Berita Terkini

4 jam yang lalu: Penerbangan terus antara Kuala Lumpur-Tashkent mulai Julai ini 4 jam yang lalu: Peter Anthony tipu 4 individu termasuk Najib dapatkan kontrak di UMS - Hakim 4 jam yang lalu: Produk ‘Prime Kopi Pejuang 3 In 1’ boleh sebabkan pengambilan 'dos berlebihan' Tadalafil 4 jam yang lalu: Untung bersih suku pertama Petron Malaysia naik kepada RM106.4 juta 6 jam yang lalu: 'Health Alert monkeypox’ akan dilaksanakan menerusi aplikasi MySejahtera mulai esok - Khairy

IKUTI KAMI


Pelitup Muka: Antara Berpelindungan Maksimum Atau Tidak, Tepuk Dada Tanya Selera

Biar apa jenis pun pelitup muka pilihan anda, adalah penting memastikan ia dipakai dengan betul. Mari kita lihat apa kata pakar perubatan.

Refleksi Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jan 2022 1:46PM

Gambar Hiasan, Pexels

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Ketika negara mengharungi asakan varian Delta pada tahun lepas yang menyaksikan jangkitan baharu COVID-19 melebihi 10,000 kes hampir setiap hari, sesetengah ahli masyarakat mula memakai respirator, bukan lagi pelitup muka perubatan biasa.  

Nana, 45, antara yang berbuat demikian dan ketika ditanya Bernama faktor yang menyebabkannya beralih kepada respirator, wanita itu menjawab dia mahukan perlindungan yang lebih baik selain pemakaian tidak renyah. 

Respirator pilihan wanita itu ialah KF94 keluaran Korea Selatan, iaitu dalam kategori sama dengan N95. Pasaran turut menawarkan respirator KN95 dari China dan FFP2 yang berdasarkan piawaian Eropah.

“Pakai respirator ni mudah, saya tak perlu lagi susah-susah nak pakai dua lapis pelitup muka setiap kali hendak keluar rumah. Selain itu, ibu saya juga penghidap kanser. Saya tak mahu dia dijangkiti COVID-19 yang dibawa pulang oleh saya,” jelasnya kepada Bernama. 

Gambar hiasan, Pexels
Gambar hiasan, Pexels

Kini, tatkala ledakan Delta memperlahan dan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit pula muncul, Nana yakin keputusannya memakai respirator itu adalah yang terbaik bagi melindungi keluarganya yang kesemuanya telah lengkap divaksinasi. 

Polemik pelitup muka dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan dan pihak berkuasa berkaitan di Amerika Syarikat dan Eropah, memperkuat keyakinan Nana, apabila masing-masing menyarankan pemakaian pelitup muka berkualiti tinggi bagi mengekang jangkitan Omicron yang semakin mengganas di benua terbabit.

Malaysia bagaimanapun tidak menuruti langkah negara berkenaan. Garis panduan pemakaian pelitup muka yang diguna pakai sejak 23 Ogos tahun lepas tidak dikemas kini. Saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar orang ramai memakai pelitup muka berganda - pelitup muka perubatan dan pelitup muka fabrik berserta pelindung muka masih terpakai. 

Pakar perubatan yang dihubungi Bernama juga berpandangan tidak ada keperluan untuk orang ramai beralih memakai respirator.

 

Pencegahan

Selain menyifatkan respirator mungkin terlalu mahal bagi kebanyakan ahli masyarakat, pakar juga melihat pemakaian pelitup muka perubatan tiga lapis secara betul sudah memadai, termasuk untuk mencegah jangkitan Omicron, asalkan pelitup muka tersebut memenuhi keperluan minimum piawaian.

Pakar Perunding Pulmonologi Dr Wong Chee Kuan berkata ini kerana rata-rata penduduk di Malaysia berpelitup muka apabila keluar rumah.

