Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Kes Resdung Semakin Meningkat - Pakar

Resdung boleh diwarisi dan apabila di tahap kronik, ia boleh menyebabkan radang teruk dan kegatalan pada membran mukus di dalam hidung, mata dan tekak ketika proses menyingkirkan alergen daripada tubuh.

Refleksi Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Aug 2022 7:40AM

Kemungkinan besar gejala yang dialami anak kecil seperti sering bersin dan berhingus disebabkan oleh resdung. - Gambar hiasan Pexels

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Jika anak kecil anda sering bersin, hidung berhingus serta tersumbat selain mata berair dan kelihatan lesu, sebaiknya bawalah dia berjumpa doktor. 

Kemungkinan besar gejala yang dialaminya itu disebabkan oleh resdung, iaitu tindak balas melampau sistem imun (sistem pertahanan tubuh yang lazimnya membantu melindungi tubuh kita daripada zarah-zarah tidak berjangkit yang disedut) terhadap alergen (bahan-bahan yang boleh menyebabkan alahan seperti debunga, hama habuk, bulu haiwan dan asap rokok).

Resdung boleh diwarisi, atau dengan kata lain penyakit keturunan, dan apabila di tahap kronik, ia boleh menyebabkan radang teruk dan kegatalan pada membran mukus di dalam hidung, mata dan tekak ketika proses menyingkirkan alergen daripada tubuh.

Dr Juani Hayyan Abdul Karaf - Gambar Bernama
Dr Juani Hayyan Abdul Karaf - Gambar Bernama

Penyakit ini juga boleh menyebabkan pelbagai komplikasi jika tidak dirawat segera, kata Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak serta Pakar Bedah Kepala dan Leher di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Juani Hayyan Abdul Karaf.

Ambil Masa Untuk Pulih Daripada Influenza, COVID-19

Dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini, Dr Juani berkata beliau mendapati ada peningkatan ketara kes resdung dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dalam tempoh dua tahun lepas, dan menurutnya, angka itu dijangka terus meningkat jika tiada tindakan pantas diambil oleh ibu bapa.

Katanya, jika seseorang anak kecil mengalami resdung kronik dan kemudian dijangkiti sama ada COVID-19 atau influenza, si anak akan mengambil masa yang lama untuk pulih berbanding mereka yang tiada resdung kronik.

Ini kerana apabila radang kronik yang dicetuskan oleh resdung di dalam rongga hidung dan di dalam tiub eustachio (saluran kecil yang menghubungkan tekak dengan telinga) tidak dikawal, badan akan mengambil masa lebih lama untuk melawan jangkitan lain. 

Kanak-kanak berkemungkinan terdedah kepada alergen antaranya alergen makanan, hama habuk dan bulu haiwan. - Gambar Bernama
Kanak-kanak berkemungkinan terdedah kepada alergen antaranya alergen makanan, hama habuk dan bulu haiwan. - Gambar Bernama

“Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang tidak disedari mempunyai resdung atau resdung yang tidak dirawat juga lebih cenderung dijangkiti influenza atau COVID-19 kerana radang resdung kronik yang sedia ada akan menjejaskan sistem imun tubuh, dan juga kerana keadaan hidung itu sendiri. Ini akan menyebabkan virus mudah merebak, sekali gus menjadikan keadaan tubuh bertambah teruk.

“Bagi jangkitan COVID-19 atau influenza, lazimnya seseorang pesakit akan pulih dalam masa lima hingga tujuh hari dan demam adalah antara gejala paling ketara. Namun bagi penghidap resdung kronik, ia (jangkitan COVID-19 atau influenza) akan mengambil masa satu hingga dua minggu untuk sembuh dan biasanya pesakit tidak demam. Ini juga adalah perbezaan paling ketara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa,” kata beliau. 

Risiko OME

Dr Juani  juga mengingatkan bahawa seseorang anak kecil yang dibiarkan menghidap resdung kronik tanpa dirawat akan berisiko tinggi untuk mendapat otitis media berefusi (OME) iaitu takungan cecair di dalam rongga telinga - yang boleh mencetuskan ketidakselesaan serta menjejaskan kualiti hidup si kecil.

“Tiub eustachio menyalurkan cecair keluar dari telinga ke bahagian belakang tekak. Jika tiub itu tersumbat, ia boleh menyebabkan OME, iaitu takungan cecair di belakang gegendang telinga yang boleh mengganggu transmisi bunyi dari telinga luar ke telinga dalam, menyebabkan kehilangan pendengaran konduktif.

“Kanak-kanak yang mengalami OME juga boleh berdepan masalah keseimbangan dan pertuturan selain sukar memberi tumpuan terutamanya ketika belajar. Jika gejala ini semakin teruk, pesakit akan mengalami masalah sukar tidur disebabkan sakit telinga yang berulang,” jelas beliau dan menambah keadaan itu juga boleh menyebabkan gegendang telinga pecah jika tidak dirawat dengan sewajarnya dan terkena jangkitan bakteria.

