web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 7 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Muhyiddin, Ke Mana Hilangnya Hormat Rakyat?

Politik Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 07 Feb 2021 12:06AM

Muhyiddin Yassin - Gambar Fail AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR : Sejak mula membabitkan diri dalam politik pada 1978, sosok dikenali sebagai Tan Sri Muyiddin Yassin ini dilihat ramai sebagai individu berperibadi mulia, dengan tutur kata yang sentiasa tenang dan berhemah.

Perinya yang sentiasa budiman dan merendah diri, amat sajak dengan latar belakang sebagai anak kepada seorang ulama terkenal di Muar, Johor iaitu Muhammad Yassin Muhammad.

Pernah menyandang pelbagai portfolio Kabinet, termasuk Menteri Besar Johor selama dua penggal pada 1986 hingga 1995, Muhyiddin jarang sekali didengar memberikan sebarang kenyataan tidak berasas atau melemparkan tuduhan melulu kepada sesiapa pun, termasuk dari parti lawan.

Buah fikiran beliau sentiasa bernas dan rasional, seiring dengan penampilan dirinya yang penuh wibawa.

Pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 disambut dengan penuh kesyukuran oleh jutaan rakyat Malaysia, kerana menyifatkan ia sebagai satu pilihan tepat, selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketibaan pandemik COVID-19 ternyata bukan sekadar mengubah landskap negara, bahkan turut menukar rasa sayang dan hormat rakyat kepada Perdana Menteri kelapan itu.

Entah di mana silapnya, tingkah Muhyiddin kini sering menjadi modal kritikan dan sindiran pedas rakyat jelata, khususnya dari kalangan golongan berpendapatan rendah, atau digelar netizen sebagai marhaen.

Pada 3 Februari lalu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri untuk mesyuarat Pra Kabinet di Istana Negara yang berlangsung selama sejam.

Pertemuan itu mengundang banyak spekulasi apabila Muhyiddin dikatakan berbincang mengenai beberapa perkara kritikal, termasuk yang menyentuh perihal darurat.

Teka-teki terus kedengaran termasuk daripada kalangan penganalisis politik, namun mereka hanya mampu meneka dalam kesamaran, susulan keengganan Perdana Menteri membuka mulut kepada media sejak mula menyandang jawatan terbabit tahun lalu.

Barangkali bosan dengan kesukaran hidup yang semakin menghimpit, netizen seakan bersepakat membanjiri hantaran mengenai pertemuan berkenaan, sebaik ia dimuat naik di laman Facebook rasmi Istana Negara.

Tidak sampai 24 jam, hantaran terbabit menerima lebih 4,000 reaksi dan 10,000 komen yang datang dalam pelbagai bentuk.

Memeranjatkan, apabila sejumlah besar komen yang ada hanya berbaur kecaman dan kritikan pedas semata-mata, sekali gus menimbulkan persoalan, ke mana hilangnya kasih sayang rakyat kepada Perdana Menteri?

Ke mana perginya rasa hormat mereka kepada seorang pemimpin tinggi negara, apakah luput ditelan virus COVID-19 atau sememangnya ia bertitik tolak daripada kepercayaan yang musnah terhadap kerajaan?

Mutakhir ini, tindak tanduk barisan anggota Kabinet menjadi perhatian rakyat, yang sentiasa bersiap siaga mengesan sebarang kepincangan.

Itu bukan perkara baharu kerana ia sudah menjadi lumrah sejak dahulu lagi, jika mereka mula merasakan landskap negara semakin berubah ke arah yang tidak ‘menyenangkan’.

Seorang netizen, Wanida Bani berkata, rakyat bawahan berada dalam keadaan yang amat tertekan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan, berbanding ketika PKP 1.0 tahun lalu.

Katanya, barisan Jemaah Menteri perlu menimbangkan kemungkinan untuk meletak jawatan dan berundur, daripada terus menerus menjadikan rakyat sebagai korban.

“Masa PKP 1.0 dulu saya ok saja walaupun pendapatan tiada tapi untuk PKP 2.0 ini saya ralat, rasa sia-sia. Sebaiknya PM (Perdana Menteri) dan menteri-menterinya letak jawatan. Terlalu banyak keputusan yang merugikan rakyat dan tentulah melibatkan negara pada masa hadapan,” katanya.

Seorang lagi pembaca, Nor Iskandar Badrun pula dengan sinis meminta Perdana Menteri ditukar kepada calon baharu.

