web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


PRU-15: Manfaatkan Peluang Ubah Landskap Politik Negara

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Nov 2022 8:31AM

Setiap undi sangat berharga, lebih-lebih lagi pada PRU kali ini yang menyaksikan persaingan sengit dengan kehadiran begitu banyak gabungan politik. - Gambar oleh Syeda Imran

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Perbualan dengan seorang rakan sekerja baru-baru ini membongkar “rahsianya” yang tidak pernah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi.

Berumur 48 tahun, ini bermakna wanita bernama Suriati ini sudah “terlepas” enam pilihan raya umum (PRU) sejak 1995 jika diambil kira usia layak mendaftar sebagai pemilih sebelum ini, iaitu 21 tahun.

Alasannya yang gagal mendaftarkan diri sebagai pengundi ketika berusia 21 tahun ialah leceh. Malah, ibu kepada tiga anak ini juga menganggap proses pilihan raya tidak begitu penting. 

“Ketika itu saya fikir kalau saya pergi mengundi pun tidak ada apa yang berubah,” kongsinya dengan penulis.

Bagaimanapun, pendirian Suriati kini berubah 180 darjah. Dia tidak sabar untuk mengundi buat pertama kali esok, selepas didaftarkan secara automatik - hasil pindaaan undang-undang yang dikuatkuasakan pada Disember tahun lepas. 

“… saya sudah bersedia nak mengundi. Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya pilih siapa yang akan memerintah… kalau dulu saya terima dan berserah sahaja (siapa yang akan memerintah) sekarang tidak lagi," katanya yang akan mengundi di kawasan Parlimen Bangi.

 

PENTINGNYA SATU UNDI

Suriati adalah antara 21.17 juta rakyat Malaysia yang akan memilih pada PRU-15 ini, dengan lima juta orang merupakan pengundi kali pertama berdasarkan Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Angka pemilih meningkat sekali ganda berbanding 11 juta individu yang layak mengundi pada PRU-14 susulan penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.  

Walaupun ramai pemerhati berpandangan ketidaktentuan politik yang membelenggu negara sejak empat tahun lepas akan menjadi pendorong rakyat keluar mengundi esok, Dr G. Manimaran berpendapat senario sama juga berpotensi menyebabkan seseorang tidak mahu mengundi. 

Dr G. Manimaran berkata tempoh empat lepas wajar dijadikan iktibar yang mematangkan rakyat dalam memilih calon terbaik untuk mengemudi negara bagi penggal lima tahun akan datang - Gambar Fail
Dr G. Manimaran berkata tempoh empat lepas wajar dijadikan iktibar yang mematangkan rakyat dalam memilih calon terbaik untuk mengemudi negara bagi penggal lima tahun akan datang - Gambar Fail

"Faktor empat tahun lepas adalah tempoh lesu iaitu satu situasi orang putus harapan dengan apa yang berlaku. Rakyat sudah mengundi, namun kerajaan berubah beberapa kali. Ibarat kemelut politik ini tiada kesudahan dan ia tidak membawa manfaat dan harapan kepada pengundi," katanya kepada Bernama.

Biarpun begitu, Manimaran berkata tempoh empat tahun tersebut wajar dijadikan iktibar yang mematangkan rakyat dalam memilih calon terbaik untuk mengemudi negara bagi penggal lima tahun akan datang.

"Jangan kecewa, kita kena keluar mengundi. Jadikan kekecewaan ini sebagai satu pengajaran dan sebahagian daripada proses demokrasi yang lebih matang. Rakyat kena proaktif dalam memilih kerajaan," katanya.

Tegas beliau, setiap undi adalah sangat berharga, lebih-lebih lagi pada PRU kali ini yang menyaksikan persaingan sengit dengan kehadiran begitu banyak gabungan politik serta calon Bebas bertanding di setiap kawasan.

