Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Cuaca Panas Beri Kesan Kepada Penternak

Rencana Dikemaskini 10 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 30 Jun 2023 10:06AM

Cuaca panas melampau ketika ini banyak memberi impak kepada penternak - Gambar Hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Muhammad Zubir Mohamed, 42  menghela nafas panjang sebaik diberitahu oleh pekerjanya mengenai kematian seekor lagi lembunya ketika dia sedang bersiap memulakan rutin hariannya seawal pukul 7 pagi di ladang fidlotnya di Bangi.

Lembu pedaging yang diternaknya secara fidlot untuk memenuhi permintaan ibadah korban bersempena dengan Aidiladha dipercayai mati akibat tekanan haba berikutan cuaca panas yang berlaku ketika ini.

Kematian terbaharu itu bermakna sudah 20 ekor lembu ternakannya menjadi korban cuaca panas melampau susulan fenomena El Nino yang sedang melanda banyak negara di dunia ketika ini dengan tempoh jangkaan hingga September depan.

“Cuaca panas melampau ketika ini banyak memberi impak kepada penternak. Kami turut terkesan apabila 20 ekor lembu yang sepatutnya dijual untuk ibadah korban mati sepanjang tempoh tiga bulan lepas.

“Bayangkan, seekor lembu yang berat biasa anggaran 180 kilogram (kg) hingga 250 kg bernilai sekitar RM4,300. Ini bermakna dengan 20 ekor kematian menyebabkan kami telah kerugian hampir RM100,000,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladang seluas 0.8 hektar yang diusahakannya sejak 2004.

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Menurut bapa kepada enam orang anak ini, cuaca panas yang berlaku ketika ini turut menjejaskan tumbesaran ternakannya sehingga berat haiwan tersebut menurun dan tidak dapat dijual pada tempoh  yang sepatutnya.

Ini turut menyebabkan kos operasi meningkat apabila terpaksa melanjutkan tempoh ternakan haiwan tersebut  sehingga berat mencapai berat minimum 180kg.

“Haiwan apabila stres disebabkan panas, tidak berselera makan dan ini menjejaskan berat badannya. Bagi lembu tempatan biasanya mengambil masa dua minggu untuk menaikkan kembali berat badannya tetapi untuk lembu import yang bersaiz besar ada yang mengambil masa hingga sebulan. 

“Lagi lama  haiwan ini berada di kandang, lagi banyaklah kos yang terpaksa dibelanjakan tambah lagi ketika musim panas ini,” katanya yang mempunyai lapan orang pekerja dan haiwan ternakan sebanyak 350 ekor  termasuk 50 ekor kerbau.

 

RUTIN BERUBAH

Menjelaskan lebih lanjut, dia berkata rutin hariannya  sebagai pengurus di  ladang fidlot tersebut berubah sejak tiga bulan lepas bagi menyesuaikan dengan peningkatan suhu yang kadang kala mencecah hingga 40 darjah Celsius.

Jika sebelum ini, dia hanya memandikan haiwannya sekali sehari pada waktu pagi, tetapi ketika cuaca panas,  dia perlu memandikannya sebanyak dua kali sehari pada waktu pagi dan petang. Selain terpaksa menambah jumlah air minuman di dalam kolam yang disediakan sebanyak 40 hingga 45 liter sehari, dua kali ganda berbanding bukan semasa cuaca panas.

“Haiwan apabila dalam cuaca panas, akan gelisah, termenung sehingga menyebabkannya tertekan, dehidrasi. Bila lihat keadaan haiwan tidak selesa, kami mula memandikannya dua kali sehari selain memastikan kandang dalam keadaan bersih.

“Kandang yang kotor, memudahkan haiwan terdedah dengan pelbagai penyakit dan berisiko mati,” katanya yang turut menambah kos ubat-ubatan dan makanan tambahan untuk haiwan ternakan turut meningkat ketika musim panas.

