Berita Terkini

2 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 3 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 4 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Najib Calon Parlimen Pekan? Pertembungan Sengit ‘Kerusi Panas’ Pantai Timur

Politik Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 Oct 2022 9:44PM

Najib Razak - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Teka-teki tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudahpun terjawab semalam

Namun sehingga hari ini, tiada mana-mana parti mengumumkan senarai penuh calon yang akan bertanding di 222 kerusi Parlimen dan 76 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu 42 kerusi di Pahang, 15 (Perlis) manakala 59 (Perak).

Hanya Pahang, Perak dan Perlis yang akan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan peringkat Parlimen, berikutan pembubaran DUN masing-masing.

Baki negeri diterajui Pakatan Harapan (PH), iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta di bawah pentadbiran PAS, iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN, justeru tiada pilihan raya peringkat berkenaan diadakan.

Susulan itu, Getaran menyenaraikan beberapa kerusi panas di zon Pantai Timur yang bakal menjadi rebutan parti politik pada kali ini.

Kuala Nerus (Terengganu)

Kerusi ini dimenangi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 8,447 undi.

Beliau menundukkan pencabarnya, pakar motivasi terkenal negara, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) dan juga calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Abdullah Mohamed.

Pada PRU-15, Mohd Khairuddin yang membuat keputusan meninggalkan PAS Mac lalu mengumumkan akan mempertahankan kerusi tersebut atas tiket Bebas.

Difahamkan, PAS turut berminat untuk merampas kembali kerusi itu dengan kemungkinan mempertaruhkan calon ‘bidan terjun’ atau dalam kalangan Exco kerajaan negeri berkenaan.

Selain itu, BN juga mengesahkan akan menurunkan calonnya di kerusi tersebut.

Bagaimanapun, Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat memaklumkan, pengumuman senarai calon masih di peringkat proses akhir penilaian itu akan dilakukan beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

Hulu Terengganu (Terengganu)

Asalnya kerusi ini dimenangi BN menerusi calonnya, Datuk Rosol Wahid yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada PRU-14.

Namun beliau mengisytiharkan keluar UMNO pada 2018 dan kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Beliau akan kekal bertanding di kerusi tersebut pada PRU-15.

Pemerhati politik menjangkakan persaingan sengit antara BN dan BERSATU bagi merebut kerusi ini.

Rosol Wahid
Rosol Wahid

Walaupun nama calon bertanding belum dimuktamadkan, Rosol dijangka berdepan saingan sengit apabila BN mungkin mempertaruhkan Rozi yang juga Setiausaha UMNO Terengganu.

Peluang untuk menang adalah sama rata kerana kedua-dua calon umpama dua beradik yang ‘berselisih pendapat hanya disebabkan harta pusaka.’

Kedua-duanya adalah calon anak tempatan yang mempunyai keluarga, sahabat, jiran dan kawan serta pengikut ramai di kawasan Parlimen tersebut.

Hulu Terengganu boleh dianggap kubu kuat BN kerana parti itu hanya tewas kepada calon PAS pada PRU-10 (1999).

Marang (Terengganu)

Kerusi ini dianggap kubu kuat PAS. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berjaya mempertahankan kerusi itu tiga penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008.

Kali ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said memaklumkan, parti itu akan bekerja lebih keras untuk menawan kembali kerusi Parlimen ini.

Katanya, strategi sudah ada tetapi tidak boleh didedahkan dahulu.

Malah beliau berkata, setiap calon yang akan dipertaruhkan sudah ditapis dan mempunyai rekod bersih serta disenangi rakyat setempat.

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

Pakatan Harapan (PH) pula akan menampilkan individu bergelar ustaz dalam lingkungan 40-an di kerusi ini.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, calon tersebut bakal memberi pilihan baharu kepada pengundi di kerusi tradisi Abdul Hadi pada PRU-15.

Katanya, calon itu boleh memberi impak terhadap undi parti lawan, sama ada BN mahupun PAS.

