KUALA LUMPUR - Cadangan rangka persefahaman rentas parti ditawarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan agak lewat kerana beliau membuktikan tidak lagi memiliki sokongan majoriti untuk mengekalkan kedudukannya.
Penganalisis Politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, walaupun cadangan itu merangkumi pendekatan diinginkan parti pembangkang sebelum ini, ia dianggap sebagai cubaan terdesak Perdana Menteri bagi memancing sokongan Ahli Parlimen dan meraih undi.
“Secara umum tawaran ini dilihat bagus sebagai ‘tempoh damai’ untuk memastikan pembangkang dan kerajaan bersama-sama mengatasi krisis COVID-19 serta ekonomi.
“Namun apabila dibuat ketika Perdana Menteri didakwa sudah tiada majoriti selepas ditolak segelintir Ahli Parlimen UMNO, nampak seperti ini pendekatan terakhir beliau untuk mendapatkan sokongan demi kelangsungan kepimpinannya,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Mohd Azizuddin berkata, tawaran dikemukakan Muhyiddin untuk “duduk semeja” itu turut mencetuskan beberapa persoalan, termasuk kesudian parti komponen Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dengan Ahli Parlimen pembangkang dan bebas.
“Sekarang isu terbabit menimbulkan polemik, termasuk dalam kalangan rakyat mengenai bolehkah PAS bekerjasama dengan DAP atau UMNO ‘berbaik’ dengan DAP memandangkan sebelum ini parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu melaungkan ‘no Anwar, no DAP’,” katanya.
Ketika ditanya mengenai situasi bakal berlaku selepas semua parti pembangkang mengumumkan menolak tawaran itu, Mohd Azizuddin berkata, Muhyiddin perlu berdepan dua pilihan, sama ada meletakkan jawatan atau menghadapi undi percaya pada September nanti.
“Jika ditolak maksudnya tidak ada lagi kerjasamalah. Sekarang bergantung kepada Ahli Parlimen kalau mahu memberi sokongan secara individu tetapi mereka dilihat mengikut keputusan parti.
“Pilihan dimiliki Muhyiddin letak jawatan atau depani usul undi di Parlimen September ini, tetapi saya rasa susah untuk beliau mendapatkan majoriti dan kekal sebagai Perdana Menteri bagi mengisi kekosongan 15 Ahli Parlimen yang menarik sokongan daripada PN,” katanya.
Kelmarin, Muhyiddin menerusi ucapan khas secara langsung menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan.
Bagaimanapun, tawaran itu ditolak semua parti pembangkang kerana disifatkan terlalu, terdesak dan menyamai sogokan terbuka demi meraih sokongan untuk kedudukan politiknya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata penolakan terhadap tawaran Perdana Menteri berkemungkinan disebabkan pembangkang percaya Muhyiddin sudah tidak lagi memiliki majoriti.
Katanya, keadaan dialami Muhyiddin itu, dilihat pembangkang sebagai peluang untuk memenuhi keinginan mereka bagi menubuhkan kerajaan baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata, dalam keadaan mana-mana parti politik yang dilihat masih tidak memiliki majoriti, selain masing-masing berbeza pendirian dan aspirasi, sukar untuk mereka mencalonkan Perdana Menteri baharu serta menubuhkan kerajaan.

“Tawaran ini bermaksud Perdana Menteri membuka persahabatan dengan pembangkang sebab kita tengah melawan COVID-19, jadi mungkin melalui kerjasama dicadangkan tidak ada lagi pertarungan antara kerajaan dan pembangkang demi rakyat,” katanya.
Mazlan berkata, kebiasaannya apabila Perdana Menteri hilang keabsahan atau meletakkan jawatan, Yang di-Pertuan Agong akan memanggil Ahli Parlimen untuk menentukan majoriti, tetapi jika mereka tidak dapat membuat keputusan, baginda boleh membentuk kerajaan interim.
“Kebiasaannya juga, individu bakal diangkat sebagai Perdana Menteri interim adalah bekas Perdana Menteri terkini yang membolehkannya mengaturkan pendekatan untuk mengatasi krisis sedia ada, seperti COVID-19 dan ekonomi sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.
“Pendekatan kedua mungkin diambil Yang di-Pertuan Agong adalah menerusi penubuhan institusi, seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk mentadbir negara bagi memulihkan krisis sedia ada,” katanya.
Mengulas mengenai kesan terhadap semak dan imbang di Parlimen sekiranya pembangkang menerima tawaran itu yang menyaksikan mereka menyokong cadangan kerajaan, Mazlan berkata, proses itu tetap akan berjalan lancar.
“Kesan sokongan pembangkang kepada kerajaan terhadap semak dan imbang bukan isu besar kerana bila ada kritikan daripada ‘ahli keluarga’ sendiri, sudah tentu kerajaan akan buat dengan cepat.
“Malah teguran daripada ahli anggota bekerjasama dengan kerajaan ini lebih mudah untuk dilaksanakan, berbanding apabila pembangkang buat kritikan, belum tentu kerajaan ikut,” katanya. - Getaran, 15 Ogos 2021