KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menempelak tindakan PAS Selangor yang mendakwa pemberian bubur lambuk percuma diagihkan parti itu adalah bagi meringankan beban sara hidup penduduk, memandangkan rakyat di negeri berkenaan semakin terhimpit.
Menurutnya, beberapa usaha mengurangkan kesusahan rakyat sememangnya dilaksanakan pemimpin DAP, termasuk pengagihan bubur lambuk sempena Ramadan, namun ia tidak dihebahkan.
Beliau berkata, PAS Selangor harus ingat bahawa bukan segala bantuan atau inisiatif dilaksanakan sebagai wakil rakyat dan parti politik bagi meringankan beban penduduk, perlu dikongsi atau dijadikan kandungan di media sosial.
“Disebabkan PAS Selangor provoke, saya jawab.
“PAS bagi 400 pek bubur lambuk. Silakan. Bagus. Tapi tak payah claim (tuntut) untuk kurangkan kos sara hidup.
“YB Hee, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kajang, bagi 1,000 pek bubur lambuk dekat satu bazar Ramadan. Saya tak nampak dia buat konten claim untuk ringankan kos sara hidup,” ciapnya menerusi Twitter hari ini.
Since PAS Selangor provok - saya jawab
— Syahredzan Johan (@syahredzan) April 16, 2023
PAS bagi 400 pek bubur lambuk. Silakan. Bagus. Tapi tak payah claim utk kurangkan kos sara hidup.
YB Hee, ADUN Kajang, bagi 1,000 pek bubur lambuk dekat 1 bazar Ramadan.
Saya tak nampak dia buat konten claim utk ringankan kos sara hidup https://t.co/lPqAEkzvxV pic.twitter.com/YWVyPzX6g4
Terdahulu, akaun Twitter PAS Selangor memuat naik video berdurasi 59 saat menerusi Twitter memaparkan, parti itu sedang membuat persediaan memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk sekitar.
“PAS terus komited berkhidmat untuk rakyat bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit di Selangor.
“YB diam tanda setuju,” menurut keterangan di status video itu.
YB diam, tanda setuju.
— PAS Selangor (@PASelangor) April 16, 2023
Jom klik bebenang ini;https://t.co/vorUbYPuuf
Syahredzan berkata, semua parti politik mainstream (utama) mengagihkan bubur lambuk dan ia adalah tradisi setiap kali Ramadan.
Aktiviti pemberian bubur lambuk, katanya, adalah amalan yang dimulakan masjid dan surau di seluruh negara.
Justeru, katanya, PAS Selangor tidak sepatutnya menggunakan perkara itu sebagai konten, terutama bagi tujuan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen mempertikaikan sikap ditunjukkan PAS Selangor yang dianggap seolah-olah ‘tidak matang’ dan cuba meraih populariti.
“Bagi bubur lambuk satu, claim ‘mengurangkan tekanan kos sara hidup’. Nak sedekah, biar ikhlas,” ciap @azrul.
“Baca. Tak payah nak provok semua, acah paling bagus bagi bubur lambuk. Kalau perbuatan ikhlas, tidak perlu menunjuk-nunjuk. Buat dengan hati suci dan bersih dengan niat yang bagus,” kata @lotus.
“Setiap hari beribu-ribu peket bubur lambuk diberikan secara percuma oleh masjid di Kg Baru. Tak ada pula AJK (Ahli Jawatankuasa) masjid flex mereka kurangkan kos sara hidup,” tulis @roman.
“Selangor ni punya lah banyak program jelajah Ehsan dah dua tahun. Tiba PAS PN (Perikatan Nasional) datang, baru nak bagi sumbangan… kata dapat kurangkan kos sara hidup,” komen seorang pengguna. – Getaran, 16 April 2023

