web statsweb stats

Berita Terkini

9 jam yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 9 jam yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


PAS Sempitkan Istilah Islam, Label Pelbagai Gelaran Kepada Ahli Keluar Parti?

Politik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jun 2023 1:31PM

Istilah agama seperti ‘perjuangan islam’, ‘istiqamah’, ‘dakwah’, ‘jihad’ dan ‘jamaah Islam’ sudah disempitkan makna dengan merujuk kepada organisasi tertentu sahaja - Gambar Hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Beberapa pihak berkepentingan dalam PAS, khususnya penggiat politik parti itu didakwa sedang menyempit dan menyelewengkan istilah Islam.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa, hakikatnya Islam adalah milik semua yang mengucap syahadah dan perjuangan agama itu menjadi hak setiap muslim.

Katanya, istilah agama seperti ‘perjuangan islam’, ‘istiqamah’, ‘dakwah’, ‘jihad’ dan ‘jamaah Islam’ sudah disempitkan makna dengan merujuk kepada organisasi tertentu sahaja.

“Di Malaysia, sesiapa yang berhenti daripada organisasi PAS, dilabel sebagai ‘meninggalkan perjuangan Islam’ kerana perjuangan itu diyakini hanya milik PAS.

“Sedangkan hakikatnya perjuangan Islam itu milik semua muslim yang bersyahadah dan membawa obor dakwah agama, di mana sahaja mereka berada dan dalam organisasi politik mana mereka anggotai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, ahli parti meninggalkan PAS juga dilabel sebagai ‘tidak istiqamah’, lalu dibaca ayat Al-Quran dan Al-Hadis mengenai arahan istiqamah dengan Islam.

Katanya, sedangkan hakikat istiqamah itu adalah dengan Islam berpegang kepada aqidah, syariat dan akhlaknya.

Justeru, tegasnya, meninggalkan PAS bererti tidak istiqamah dengan parti itu, bukannya menyebabkan individu tidak Istiqamah dengan Islam.

“Dan boleh pula istiqamah dengan organisasi kebajikan dan dakwah lain tapi yang penting ialah mesti istiqamah dengan Islam.

“Orang yang meninggalkan PAS juga dilabel dalam tamrin, usrah dan ijtima tarbawi PAS sebagai ‘gugur daripada medan dakwah’, lalu dibaca teks tulisan pelbagai tokoh gerakan Islam. Hakikatnya medan dakwah itu luas bukan terhenti menjadi milik PAS sahaja,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, PAS boleh mendakwa organisasinya memperjuangkan Islam dan menyeru ahli istiqamah bersama, tetapi menyempitkan semua istilah perjuangan Islam, istiqamah, dakwah serta seumpamanya dalam kalangan mereka sahaja adalah penyelewengan kepada istlah Islam.

Tegasnya, kesan perbuatan menyempit dan menyelewengkan istilah Islam itu sangat besar, iaitu melahirkan taksub dalam diri anggota parti, lalu melihat orang berbeza pendirian parti serta berlainan organisasi sebagai ‘musuh perjuangan islam’, selain menganggap pendakwah yang gugur daripada dakwah Islam, sekali gus perbuatan terbabit mampu mencarik perpaduan umat.

Pada masa sama, beliau berkata, penyelewengan istilah itu bermula daripada orang berpendidikan agama yang mengetuai parti berkenaan.

Menurutnya, ia menyaksikan hadis dibaca sebebasnya seperti Hadis Jamaah Muslimin, lalu diselewengkan maknanya dengan mengatakan ia merujuk hanya kepada PAS.

“Lalu pecahlah kesatuan Jamaah Muslimin yang merangkumi semua umat Islam dalam sebuah negara, dengan sebab penyelewengan maksud ini,” katanya.

Jelasnya, sebagai contoh adalah Hadis Riwayat Syaukani yang diberi tafsiran menyeleweng oleh ustaz dalam PAS;

“Tangan Allah bersama Jamaah. Dan sesiapa yang bersendirian maka dia bersendirian dalam neraka,” (Hadis riwayat Syaukani)

Jamaah dalam hadis ini kemudian dirujuk parti itu sebagai PAS. Tangan Allah bersama Jamaah PAS! Itu huraiannya yang disebut dalam usrah dan tamrin. Maka mereka mendakwa sesiapa yang meninggalkan Jamaah PAS, dia ahli neraka.