"Masalahnya ialah di luar negara, mereka tidak mengamalkan pemakaian pelitup muka. Hal ini meningkatkan jangkitan dalam komuniti mereka. Malaysia pula kuatkuasakan arahan, iaitu kita mesti memakai pelitup muka apabila mahu ke tempat awam,” katanya. 

Gambar hiasan, Pexels
Gambar hiasan, Pexels

Pelitup muka N95 merupakan respirator berstandard premium, menjanjikan penapisan kira-kira 95 peratus zarah di udara seperti debu, kabus dan wasap.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC),  pemakaian N95 menghalang kemasukan zarah sekecil 0.3 mikron dan titisan. Selain itu, N95 juga mempunyai mekanisme elektrostatik yang berfungsi memerangkap zarah bercas dan tidak bercas.  

Perlindungan serupa atau hampir sama turut ditawarkan oleh KN95, KF94 dan FFP2 - ini jauh lebih baik berbanding pelitup muka biasa.

Pemakaian pelitup muka, walaupun sehelai, dapat mengurangkan peluang penyebaran virus korona kerana perlindungan yang diberikan meliputi individu lain dan juga si pemakai. Menurut pakar, paling penting adalah cara pemakaian yang betul.   

“Pemakaian KN95 atau N95 akan memberikan perlindungan yang lebih kepada si pemakai, terutama dalam mendepani ancaman Omicron yang sangat mudah berjangkit. Bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah pelitup muka dipakai dengan betul,” kata Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki, pakar perubatan kesihatan awam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ringkasnya, apa juga jenis pelitup muka yang dipakai, pastikan sebarang ruang di antara pelitup dan muka si pemakai bertutup serapat mungkin.

Gambar hiasan, Pexels
Gambar hiasan, Pexels

“Ramai yang sudah mula memakai N95 atau KF94, malah sebelum kewujudan Omicron lagi, namun perlu diingat, kesemua pelitup muka ini perlu dipakai secara kemas. Jika terlalu longgar, tak ada gunanya pakai pelitup muka,” kata Dr Wong.   

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Prof Dr Victor Hoe yang menguji N95 untuk petugas penjagaan kesihatan di PPUM, berkata sukar untuk memakai pelitup muka dengan kemas kerana alat itu amnya dikeluarkan hanya dalam satu saiz.

Pada masa sama, di sebalik janji perlindungan unggul terhadap zarah bawaan udara, pemakaian respirator juga tidak akan mencapai matlamat jika si pemakai menanggalkan alat itu ketika berbual atau bernafas.

“Kerana itulah saya tidak menyarankan orang ramai memakai pelitup muka jenis ini. Alat ini menyukarkan pernafasan dan percakapan. Sebab itu kami dapati ramai yang membuka pelitup muka mereka apabila bercakap,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyokong penggunaan pelitup muka jenis itu dalam keadaan tertentu seperti ketika berada di dalam ruang tertutup bersama-sama orang lain yang status vaksinasinya tidak diketahui, seperti di dalam pesawat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menggantikan pelitup muka yang dipakai dengan yang baharu apabila alat itu basah atau lembap akibat berpeluh dan sebagainya. 

 

Ketulenan

Pemakaian pelitup muka N95 gred perubatan akan meninggalkan bekas pada muka si pemakai seperti yang dapat dilihat pada wajah pekerja kesihatan, namun tidak semua respirator yang ada di pasaran itu produk tulen.

Di Amerika Syarikat, produk tulen akan mempunyai simbol NIOSH pada alat serta tarikh luput pada kotak memandangkan cas elektrostatik merosot seiring dengan masa. Di Malaysia pula, pelitup muka perubatan akan mempunyai pensijilan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).  

Gambar hiasan, Pexels
Gambar hiasan, Pexels

Sumber MDA memberitahu Bernama, agensi itu tidak menjamin keberkesanan produk N95 bukan gred perubatan dan lain-lain respirator yang ada di pasaran.

Pakar pula berkata sama ada tulen atau tidak, pelitup muka masih dapat mengurangkan kadar transmisi di tempat awam.