Jeli (Kelantan)

Pada PRU-15, UMNO mahu merampas kembali kerusi Parlimen Jeli yang merupakan kerusi tradisi, selain kubu kuat BN di Kelantan.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed adalah Ahli Parlimen BN yang menyertai BERSATU selepas PRU-14 lalu.

Pada PRU-14, Mustapa Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) memperoleh undi sebanyak 21,665 dengan majoriti 6,647 undian, menewaskan calon PAS, Mohamad Hamid dan PH, Azran Deraman.

Bagaimanapun, sama ada beliau akan dikekalkan untuk mempertahankan kerusi itu masih lagi menjadi teka-teki.

Sementara itu, PH turut memaklumkan akan bertanding di 14 kerusi Parlimen di Kelantan, termasuk Jeli bagi menentang BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU kali ini.

Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Hussin berkata, pucuk pimpinan parti sudah memuktamadkan agihan kerusi calon dalam gabungan itu dan akan mengumumkan perkara berkenaan tidak lama lagi.

Mengenai potensi PH di Kelantan pada PRU-15, katanya, peluang kali ini dilihat lebih cerah berbanding PRU lalu.

Kota Bharu (Kelantan)

Kerusi ini berjaya dipertahankan calon PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selama dua penggal sejak PRU-13 pada 2013.

Beliau turut mengakui sedia mempertahankan kerusi tersebut sekiranya dicalonkan semula parti.

Ketika ini PAS masih belum memuktamadkan senarai calon untuk PRU-15.

 Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

Dalam pada itu, BERJASA turut berminat untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu dengan menurunkan calon boleh menang.

Timbalan Presiden BERJASA, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, parti itu akan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pada PRU-15.

Pada masa sama, sumber PH Kelantan memaklumkan kerusi ini diberikan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH). Ini bermakna, jika Takiyuddin kekal bertanding, beliau akan berdepan saingan empat penjuru.

Tanah Merah (Kelantan)

Kerusi ini merupakan kubu kuat BN di Kelantan. Ia berjaya dipertahankan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz atas tiket BN selama dua penggal.

Namun, beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan meninggalkan UMNO pada Disember 2018 dan menyertai BERSATU.

 Ikmal Hisham Abdul Aziz
Ikmal Hisham Abdul Aziz

Sumber BERSATU memaklumkan, mereka sudah selesai berbincang agihan kerusi di Kelantan.

Katanya, hasil perbincangan itu memutuskan untuk mengekalkan kerusi masing-masing yang dimenangi kedua-dua parti berkenaan pada PRU sebelum ini.

Namun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berkata, UMNO masih optimis untuk merampas kembali kerusi Parlimen ini.

Katanya, Ikhmal Hisham tiada lagi aura sebagai tokoh pemimpin di kerusi tersebut.

Ikmal Hisham menang dengan majoriti 2,929 undi menewaskan calon PAS, Johari Mat dan PH, Mohamad Fauzi Zakaria pada PRU-14.

Indera Mahkota (Pahang)

Umum mengetahui kerusi ini merupakan kubu kuat PKR, malah ia kekal milik parti itu selama tiga penggal.

Pada PRU-14, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memenangi kerusi tersebut atas tiket PKR, sebelum keluar parti itu dan menyertai BERSATU selepas ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.

Kali ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu bersedia mempertahankan kerusi tersebut sekiranya diminta pimpinan tertinggi parti.

Namun, PKR memberi isyarat kerusi itu akan dirampas semula daripada Saifuddin.

Sumber PKR berkata, pengkhianatan Saifuddin meninggalkan kesan kepada pengundi di kawasan tersebut sehingga hari ini.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

Untuk rekod, Saifuddin sebelum ini adalah ahli UMNO dan pernah memenangi kerusi Parlimen Temerloh sebelum menyertai PKR.

Sementara itu, Gerakan Tanah Air (GTA) turut akan menurunkan calon di kerusi tersebut yang mempunyai 67 peratus pengundi Melayu.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, GTA masih dalam peringkat rundingan berkaitan calon bersesuaian bagi kerusi tersebut, termasuk Parlimen Bentong.

