Berita Terkini

5 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Tadika SeDidik 'Hadiah Sangat Berharga' Untuk Anak Penan Di Pedalaman

Rencana Dikemaskini 5 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 13 Nov 2023 8:23AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Jarum jam menunjukkan hampir 7:45 pagi dan Atika Fazila sudah berdiri di luar Tadika SeDidik Penan, menunggu kedatangan anak-anak muridnya sebelum kelas bermula 8 pagi dan berakhir sekitar 11 pagi.

Dari hari Isnin hingga Jumaat, itulah rutinnya setiap pagi, meskipun ada ketika cuaca dingin menusuk tulang, bagi memastikan kesemua tujuh orang anak muridnya disambut dengan senyuman.

Perasaan gembira terpancar di wajah guru berusia 23 tahun ini apabila seorang demi seorang anak didiknya yang lengkap berpakaian seragam warna jingga dan putih, berusia antara empat hingga enam tahun, muncul di hadapan pintu tadika.

Tadika SeDidik Penan ini beroperasi di sebuah bangunan rumah batu setingkat, terletak di kawasan penempatan masyarakat Penan, Long Jenalong, kira-kira 200 kilometer dari bandar Miri ini.

“Selamat pagi cikgu,” seorang demi seorang muridnya ceria menyapa. Ada yang memeluk Atika, sebelum masing-masing mengambil tempat duduk, jelas menggambarkan jalinan mesra antara murid dan guru.

Suasana kelas yang sebelum ini agak sepi, berlatarkan bunyi kicauan unggas, bertukar riuh sejurus sebelum Atika meminta semua murid berdiri untuk sama-sama menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku. 

“Beginilah rutin kami setiap hari, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang dapat memberi keseronokan kepada anak-anak ini,” kongsi Atika yang juga berketurunan suku kaum Penan, dilahir dan dibesarkan di kampung Long Jenalong.

Riuh-rendah suara anak-anak ini memenuhi ruang kelas ketika bermain alat mewarna untuk melukis apa sahaja yang disukai, menyanyi lagu-lagu rakyat kanak-kanak seperti Bangun Pagi, Rumah Kecil Saya, mencipta produk dengan barangan terpakai dan bermain permainan congkak. 

Sepanjang empat jam berada di dalam kelas, tiada seorang pun yang merengek untuk balik awal mahupun menangis kerana ketiadaan ibu ayah menemani di luar tadika. 

“Selain dipenuhi pelbagai aktiviti, dinding tadika ini juga dihiasi dengan hasil kerja anak-anak ini bagi membangkitkan keseronokan mereka belajar. Mereka nampaknya seronok selain mula belajar erti berkawan,” tambahnya kepada Bernama. 
 
Perubahan Besar 
Mungkin suasana ini hanyalah situasi biasa bagi mereka yang berada dalam penempatan yang sudah mempunyai kemudahan pendidikan awal, namun tidak bagi kawasan pedalaman Miri yang menjadi penempatan masyarakat Penan ini.

Pendidikan awal adalah asas penting dalam perkembangan serta pembangunan kanak-kanak, namun hakikatnya begitu asing dalam kehidupan masyarakat di Long Jenalong yang mempunyai seramai 154 penduduk. 

Ini kerana, sebelum ini, kanak-kanak di kawasan pedalaman itu tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan awal di tadika memandangkan perkampungan mereka tidak mempunyai kemudahan tersebut dan hanya mengenal erti 3M (membaca, menulis dan mengira) bermula Tahun Satu. 

Paling dekat tadika dengan perkampungan mereka adalah di Long Bedian yang turut menempatkan sekolah rendah dengan perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit sekiranya  cuaca panas dan akan  menjadi masa  lebih daripada satu jam sekiranya hari hujan berikutan jalan balak selain tidak mempunyai pengangkutan.