Menurut Muhammad Zubir, kos operasinya akan lebih meningkat apabila melibatkan lembu import yang memerlukan penjagaan lebih rapi seperti baka Limousine Bull  dari Australia apabila terpaksa memasang jaring  “garden net” bagi mengurangkan tekanan kepanasan.

Mengikut rekod, El Nino pernah melanda Malaysia sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951 hingga 1952 dan kejadian paling teruk ialah pada 1997 hingga 1998 dengan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan oleh Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

 

JEJAS SEKURITI MAKANAN NEGARA

Mengulas mengenainya,  pensyarah kanan di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) Dr Norhidayah Mohd Taufek berkata stres haba terhadap haiwan ternakan boleh membawa bahaya kepada tahap kesihatan mereka sehingga berisiko maut.

"Perubahan suhu badan teras lebih daripada 2 darjah Celcius hingga 3 darjah Celcius menyebabkan prestasi, pengeluaran dan masalah pembiakan dalam banyak spesies, mengehadkan kapasiti haiwan untuk menghasilkan daging, susu dan telur. Lebih dahsyat, peningkatan julat suhu antara 5 darjah Celcius hingga 7 darjah Celcius selalunya boleh membawa maut," jelasnya.

“Bagi pengeluaran daging, kebiasaannya lembu pedaging yang berbadan besar, berbulu tebal dan warna yang lebih gelap lebih terdedah kepada kesan pemanasan. Justeru, pemanasan global boleh mengurangkan saiz badan, berat karkas dan ketebalan lemak dalam ruminan,” katanya.

Gambar Hiasan Bernama
Gambar Hiasan Bernama

Sementara itu,  pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi Universiti Malaya Mohd Shahmi Hakimi Mazlishah berkata haiwan yang mengalami stres haba boleh dilihat melalui  pernafasan laju, kadar denyutan jantung, suhu rektal (usus besar) yang tinggi dan tingkah laku ternakan yang  resah.

Keadaan ini katanya berlaku disebabkan radikal bebas dalam tubuh haiwan ternakan meningkat dan mengakibatkan kerosakan organ penting haiwan seperti hati, ginjal dan paru-paru sekali gus menyebabkan penurunan produktiviti, penurunan kualiti daging atau susu dan meningkatkan risiko dijangkiti penyakit.

Mohd Shahmi Hakimi berkata terdapat tiga jenis teknik penternakan yang biasa diguna pakai dalam negara ini iaitu intensif (dibela di dalam kandang sepenuhnya), semi-intensif dan lepas bebas bagi haiwan ternakan seperti ruminan kecil.

“Saya melihat ketiga-tiga sistem penternakan ini turut terkesan dengan El Nino. Ternakan yang dilepas secara bebas sepenuh masa akan terkesan dengan El Nino, namun yang dipelihara dalam kandang juga tidak terkecuali sekiranya tidak mempunyai ventilasi dan ruang cukup luas bagi mengelakkan stres haba, “ katanya.

Beliau berkata kajiannya bersama rakan penyelidik lain turut mendapati stres haba mengakibatkan penurunan prestasi reproduktif haiwan ternakan secara drastik apabila kualiti dan daya hidup sperma haiwan menurun akibat pendedahan pada cuaca panas melampau.

“Jika daya tahan sperma rendah, kadar persenyawaan akan terjejas dan menyebabkan ternakan betina tidak bunting sekali gus berisiko memberi kesan besar kepada sekuriti makanan negara," jelasnya.

 

DVS TURUT PEKA SITUASI

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (DVS) dalam jawapan bertulis melalui  e-mel berkata setakat ini tahap sekuriti makanan negara masih lagi stabil berikutan tiada penurunan penghasilan daging industri ternakan akibat perubahan suhu iklim dunia atau perubahan suhu ketara di Malaysia. 

Malah, DVS juga melihat masih tiada peningkatan ketara import daging dari luar negara ketika ini memandangkan bekalan daging yang dihasilkan industri ternakan domestik masih  lagi terkawal.