Bentong (Pahang)

Parlimen Bentong sebelum ini adalah kubu kuat MCA. Namun kerusi ini berjaya dirampas DAP pada PRU-14 yang lalu.

Calon DAP, Wong Tack menewaskan Tan Sri Liow Tiong Lai dengan majoriti 2,032 undi.

Kali ini, MCA menyokong penuh pencalonan Tiong Lai untuk merampas kembali kerusi itu pada PRU-15.

Liow Tiong Lai - Gambar dari Facebook
Liow Tiong Lai - Gambar dari Facebook

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, keputusan untuk menyokong semula Tiong Lai dibuat sejak setahun setengah yang lalu memandangkan beliau calon paling layak untuk kerusi tersebut.

Tiong Lai yang juga mantan Menteri Kesihatan pernah menyandang kerusi tersebut selama empat penggal sejak 1999 sebelum gagal mempertahankannya pada PRU-14.

DAP pula mengakui Parlimen Bentong akan menjadi ‘kerusi sukar’ untuk parti itu dan calon yang akan bertanding masih di peringkat perbincangan.

Bentong ialah kerusi Parlimen campuran dengan 47 peratus pengundi Melayu dan 42 peratus pengundi Cina.

Kerusi itu mempunyai kira-kira 67,359 pengundi mengikut data pada 2018.

Pastinya Bentong menjadi kawasan yang begitu menarik untuk kita lihat pada hari pengundian 19 November depan.

Pekan (Pahang)

Najib Razak
Najib Razak

Umum mengetahui kerusi ini merupakan simpanan tetap BN. Manakan tidaknya, Parlimen Pekan itu disandang mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 1976.

Beliau adalah penyandang kerusi itu sementara menunggu keputusan permohonannya untuk mendapatkan pengampunan diraja.

Meskipun sedang menjalani hukuman penjara, Najib dinamakan sebagai salah seorang daripada lima calon yang berpotensi bertanding di kerusi tersebut.

Difahamkan UMNO tidak mencalonkan mana-mana anak Najib sebagai calon di kawasan itu.

Bapanya, Abdul Razak Hussein menang di Pekan dan menjadi Ahli Parlimen di situ sehingga kematiannya dan kemudian diambil alih Najib.

Pada PRU-14, Najib berdepan saingan empat penjuru di kerusi tersebut.

Bagaimana pula pada PRU-15, adakah kerusi itu sekali lagi menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru?

Dan adakah Najib akan dibenarkan bertanding dengan statusnya sebagai banduan ketika ini?

Sudah tentu ia sesuatu yang unik dalam sejarah politik di negara ini. - Getaran, 21 Oktober 2022

Sorotan

1

Mendiang Mutang Dikebumi Isnin

2

Tanah Milik Keluarga Ammar Baharin Yang Dipindah Milik Diratifikasi Semula – Amirudin

3

Laporan Interim Nahas Helikopter TLDM Dikeluarkan Esok – Fahmi

4

Pokok Tumbang: Mangsa Lelaki Dibenar Keluar Hospital, Warga Sweden Masih Dirawat

5

Kecederaan Beberapa Tonggak Utama Resahkan TFC

6

Мahkamah Benar Muhyiddin Dapatkan Pasport Bagi Lawat Kakak Sakit Di Australia

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Malaysia Harus Rebut Peluang Untuk Lakukan Pembaharuan Dalam Penyelidikan Klinikal - PM

Politik 13 jam yang lalu

PH Dijangka Terus Kuasai KKB - Ilham Centre

oleh Ravin Palanisamy

Semasa 2 jam yang lalu

2 Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Pusat Hiburan Dibaling Bom Petrol

Politik 1 hari yang lalu

Pengundi India Tetap Akan Sokong PH Walaupun Kecewa - Sivarraajh

oleh Diyana Nawwar