Bryan Garvin, 6, antara murid di Tadika SeDidik, Penan, Long Jenalong - gambar BERNAMA
Bryan Garvin, 6, antara murid di Tadika SeDidik, Penan, Long Jenalong - gambar BERNAMA

Biarpun begitu, keadaan mula berubah sejak tahun 2020 menerusi inisiatif yang digerakkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersama Jawatankuasa Kerja Bersama Sarawak (Petronas-Sarawak JWC) dengan pembinaan Tadika SeDidik melalui Program Pendidikan Komuniti (Penan).

Menurut Atika, pembukaan tadika itu membawa perubahan besar buat anak-anak di kawasan pedalaman untuk mendapat pendedahan awal 3M di samping menikmati kehidupan berkawan sebelum memasuki alam persekolahan sebenar. 

Dia yang sendiri tidak berpeluang menerima pendidikan pra-sekolah memahami kepentingan pendidikan awal dan kerana itu memilih kerjaya sebagai guru tadika di kampung kelahirannya kerana ingin memajukan serta mendidik anak bangsanya itu bermula daripada peringkat awal lagi. 

“Keluarga tidak dapat menghantar saya ke tadika di Long Bedian kerana masalah kewangan, pengangkutan dan hanya mengenali 3M apabila berumur tujuh tahun semasa di Tahun Satu dan terpaksa tinggal di asrama dalam usia yang terlalu muda.  

“Pembelajaran agak susah kerana tidak mendapat pendidikan awal dan bahasa Melayu bukanlah percakapan harian kami. Kerana pengalaman itu, saya nekad ingin menjadi guru tadika untuk mengajar anak-anak Penan supaya mereka mempunyai asas pendidikan sebelum ke sekolah rendah kerana tahu bagaimana sukarnya apabila tiada persediaan,” katanya. 

Atika yang mengajar di tadika berkenaan sejak tahun 2020 kini mengikuti pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak secara dalam talian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dengan pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak. 

Ini kerana dia melihat pentingnya melengkapkan dirinya dengan pelbagai kemahiran, pengetahuan, psikologi mahupun teknik pengajaran terbaik untuk kanak-kanak prasekolah iaitu antara peringkat penting untuk mereka mengenali asas kehidupan dan alam persekolahan.
 
Bukan Mudah 
Sememangnya bukan mudah mengendalikan kanak-kanak di peringkat awal usia untuk mengenali dan menyukai alam persekolahan, apatah lagi apabila terpaksa berenggang sementara dengan ibu bapa yang selama ini sentiasa berada di sisi. Untuk itu, pelbagai pendekatan perlu dilakukan bagi menarik minat anak-anak Penan supaya berasa seronok belajar selain memastikan kehadiran murid sentiasa penuh.

Usaha ini ternyata berhasil setakat ini apabila kanak-kanak ini bukan sahaja bertambah semangat bahkan ibu bapa juga sudah tidak menunggu di luar kelas. 

Atika bersama guru yang lain juga memastikan mereka mengajar mengikut kemampuan usia anak-anak ini berdasarkan silibus tertentu dan tidak memaksa kanak-kanak ini untuk belajar sepanjang masa kerana ada antaranya yang suka melukis daripada mengenal huruf dan ada yang mengalami masalah pembelajaran. 

“Walaupun tadika ini hanya mempunyai tujuh anak murid tetapi cabarannya tetap terasa dan kerana itu silibus pembelajaran perlu ikut usia. Saya cuba mengenal pasti kelebihan serta kekurangan mereka kerana ingin berikan yang terbaik buat anak-anak ini. 

“Mereka sering berasa takut kerana satu, bahasa Melayu bukan bahasa percakapan harian mereka. Namun, dengan pendekatan yang sesuai kini boleh membantu kanak-kanak ini untuk membina keyakinan diri dan memupuk minat untuk belajar,” katanya yang sudah tiga tahun mengajar di tadika itu. 