Hal ini kerana pemain industri penternakan yang bernaung di bawah DVS telah dididik menyesuaikan diri dengan menternak baka tahan cuaca panas serta memastikan haiwan ternakan mempunyai air minuman mencukupi dan ditempatkan di kawasan teduh atau kandang bagi menggelakkan berlakunya stres haba. 

“Ketika musim kemarau kemungkinan rumput yang menjadi sumber makanan kepada ternakan  tidak tumbuh atau mati serta takungan air  kering. Pernternak sepatutnya sedar perkara ini kerana fenomena cuaca panas berlaku hampir setiap tahun dan kerana itu persediaan awal perlu dilakukan.

“Adalah menjadi kewajipan penternak mengambil langkah munasabah bagi memastikan kebajikan ternakan terjaga dan ini termasuklah memastikan diet haiwan ternakannya mencukupi dan sesuai,” katanya. 

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Menurut DVS, mana-mana penternak yang didapati sengaja mengabaikan ternakan mereka dan tidak mengambil langkah-langkah munasabah menjaga kebajikan ternakan sewaktu cuaca ekstrem sebegini, apabila disabitkan, boleh didenda tidak kurang daripada RM15,000 dan tidak lebih daripada RM75,000, atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada 20 tahun atau kedua-duanya.

Ketika ditanya tentang langkah mitigasi lain yang perlu diberi perhatian penternak, DVS berkata sistem penternakan reban/kandang tertutup dengan suhu persekitaran terkawal merupakan antara langkah boleh diamalkan berbanding kaedah penternakan terbuka.

“Walaupun sistem perternakan secara tertutup ataupun ternakan intensif adalah pilihan terbaik, penternak masih perlu menitikberatkan piawaian kebajikan haiwan termasuklah memastikan stok densiti ternakan di dalam kandang atau reban mengikut piawaian kebajikan haiwan.

“Ini juga bagi mengelakkan masalah seperti kesesakan dalam kandang atau reban, stres kepada haiwan, menyekat pergaduhan di dalam kandang atau reban yang boleh menyebabkan kecederaan berlaku. Pemantauan berkala oleh penternak amat diperlukan bagi memastikan kebajikan haiwan terjaga,” katanya. 

DVS juga akan mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana negeri bagi memantau keadaan El Nino dan kesannya terhadap haiwan ternakan selain turut meningkatkan aktiviti khidmat nasihat kepada penternak serta bers edia membekalkan bantuan kepada penternak yang terkesan dengan fenomena El Nino. 

Jabatan juga sedang dalam usaha membangunkan satu lagi garis panduan yang memberi rujukan kepada penternak di negara ini khususnya dalam menangani cabaran perubahan iklim. Ini memandangkan garis panduan yang ada hanyalah tertumpu kepada amalan penternakan ladang yang baik secara umum sahaja. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Cuaca Panas: Jangan Risau, KKM Sentiasa Pantau Rapat - Menteri

2

Semasa 2 hari yang lalu

Cuaca Panas Dijangka Berterusan Sehingga Julai - Nik Nazmi

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Cuaca Panas: Kedah Catat Jumlah Tertinggi Penyakit Berkaitan Strok Haba

4

Semasa 1 bulan yang lalu

Cuaca Panas: Tangguh Dahulu Aktiviti Luar Bilik Darjah - KKM

Sorotan

1

Kabinet Belum Bincang Kenaikan Harga Petrol Dan Diesel, Laporan Media Asing Tidak Betul – Fahmi

2

Pemohon Rayuan Haji Sudah Mula Terima Jawapan

3

TPM Ingatkan Sanusi Jangan Melalut Malam Ini

4

El Nino: Bekalan Lembu, Kambung Korban Mencukupi – Mohamad

5

Mangsa Skim Pelaburan Penipuan Berisiko Hilang Hak Untuk Pulih Kerugian – JSJK

6

SPRM Terima Beribu-ribu Dokumen Semasa Siasatan Kes 1MDB – Pegawai Penyiasat