Menerusi komen yang menerima 484 reaksi itu, beliau mendakwa penukaran berkenaan diyakini akan mengembalikan semula keseimbangan ekonomi dan politik negara.

Komen Wanida dan Nor Iskandar adalah antara ribuan reaksi netizen yang rata-ratanya sarat dengan kemarahan serta kekecewaan terhadap kerajaan.

Jika sampai laman Istana Negara sendiri menjadi medan untuk mereka meluahkan perasaan, mungkin ia menjadi petunjuk bahawa sememangnya ada sesuatu yang ‘tidak kena’ sedang berlaku.

Yang nyata, penzahiran perasaan itu ada asas dan rasionalnya sendiri kerana rakyat, khususnya golongan bawahan amat terseksa kebelakangan ini.

Tidak tahu di mana silapnya, kehidupan mereka semakin menghimpit, entahkan kerana pandemik atau ulah kerajaan yang sukar ditebak.

Kendatipun, meski boleh disifatkan sebagai minoriti ketika ini, ternyata masih ada golongan yang menyanjung tinggi kepimpinan Muhyiddin dan menyifatkan beliau pilihan terbaik dimiliki negara.

Menjadikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai perbandingan, seorang lagi netizen dikenali sebagai Rosmah Semah menggesa rakyat untuk berfikir secara waras, tanpa memberikan sebarang cadangan yang dianggap tidak masuk akal.

"Janganlah nak cadang yang bukan-bukan, kerajaan sekarang lagi baik dari PH dulu (yang) gila kuasa," katanya.

Komen Rosmah Semah itu bagaimanapun hanya sekadar peratusan kecil sokongan diterima Perdana Menteri dalam hantaran berkenaan, berbanding ribuan suara majoriti yang mengecam dan mengkritik keras corak pentadbiran kerajaan ketika ini.

Sesuatu jelas perlu dilakukan bagi membaik pulih keadaan, jika jentera sedia ada berhasrat untuk terus mengepalai pemerintahan dan pengurusan negara, setidak-tidaknya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Apa yang penting, ketika ini ribuan jiwa di kaki lima sedang berhempas pulas meneruskan kehidupan antara sela nafas yang tinggal, sedangkan ada di kalangan kita, diamnya enak dilingkar kuasa. – Getaran, 7 Februari 2021

Berita Berkaitan

1

Politik 1 hari yang lalu

‘PRN Johor Bukan Keutamaan Saya, Pemulihan Ekonomi Masih Fokus Kerajaan Persekutuan’ – Anwar

2

Politik 1 hari yang lalu

Saifuddin, Dr Zaliha Dilantik Naib Presiden PKR

3

Politik 2 hari yang lalu

PRN Johor: Mesyuarat SPR 12 Jun, Tentukan Tarikh Penting Pilihan Raya 

4

Politik 2 hari yang lalu

Notis Pemakluman Rasmi Pembubaran DUN Negeri Sembilan Diserahkan Hari Ini

Sorotan

1

Hanya Belajar Di Media Sosial, Anak Kampung Kini Hasilkan 6,000 Ikan Angelfish

2

Bekas Timbalan Speaker DUN Kedah Ditemukan Lemas Di Sungai

3

Sesat 14 Hari, Jaslinda Kongsi Pengalaman Getir Bertahan Untuk Hidup

4

MPL MY: Team Vamos Mara Ke Grand Final, Tempah Tiket Ke MSC

5

‘PRN Johor Bukan Keutamaan Saya, Pemulihan Ekonomi Masih Fokus Kerajaan Persekutuan’ – Anwar

6

Nahas 2 Kenderaan, Kanak-Kanak 9 Tahun Maut Kereta Dipandu Ibu Bertembung 

Disyorkan untuk anda

Semasa 19 jam yang lalu

Hanya Belajar Di Media Sosial, Anak Kampung Kini Hasilkan 6,000 Ikan Angelfish

Luar Negara 1 hari yang lalu

UNIFIL Kecam Serangan Ragut Nyawa Anggota Tentera Lubnan

Semasa 1 hari yang lalu

Hilang Hampir Seminggu, Lelaki OKU Ditemukan Maut

Semasa 1 hari yang lalu

2 Kertas Siasatan Libatkan Azam Baki Diserah Kepada AGC

oleh Sophia Ahmad