Pembantu guru, Norita Simon (kanan) bersama murid-murid Tadika SeDidik Penan, Long Jenalong. - gambar BERNAMA
Pembantu guru, Norita Simon (kanan) bersama murid-murid Tadika SeDidik Penan, Long Jenalong. - gambar BERNAMA

Biarpun berhadapan dengan pelbagai rintangan, Atika berkata, ibu bapa di kawasan pedalaman ini mempunyai kemahuan yang tinggi untuk melihat anak mereka berjaya dan kerana itu tidak kisah untuk meredah perjalanan yang jauh untuk menghantar ke sekolah. 

Kemudahan asrama banyak membantu ibu bapa kawasan pedalaman untuk memastikan anak mereka mendapat pendidikan di sekolah rendah di Long Bedian dan sekolah menengah di Long Lama. 

“Tadika di Long Bedian tidak ada asrama dan disebabkan itu ramai ibu bapa di sini tidak dapat menghantar anak mereka untuk pendidikan awal. Sementara sekolah menengah terdekat terletak di Long Lama yang mengambil masa dua jam sekiranya cuaca baik. 

“Namun, perjalanan menjadi agak sukar dan mengambil masa lebih lama sekiranya hari hujan kerana jalan balak menjadi licin tetapi itulah antara dugaan yang perlu kami tempuhi untuk mendapatkan pendidikan, bagaimanapun itu langsung tidak mematahkan semangat juang orang di sini,” katanya. 
 
‘Hadiah Sangat Berharga'
Tidak hanya Atika bahkan keterujaan untuk melihat perubahan besar anak-anak pedalaman ini menerusi pendidikan awal turut dikongsikan guru pembantu di tadika itu, Norita Simon, 32, yang komited mendidik anak bangsanya biarpun pernah mengalami kemalangan ketika perjalanan ke tempat kerja. 

Dia yang ketika itu membonceng motosikal bapanya terpaksa meredah hujan awal pagi kerana tidak mahu lambat sampai ke tadika untuk memulakan rutin hariannya demi anak-anak pedalaman tersebut. 

Kemalangan itu hanya menyebabkan dia mengalami kecederaan kecil sementara pakaian kerjanya basah lencun dan kotor dengan warna lumpur semasa meredah hujan lebat, namun itu tidak menghalang wanita ini untuk tetap ke tadika pada hari berkenaan. 

“Walaupun perjalanan dari kampung saya di Long Latie menggunakan motosikal hanya mengambil masa 15 minit, namun apabila hujan lebat, jalan balak akan jadi berlumpur dan sukar dilalui. Syukur hanya kemalangan kecil dan hujan bukan alasan untuk tidak hadir bekerja. 

“Kita mempunyai tanggungjawab besar untuk dilaksanakan. Bak kata pepatah ‘ala bisa tegal biasa’ begitulah kehidupan kami yang hanya mampu bermotosikal untuk sampai ke destinasi yang ingin ditujui,” katanya yang begitu suka dengan kanak-kanak dan menyifatkan tugas sebagai pembantu guru adalah sesuai dengan jiwanya. 

Sementara itu, ketua kampung Long Jenalong Ugat Kong, 67, menyifatkan pembukaan Tadika SeDidik Penan sebagai ‘hadiah sangat berharga’ dan memberikan kelegaan kepada penduduk Penan dan sekitarnya untuk menghantar anak mereka ke tadika bagi mendapatkan pendidikan awal. 

Ketua Kampung Long Jenalong, Ugat Kong (kiri) bersama guru, murid dan ibu bapa di Tadika SeDidik Penan. - gambar BERNAMA
Ketua Kampung Long Jenalong, Ugat Kong (kiri) bersama guru, murid dan ibu bapa di Tadika SeDidik Penan. - gambar BERNAMA

Tidak mempunyai pendapatan tetap kerana hanya bergantung hasil tani, penduduk di perkampungan yang mula dibina sekitar tahun 1999 itu tidak mampu menghantar anak mereka ke tadika di Long Bedian kerana berhadapan masalah kewangan dan pengangkutan. Malah, faktor tersebut juga menyebabkan ramai anak Penan tercicir dan tidak dapat menamatkan persekolahan mereka walaupun disediakan asrama. 