Memetik kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Otorinolaringologi - Pembedahan Kepala dan Leher Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM yang diterbitkan pada 2020, Dr Juani berkata kebarangkalian resdung berserta OME berlaku di Malaysia adalah sekitar 80.3 peratus.

Mengimbas semula kes kritikal yang pernah beliau kendalikan, katanya kes itu melibatkan seorang kanak-kanak yang nyaris-nyaris kehilangan pendengaran disebabkan OME kronik.

Grafik ihsan Bernama
Grafik ihsan Bernama

“Saya rawat kanak-kanak yang berusia sembilan tahun ini pada 2020, apabila dia digegaskan ke unit kecemasan akibat sawan tidak terkawal dan altered consciousness (keadaan separa sedar). Ketika pemeriksaan, kami mendapati bahawa jangkitan telinga dengan komplikasinya agak serius. Kami menggunakan antibiotik yang kuat untuk merawatnya selama dua minggu. Ubat yang digunakan ini merentasi rintangan darah ke otak, sekali gus membolehkan telinga dan otak dirawat serentak,” jelas beliau lagi.

Tambahnya, jika kanak-kanak itu tidak dirawat segera, dia mungkin tidak boleh menjalani kehidupan yang normal.

“Malah, dia juga boleh meninggal dunia jika jangkitan telinganya semakin teruk dan menyebabkan jangkitan tulang temporal atau abses otak. Resdung merupakan keadaan perubatan yang harus didiagnosis serta dirawat secepat mungkin,” ujarnya.

Rawatan

Resdung boleh didiagnosis menerusi sejarah klinikal dan gejala. Selain itu, kini terdapat ujian makmal diagnostik untuk alahan yang mengukur tahap imunoglobulin E (IgE), iaitu sejenis antibodi. Jika seseorang itu mempunyai alahan, paras lgE dalam darah mereka adalah lebih tinggi berbanding paras normal.

“Satu daripada perkara yang kita perlu tahu tentang resdung adalah jenis alergen yang menjadi alahan kepada pesakit. Di SMCV, kami akan mengambil darah dan uji di makmal bagi mengesan 51 alergen utama. Ia merangkumi, antaranya alergen makanan, hama habuk dan bulu haiwan.

“Daripada keputusan ujian darah yang boleh diperoleh dalam tempoh dua jam itu, kami akan lihat paras lgE yang dikeluarkan oleh tubuh pesakit akibat tindak balas alergi,” katanya.

Rawatan lain bagi resdung termasuk semburan kortikosteroid intranasal yang berfungsi sebagai terapi awal yang selamat dan berkesan bagi resdung, kata beliau.

Dr Juani turut menasihati orang ramai, khususnya mereka yang menghidap penyakit itu, agar mengubah gaya hidup. - Gambar Bernama
Dr Juani turut menasihati orang ramai, khususnya mereka yang menghidap penyakit itu, agar mengubah gaya hidup. - Gambar Bernama

Jelasnya, steroid dalam semburan nasal bertindak secara topikal pada lapisan mukosa yang mengalami radang selain berperanan sebagai agen antiradang dan mengurangkan bengkak pada mukosa dengan risiko kesan sampingan steroid secara sistemik yang sangat rendah.

Pemilihan tablet atau ubat cecair antihistamin yang tepat juga boleh merawat resdung dengan mengurangkan keradangan yang disebabkan tindak balas alahan di dalam hidung.

Dr Juani turut menasihati orang ramai, khususnya mereka yang menghidap penyakit itu, agar mengubah gaya hidup seperti kerap membasuh tangan dan mengelak daripada menyentuh muka atau menggosok mata dan hidung.

“Kenal pasti perkara yang mencetuskan gejala dan elak daripada benda-benda itu. Pastikan persekitaran tempat kerja dan rumah dalam keadaan bersih dan tidak berhabuk. Jika anda ada gejala resdung dan ia menjejaskan aktiviti harian, sila berjumpa doktor dan mulakan rawatan bagi mengawal gejala,” nasihatnya. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Luar Negara 2 bulan yang lalu

Makanan Di Gaza Tidak Mencukupi - Agensi PBB

2

Kisah Kita 2 bulan yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

3

Semasa 3 bulan yang lalu

COVID-19: Pemakaian Pelitup Muka Masih Digalakkan Di Sekolah - Wong

4

Semasa 3 bulan yang lalu

20 Kes Baharu COVID-19 Dikesan Libatkan Mangsa Di PPS Terengganu, Kelantan - Dr Dzulkefly

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

Disyorkan untuk anda

Jelajah 14 jam yang lalu

Luna Lights Wonderland Hiasi Stadium Tertutup Gong Badak

oleh Wartawan Getaran