“Orang ramai tidak perlu menggunakan peranti perubatan tulen kerana mereka tidak terdedah secara langsung kepada pesakit yang disahkan telah dijangkiti. Selagi pelitup muka itu terletak dengan elok di muka dan dipakai dengan betul, maka sudah memadai,” kata Dr Wong kepada Bernama menerusi WhatsApp.

Ada beberapa ujian yang boleh dilakukan oleh orang ramai untuk memastikan keberkesanan pelitup muka mereka, antaranya menguji dengan nyalaan api (cuba padamkan nyalaan api dengan menghembus dari jarak 30 cm), hidu bau (cuba kesan bau pemanis tiruan seperti Sweet and Low), dan ujian cahaya (regangkan pelitup muka di hadapan cahaya yang terang dan cuba lihat menerusinya). 

Jika kesemua ujian berjaya dilakukan, bermakna pelitup muka itu tidak dapat melindungi anda, kata penyelidik di Stanford University School of Medicine yang bekerja dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam membangunkan piawaian pelitup muka.

Pelitup muka fabrik pula amnya tidak berkesan kerana mempunyai kemampuan menapis yang sangat rendah. Bagaimanapun, pakar berkata jika digandingkan bersama pelitup muka perubatan, pemakaiannya berkesan kerana ruang yang terbuka pada sisi muka akan bertutup rapat.

Gambar hiasan, Unsplash
Gambar hiasan, Unsplash

Menurut Dr Rafdzah, pelitup muka pembedahan tidak boleh menapis zarah yang lebih kecil daripada bakteria, namun “jika semua orang yang berada di kawasan awam memakai pelitup muka pembedahan atau fabrik, ini sudah memadai untuk mencegah penularan virus di kawasan itu, sekali gus mengurangkan peluang jangkitan.”

Di sebalik jaminan yang diberikan oleh pakar terbabit, Nana tidak berhasrat untuk kembali memakai pelitup muka pembedahan dalam masa terdekat.

“Selain menjaga ibu yang menghidap kanser, saya juga ada seorang anak lelaki dan saya tidak mahu perkara buruk berlaku padanya,” kata wanita itu. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 hari yang lalu

Kes Baharu COVID-19, Angka Kematian Menurun

2

Semasa 4 hari yang lalu

Kes Harian COVID-19 Menurun Sedikit, 3 Kematian

3

TARA 5 hari yang lalu

Lebih 100,000 Individu Dapatkan Khidmat Sokongan Mental MIASA Sejak Ogos 2020

4

Semasa 1 minggu yang lalu

KJ Tabik Masih Ramai Rakyat Amalkan SOP

Sorotan

1

Zuraida Patut Lepaskan Kerusi Parlimen Ampang Juga - Fahmi Fadzil

2

Malaysia Airlines Mula Penerbangan Pertama Dari Kuala Lumpur Ke Doha

3

Letupan Bom Di Tak Bai: 3 Sukarelawan Polis Marin Cedera

Disyorkan untuk anda

Teknovasi 1 hari yang lalu

Xbox Mengumumkan 5 Permainan PC Terbaharu

oleh Izwan Ramlan

Jelajah 8 jam yang lalu

Malaysia Airlines Mula Penerbangan Pertama Dari Kuala Lumpur Ke Doha

Malaysia Airlines meraikan penerbangan pertamanya antara Kuala Lumpur (KUL) dan Doha (DOH) dengan upacara pelepasan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kual...

oleh Shah Shamshiri

Teknovasi 1 hari yang lalu

Buletin Teknovasi: Apa Yang Menarik Minggu Ini?

Getaran berkongsi perkembangan terkini dunia teknologi dan inovasi untuk minggu ini

oleh Izwan Ramlan

Jelajah 13 jam yang lalu

Istana Belon Seluas 28,000 Kaki Persegi Sempena Cuti Sekolah 

oleh Rahayu MN