“Tambang sehala untuk dewasa adalah RM3 manakala kanak-kanak RM2 ke Long Bedian menggunakan kenderaan pacuan empat roda, namun dengan pendapatan yang tidak tetap kami tidak mampu untuk menghantar anak-anak ke tadika setiap hari. 

“Itu antara faktor kenapa ramai anak Penan tercicir dan tidak dapat menamatkan persekolahan mereka. Pendidikan awal kanak-kanak di tadika ini adalah percuma, jadi kami tidak perlu risau tentang bayarannya, yang penting ibu bapa harus sedar kepentingan menghantar anak untuk mendapatan pendidikan awal,” kata Ugat dengan penuh kesyukuran.
 
Inisiatif Petronas Sarawak 
Tadika SeDidik Long Jenalong adalah satu daripada lima tadika yang dibina di bawah inisiatif Petronas dengan Jawatankuasa Kerja Bersama Sarawak (Petronas-Sarawak JWC). Empat lagi tadika yang dibina terletak di Kampung Long Kawa, Kampung Long Leng, Kampung Long Kerangan dan Kampung Ba’ Selulong.

Kelima-lima tadika itu siap dibangunkan dalam tempoh lima tahun bermula tahun 2016 dengan melibatkan kos sebanyak RM2.75 juta. 
Sebelum ini, Tadika SeDidik yang dikenali sebagai Program Pendidikan Komuniti (Penan) kawasan Apoh/ Tutoh tajaan Petronas adalah program berasaskan komuniti iaitu pengasuhan, bimbingan dan pendidikan yang memberi keutaman kepada penglibatan dan penyertaan komuniti setempat. 

Pada Julai 2020, tadika itu diambil alih dan ditadbir urus oleh Sedidik Sdn Bhd selaras dengan pengambilalihan SeDidik oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak dan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Julai tahun ini (2023).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah dipetik berkata, kerajaan Sarawak di bawah inisiatif SeDidik memberi tumpuan kepada akses, ekuiti dan kualiti dalam pendidikan prasekolah. 

Sarawak ketika ini mempunyai 152 pendidik dengan 112 orang daripadanya memiliki ijazah dan diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak sementara 40 orang lagi sedang dalam pengajian. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 11 bulan yang lalu

Semua Tabika, Taska Kemas Perlu Tangguh Aktiviti Luar Bilik Darjah Jika Cuaca Terlalu Panas

2

Semasa 1 tahun yang lalu

Warga Malaysia Ajar Fardu Ain, Bahasa Melayu Percuma Kepada Kanak-Kanak Thailand

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Sejauh Mana Hasil Pendapatan ‘Menggunung’, Tiang Bendera Tertinggi Sarawak Boleh Membantu Golongan Miskinnya

4

Refleksi 1 tahun yang lalu

Lebih 7,000 Pelajar Tadika Sertai Program Simulasi Haji Cilik

Sorotan

1

Skuad Piala Uber Malaysia Pulang Awal

2

Nur Shazrin Mungkin 'Lupakan' Paris 2024

3

Video Disalah Sunting, Teo Nie Ching Buat Laporan Polis

4

Anwar Bertemu PM Qatar, Zahirkan Kesediaan Malaysia Beri Rawatan Kepada Rakyat Palestin

5

Putera Mahkota Arab Saudi Berhasrat Adakan Lawatan Rasmi Ke Malaysia Akhir Tahun Ini - PM

6

Letupan Bom Sungai Golok: PDRM Tingkat Kawalan Keselamatan Sempadan Malaysia – Thailand