Dr G. Manimaran menegaskan bahawa setiap undi adalah sangat berharga, lebih-lebih lagi pada PRU kali ini yang menyaksikan persaingan sengit dengan kehadiran begitu banyak gabungan politik serta calon Bebas bertanding di setiap kawasan - Gambar Fail
Dr G. Manimaran menegaskan bahawa setiap undi adalah sangat berharga, lebih-lebih lagi pada PRU kali ini yang menyaksikan persaingan sengit dengan kehadiran begitu banyak gabungan politik serta calon Bebas bertanding di setiap kawasan - Gambar Fail

"Kira-kira RM1.01 bilion kita belanjakan untuk pilihan raya kali ini. Kalau dibahagikan dengan 21 juta pengundi, ini bermaksud setiap seorang membelanjakan RM48, jadi jangan kita bazirkan RM48 ini.

"Kalau kita buat undi rosak, ia akan merugikan proses demokrasi, jadi kita kena pilih parti yang ada. Kita kena bagi suara kepada parti yang kita pilih untuk tadbir urus dengan baik. Kalau kita bazir undi bermakna kita bazirkan makanan kita," tegasnya.

 

TARIK PENGUNDI ATAS PAGAR 

Tidak menolak kemungkinan ramai pengundi atas pagar tidak akan keluar mengundi, Manimaran berpendapat manifesto yang jelas serta pendekatan yang diguna oleh parti bertanding dalam mendekati masyarakat, mampu menarik sekurang-kurangnya 40 peratus daripada pengundi.

Pandangan senada turut disuarakan penganalisis keselamatan dan politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang membahagikan pengundi atas pagar kepada tiga kelompok.

Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat segelintir pengundi atas pagar juga akan cenderung memangkah calon berdasarkan ‘poster boy’ atau calon perdana menteri yang diuar-uarkan oleh parti bertanding, manakala pengundi muda akan melihat kepada calon muka baharu yang popular - Gambar Fail
Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat segelintir pengundi atas pagar juga akan cenderung memangkah calon berdasarkan ‘poster boy’ atau calon perdana menteri yang diuar-uarkan oleh parti bertanding, manakala pengundi muda akan melihat kepada calon muka baharu yang popular - Gambar Fail

Menurut beliau, kelompok pertama merupakan mereka yang lebih berpengalaman dan pernah mengundi. 

Mereka ini katanya akan kekal pasif dengan tidak keluar mengundi.

Kelompok kedua pula akan keluar mengundi namun membuat penilaian berdasarkan manifesto serta prestasi tiga kerajaan yang mentadbir sepanjang empat tahun lepas.

"Satu lagi golongan pengundi atas pagar adalah mereka yang ingin melihat kekuatan dominasi parti tertentu memimpin negara. Contohnya mereka yang masih mahukan dominasi politik Islam menjadi antara teras utama dalam kepimpinan negara akan cenderung memilih parti yang boleh berbuat demikian,” jelasnya.

Menurut beliau, segelintir pengundi atas pagar juga akan cenderung memangkah calon berdasarkan ‘poster boy’ atau calon perdana menteri yang diuar-uarkan oleh parti bertanding, manakala pengundi muda akan melihat kepada calon muka baharu yang popular. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Singapura 1 tahun yang lalu

Singapura Bubar Parlimen Menjelang Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon 23 April

2

Semasa 1 tahun yang lalu

Diskaun Tol 50 Peratus Sempena Aidilfitri

3

Politik 1 tahun yang lalu

PRK Nenggiri: Pengundian Tamat 6 Petang, Penjumlahan Undi Bermula

4

Semasa 1 tahun yang lalu

‘Tidak Benar Kerajaan Abai Kaum India’ - PM

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 14 jam yang lalu

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

oleh Sophia Ahmad

Semasa 9 jam yang lalu

Tunku Zain Al-’Abidin Diisytihar Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

oleh Sophia Ahmad

Semasa 8 jam yang lalu

Polis Sahkan Tiada Unsur Buli Dalam Kes Pelajar Terjatuh Dari Bangunan Sekolah

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 1 hari yang lalu

Tragedi Simpang Renggam: Suspek Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

oleh Sophia Ahmad