KUALA LUMPUR - Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang gagal dalam misinya untuk kembali menerajui Ketua Wanita UMNO pada pemilihan sayap itu baru-baru ini, dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan senarai penuh nama barisan kepimpinan baharu parti terbabit pada sidang media di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut mengumumkan bahawa Shahrizat diberi mandat sebagai Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO.
Semasa pemilihan UMNO baru-baru ini, Shahrizat tewas kepada penyandang jawatan itu, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam perebutan kerusi Ketua Wanita bagi sesi 2023-2026, dengan hanya memperoleh 77 undi daripada 189 bahagian.
Kekalahannya bermakna beliau gagal menduduki semula jawatan itu yang disandangnya selama kira-kira sembilan tahun, iaitu dari 2009 hingga 2018.
Mantan anggota Kabinet itu kemudian berundur daripada politik, sebelum membuat pengumuman mengejut untuk aktif semula menjelang pemilihan parti.
Dalam sidang medianya susulan mesyuarat pertama MKT UMNO baharu, Ahmad Zahid turut mengumumkan mantan Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agung parti itu, menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang gagal dalam menduduki satu daripada tiga kerusi Naib Presiden UMNO, dilantik sebagai Ketua Penerangan parti itu.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula dikekalkan sebagai Bendahari Agung.
Ahmad Zahid juga mengumumkan Timbalan Ketua UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua Bahagian Dinasti Progresif, Datuk Seri Mohamed Shafei Abdullah dan mantan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Jailani Johari sebagai antara ahli MKT yang dilantik.
Secara berasingan, Ahmad Zahid turut mendedahkan senarai ketua perhubungan negeri bagi sesi kepimpinan baharu.
Datuk Rozabil Abdul Rahman (Perlis)
Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah)
Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Kelantan)
Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu)
Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang)
Datuk Seri Saarani Mohamad (Perak)
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang)
Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Selangor)
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Wilayah Persekutuan)
Datuk Seri Jalaluddin Alias (Negri Sembilan)
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Melaka)
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Johor)
Datuk Seri Bung Moktar Radin (Sabah) – The Vibes, 22 Mac 2023