Berita Terkini

4 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 6 hari yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 1 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019 2 minggu yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff.

IKUTI KAMI


Keputusan MKT UMNO, Menang Sorak Kampung Tergadai?

Politik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Jul 2021 12:13PM

Hishammuddin, Ahmad Zahid dan Ismail Sabri.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Jeneral perang terbilang pintar, Sun Tzu pernah memberi ingatan untuk manusia menghindari sengketa bersama musuh yang lebih kuat daripada mereka.

Namun jika keadaan memaksa tegas beliau, pastikan ia berlaku berlandas kepada syarat yang kita tentukan, bukan sebaliknya.

“Jangan terlibat dengan musuh yang lebih kuat dari anda. Jika itu tidak dapat dihindari, pastikan ia berlaku mengikut syarat yang anda berikan, bukan sebaliknya,” katanya, seperti dipetik mahakarya The Art of War, koleksi buah fikiran agung jeneral perang legenda China itu.

Strategi ini barangkali antara intipati utama yang mendorong kepada keputusan dihasilkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuarat khas mereka, malam tadi.

Mesyuarat yang pada pandangan mata kasar (mungkin juga sudah dirancang sedari awal) diadakan secara mengejut itu berakhir dengan parti berkenaan menarik semula sokongan diberikan sebelum ini kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Walaupun petanda ke arah itu sudah kelihatan sejak Perhimpunan Agung UMNO 2020 Mac lalu, namun pelantikan Naib Presiden Parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar semalam, nampaknya menjadi pemangkin untuk keputusan tersebut dimuktamadkan.

Alasannya jelas. Persetujuan Ismail Sabri untuk menerima portfolio kedua terpenting kerajaan itu secara tidak langsung menzahirkan pendiriannya dalam menyokong kepimpinan Muhyiddin dan gabungan PN, satu kelompok kuasa yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai kontroversi.

Bagaimana mungkin, parti yang secara terbuka mengkritik kepimpinan Perdana Menteri boleh merelakan antara ahli tertinggi mereka dilantik sebagai orang kedua terpenting kerajaan PN?

Ini tidak boleh jadi. Meja nampaknya sudah berpusing. Kita mahu terkam dia, alih-alih kita yang terkena.

Barangkali ‘geram’ dengan percaturan Muhyiddin yang secara halus ‘memikat’ Ismail Sabri dan Hishammuddin untuk kekal di bawah panji PN, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil dengan membawa syarat keras, sebagai ‘ugutan secara halus’ buat mereka.

Memuktamadkan keputusan menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri dan PN, dilihat pemerhati sebagai satu amaran terhadap kedua-dua ahli senior UMNO itu.

Sumber dalaman UMNO berbisik pada Getaran, pengumuman dibuat Ahmad Zahid awal pagi tadi usai mesyuarat MKT sememangnya sudah terang lagi bersuluh.

Take it or leave it, itu maksud tersirat yang mahu disampaikan kepada Ismail Sabri dan Hishamuddin.

“Bila MKT sudah buat keputusan (menarik semula sokongan), Ismail Sabri dan Hishammuddin kena batalkan persetujuan (menerima jawatan).

“Jika mereka berdegil, itu sudah melanggar peraturan (parti) dan boleh dikenakan tindakan. Melainkan jika mereka mahu menjadi seperti Hamzah (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin) melompat ke BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya yang mengaku, sudah ‘masak’ dengan sepak terajang politik negara.

Menurut sumber, keputusan dibuat MKT itu sedikit sebanyak pasti meletakkan Ismail Sabri dan Hishammuddin dalam keadaan tersepit, apatah lagi jika mereka masih memilih untuk kekal ‘bersatu, bersetia dan berkhidmat’.

Antara berjuang bersama parti, atau meneruskan kepercayaan yang diberikan ketua untuk menyandang jawatan penting dalam kerajaan, pastinya bukan mudah membuat keputusan.

Ditelan mati ayah, diluah mati emak, baik Ismail Sabri dan Hishammuddin pasti ketika ini dihambat resah, sama ada mahu mendahulukan sumpah setia bersama UMNO atau menggalas mandat baharu yang diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba.

Seorang lagi pemerhati yang ‘sedikit nakal’ pula memberi bayangan, keputusan MKT itu dibuat kerana UMNO berpendapat ada calon yang lebih layak memikul jawatan Timbalan Perdana Menteri, berbanding Ismail Sabri.

Meski dianggap senior dalam arena politik negara, keterampilan Ahli Parlimen Bera tersebut dianggap tidak begitu menyerlah berbanding rakan seperjuangan lain yang lebih lantang bersuara.

Enggan menamakan calon ‘pilihan’ berkenaan, sumber tidak menolak keputusan dizahirkan MKT sebenarnya hanya satu sandiwara dan permainan yang diatur khas bagi melemahkan kekuasaan PN.

“Kalau you tengok betul-betul, you boleh nampak siapa mastermind sebenar. Takkan you tak tahu sejarah Zahid sebelum ni. You rasa semudah itu ke dia nak ubah sokongan?

