kepada tuntutan pemberian 40 peratus hak hasil Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, secara konsisten menyatakan, isu 40 peratus hasil itu adalah keutamaan bagi rakyat Sabah. 

Katanya, rakyat Negeri Di Bawah Bayu menaruh harapan tinggi agar formula penyelesaian bagi 40 peratus hasil terbabit dapat dimuktamadkan segera bagi memacu pembangunan negeri.

Saat ini, satu jawatankuasa bersama antara Kerajaan Pusat dan Negeri sedang berusaha mencari formula pengiraan yang adil dan mampan bagi tuntutan berkenaan.

Keterwakilan Politik

Selain kewangan, aspek keterwakilan politik turut menjadi agenda besar.

Sudah ada persetujuan prinsip bagi menambah jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak sehingga melebihi 25 peratus, dan langkah tersebut bertujuan memastikan imbangan kuasa yang lebih adil di Dewan Rakyat, walaupun ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga dalam Parlimen untuk meminda perlembagaan terlibat. 

Usaha ini pastinya memerlukan kesepakatan merentas parti bagi memastikan suara Sabah dan Sarawak mempunyai berat yang sewajarnya dalam menentukan hala tuju negara. 

Pengukuhan logistik juga diteruskan melalui penyerahan semula Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak dan kuasa lesen perikanan laut dalam kepada negeri, yang membolehkan kawalan lebih ketat terhadap sumber maritim tempatan.

Di kaca mata umum, pencapaian setakat ini adalah satu kemenangan bagi konsep federalisme di Malaysia. 

Ia membuktikan bahawa Persekutuan Malaysia mampu melakukan muhasabah dan pembetulan apabila terdapat ketidakseimbangan dalam pelaksanaan janji masa lalu. 

Walaupun masih terdapat cabaran besar dalam baki 16 perkara, momentum yang ada sekarang harus dikekalkan. 

Kerjasama erat antara pemimpin Pusat dan Negeri, yang didasari oleh semangat hormat-menghormati, adalah resipi utama untuk memastikan MA63 tidak lagi menjadi modal politik bermusim.

Semua pihak harus akur, usaha mendaulatkan MA63 adalah proses berterusan yang memerlukan kesabaran. 

Pengukuhan autonomi Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat sebagai langkah yang melemahkan Persekutuan, sebaliknya ia adalah proses memperkasakan semua unit dalam Persekutuan supaya negara dapat bergerak maju dengan lebih stabil. 

Apabila Sabah dan Sarawak kuat, keduanya akan menyangga Malaysia untuk tampil lebih ampuh dan gagah.

Dengan 13 perkara berjaya diselesaikan selesai dan 16 lagi menunggu giliran, rakyat Malaysia kini boleh menaruh harapan bahawa impian barisan pengasas negara pada 1963 untuk melihat sebuah persekutuan adil, makmur serta bersatu padu sedang menuju ke arah realiti yang lebih cerah dan saksama. - Getaran, 25 Februari 2026

Berita Berkaitan

1

Rencana 13 jam yang lalu

Keadilan Tidak Wajar Tunduk kepada Kuasa: Karim Khan, ICC Dan Dunia Hari Ini

2

Rencana 6 hari yang lalu

Andy Burnham Dan Britain Baharu: Mengapa Kita Perlu Memberikan Perhatian

3

Rencana 1 minggu yang lalu

Perkauman, Sikap Taksub Dalam Pendidikan Tinggi Malaysia Menular Ke Media Sosial

4

Rencana 1 minggu yang lalu

Memanipulasi Tradisi Sebagai Alat Kuasa, Siapa Sebenarnya Mengaut Untung?

Sorotan

1

Hos Jualan Siaran Langsung Dakwa Jadi Mangsa Buli Siber, Rugi RM70,000

2

Pokok Gergasi Lebih 150 Tahun Tumbang, Warga Emas Nyaris Maut 

3

Keadilan Tidak Wajar Tunduk kepada Kuasa: Karim Khan, ICC Dan Dunia Hari Ini

4

 ‘Double Standard’ Norway Dikecam, Batal Penghantaran Peluru Berpandu Selepas Malaysia Bayar 95 Peratus Kontrak

5

Gara-Gara Memotong Barisan, 2 Lelaki Akhirnya Bertumbuk

6

Pengecualian Caj RM1 Di ATM: 84 Peratus Mesin Terlibat Seluruh Negara - Fahmi 

Disyorkan untuk anda

Rencana 13 jam yang lalu

Keadilan Tidak Wajar Tunduk kepada Kuasa: Karim Khan, ICC Dan Dunia Hari Ini

oleh Vinod Sekhar