Bagaimanapun, sebenarnya, mereka meninggalkan rangkap awal hadis ini dalam riwayat Tirmizi sahih yang menyebut, ‘Sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan umatku atau baginda menyebut umat Muhammad atas kesesasatan. Tangan Allah bersama Jamaah. Dan sesiapa yang bersendirian maka bersendirian dalam neraka”

Ungkapan awal ini sendiri, mentafsirkan maksud Jamaah dalam hadis, iaitu merujuk kepada umat Islam.

Hadis ini bermaksud umat Islam sentiasa terpelihara daripada kesesatan kerana mereka tidak mungkin berpakat dan berijma’ atas kesesatan.

Kebersamaan adalah bersama jamaah umat Islam dan sesiapa bersendirian meninggalkannya dalam sesebuah negara, maka mereka akan bersendirian dalam neraka Allah kerana dalam jamaah umat Islam itu, akan sentiasa ada alim ulama yang benar mendidik umah untuk beramal dengan Islam sebenar.

Maka hadis itu, menyeru semua umat Islam sentiasa menggabungkan diri dan bersama umat Islam, bukan bersama kelompok kecil umat Islam yang menyeru kepada perpecahan umat Islam dengan tafsiran menyeleweng.

Selain itu, Mohd Khairuddin berkata, tafsiran menyeleweng terhadap hadis inilah menjadi punca seorang Ketua Pemuda PAS digelar Ustaz di Kedah ketika berceramah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menyebut siapa tidak menyokong PAS, individu terbabit akan masuk ke neraka.

“Ucapan Ketua Pemuda PAS itu ditegur secara terbuka segelintir pimpinan PAS, seperti Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Nasrudin Hassan Tantawi, tetapi pemikiran itu sebenarnya berada dalam hati serta keyakinan ahli PAS yang mengikuti usrah,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS itu berkata, pemikiran terbabit ditanam lama, termasuk dalam kalangan ustaz yang belajar di Mesir dan Jordan yang mengikuti tarbiyah organisasi PAS ketika belajar.

Ustaz itu, katanya, apabila pulang ke Malaysia dan menjadi guru agama di sekolah kerajaan dan pensyarah pengajian Islam di universiti, tetap kekal berpendirian sama mencanggahi tafsiran sebenar dinyatakan ulama menerusi kitab muktabar rujukan Islam.

Ilmuwan terbabit, katanya, bagaimanapun boleh mengekalkan tafsiran menyeleweng itu atau mendiamkan diri atas penyelewengan kerana dikaburi penggabungan diri mereka sebagai ahli PAS.

“Ustaz ini meskipun tidak aktif dengan organisasi PAS, tetapi berkongsi pemikiran ini, lalu memutuskan hubungan persaudaraan dengan sahabat mereka yang meninggalkan PAS. Secara terbuka mereka menyebut ‘ukhuwwah kami hanya apabila anta dalam PAS bukan bila anta sudah meninggalkan PAS’.

“Bayangkan jika ustaz keluaran Jordan yang menjadi guru agama di sekolah dan pensyarah di universiti berfikiran sebegitu, bagaimana pula anak-anak murid mereka serta ahli parti yang tidak mendalami Islam?” soalnya.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang itu berkata, beliau menyedari dakwaan dibuatnya ini, pasti pahit untuk ditelan pemimpin atau ‘ustaz’ PAS, termasuk mereka yang mengikuti pengajian bersamanya di Jordan.

“Dan pastinya ia akan melahirkan respons berbentuk kecaman termasuk makian tapi bukannya respons ilmu dan akademik.

“Namun, kita semua bertanggungjawab terhadap ilmu dan terhadap Islam. Betulkan tafsiran menyeleweng ini kerana ia adalah kemungkaran yang mesti ditegas dan dicegah,” katanya. – Getaran, 18 Jun 2023

Berita Berkaitan

1

Politik 1 tahun yang lalu

Pengundi Sungai Bakap Belum Pasti Mahu Undi Parti Mana

2

Semasa 2 tahun yang lalu

Pesta Songkran: ‘Dulu Haram, Sekarang Halal Pulak?’ - Netizen

3

Politik 2 tahun yang lalu

PAS Harus Terima Kenyataan, Pembatalan 16 Peruntukan EJSK Bukti Kelemahan DUN Kelantan

4

Politik 2 tahun yang lalu

AMANAH Perlu Pendekatan Baharu Bagi Tangani Strategi PAS

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 7 jam yang lalu

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 3 jam yang lalu

‘Pelarian Rohingya, Patuhi Undang-Undang Atau Berdepan Tindakan’ - PM 

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 jam yang lalu

Selangor Terus Perangi Penempatan Haram, Struktur Tanpa Kelulusan Akan Diroboh

oleh Amirah Abu Bakar