You pun tahu Timbalan Perdana Menteri, sebelah kaki sudah masuk (untuk dilantik sebagai Perdana Menteri). You rasa Ismail Sabri layak ke,” kata sumber itu yang bermurah hati menghubungi Getaran sebaik sahaja sidang media UMNO berakhir awal pagi tadi.

Kenyataan sumber berkenaan menimbulkan persoalan, siapa mastermind dimaksudkan? Apakah kaitan beliau dalam menentukan hala tuju dan pendirian UMNO? Apa pula sandiwara itu?

Apakah ‘wayang politik’ ini ada kaitan dengan satu lagi keputusan parti, iaitu menolak untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?

Pasti ramai sedia maklum bahawa Zahid dan Anwar bagai isi dengan kuku, dan ia dapat dilihat jelas apabila beliau secara lantang menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR berkenaan, ketika bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut dipecat daripada portfolio itu pada September 1998.

 Selepas berikrar ‘rela mati’ demi Anwar, apakah dengan mudah beliau sanggup melupakan ‘baiah’ berkenaan hanya kerana setampuk kuasa yang sebenarnya tidak lagi relevan?

Getaran diberitahu, amarah UMNO sebenarnya sudah lama membuak, sejak Ismail Sabri dan Hishammuddin diserap masuk ke dalam kabinet PN, sekali gus melangkaui beberapa individu lain yang lebih senior di dalam parti.

“Apa lebihnya Ismail Sabri dan Hishammuddin? Lebih-lebih lagi Hishammuddin, beliau bukan lagi bergelar Naib Presiden UMNO. Apakah ini ada kaitan dengan kedudukan beliau yang memiliki pertalian keluarga dengan institusi Diraja,” katanya.

Kenyataan dibuat sumber berkenaan dipercayai merujuk kepada hubungan kekeluargaan dimiliki Hishammuddin, menerusi perkahwinannya bersama sepupu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Umum mengetahui, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah ialah sepupu rapat kepada Sultan Abdullah, kerana ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah ialah kekanda kepada Allahyarham bapa Tengku Marsilla, Tengku Abdullah.

Berdasarkan tiket itu, pelantikan Hishammuddin jelas sumber, adalah usaha untuk mengukuhkan sokongan institusi Diraja terhadap Muhyiddin, dan mungkin juga cubaan ‘membeli jiwa’ Yang di-Pertuan Agong.

Apapun nampaknya percaturan itu seolah tidak menjadi, kerana baru-baru ini baginda menzahirkan titah untuk persidangan Parlimen diadakan segera, sekali gus secara tidak langsung menolak proklamasi darurat yang hanya dijadualkan berakhir 1 Ogos nanti.

Bersandiwara atau tidak, UMNO nampaknya sudah memuktamadkan pendirian, malah Muhyiddin dituntut untuk segera melepaskan jawatan.

Dengan tekanan dari kiri dan kanan, adalah menakjubkan sebenarnya bila melihat Perdana Menteri masih mampu bertahan, malah berani pula membuat keputusan sepenting itu yang dianggap kritikal di saat negara dilatari pelbagai krisis.

Saat negara bersalut pandemik COVID-19 yang semakin meruncing, sejujurnya adalah amat ‘memualkan’ apabila melihat barisan kepimpinan saling bertelagah, sedangkan perkara yang lebih perlu diberi perhatian tidak diperhalusi.

Menang jadi abu, kalah jadi arang nampaknya bukan lagi satu ketakutan, kerana apa yang penting, kocek harus sarat menampung kuasa.

Jika inilah petualang sebenar, maka menang sorak, tergadailah Malaysia, dibajak tangan tamak yang rakus pangkat dan lapar harta. – Getaran, 8 Julai 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 3 hari yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 2 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 2 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 2 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Tiada Halangan MMC Jual Saham MMC Port, Namun Perlu Patuhi Dasar - Menteri

2

Rasionalisasi Subsidi Mampu Tangani Isu Ketirisan, Seludup Diesel - Pakar Ekonomi

3

Kolam Selam Tempur Kem Iskandar, Mersing Siap Jun - Onn Hafiz

4

Fahmi Arah MCMC Ambil Tindakan Terhadap Pengguna TikTok Sebar Video Berbaur Fitnah

5

Pembukaan Semula Zoo Johor Ditangguh Ke Ogos - Exco

6

Xiong Du Du, Yu Rong Rong Dipilih Maskot Piala Thomas, Piala Uber 2024

7

KPKM Tidak Lindungi Pihak Terbabit Kartel Padi, Beras - Mohamad

Disyorkan untuk anda

Semasa 22 jam yang lalu

Ingatkan Akar Pokok, Rupanya Bangkai Ikan Lumba-Lumba

oleh Rafisqi Radhi

Semasa 1 hari yang lalu

Kes Saman Khairy Isu Vaksin Selesai, Lokman Adam Setuju Buat Permohonan Maaf

Semasa 1 hari yang lalu

5 Suspek Ugut Pelanggan McDonald’s Ditahan, Reman Sehingga Rabu

oleh Diyana Nawwar

Sukan 1 hari yang lalu

Sze Fei-Nur Izzuddin Tewas Di Final BAC 2024