Berita Terkini

16 minit yang lalu: Pembukaan Jambatan Bagan Datuk tarik minat pelabur - Ahmad Zahid 35 minit yang lalu: Kastam tumpas sindiket penyeludupan, rampas rokok RM1.5 juta 41 minit yang lalu: KPT perlu rangka pelan pembangunan bakat, pembinaan kapasiti untuk tingkat kecekapan - Khaled 1 jam yang lalu: Pasukan Petugas Khas diwujudkan bagi cari penyelesaian isu air di Kelantan dan Sabah - PM 1 jam yang lalu: Budak 3 tahun maut ditikam di Sydney

IKUTI KAMI


PAU 2020, Masa Untuk UMNO Bukti Kemampuan Diri

Politik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Mar 2021 9:38AM

PAU akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini di PWTC. - Gambar fail AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Satu ketika dahulu, kibaran Sang Saka Bangsa akan terpampang megah di seluruh negara ketika menjelang detik Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Jajaran laluan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan dihiasi dengan bendera rasmi parti keramat Melayu itu, malah sebahagian besar ibu kota juga akan berlatarkan senario sama.

Ketika itu, PAU menjadi acara yang amat ditunggu, sama ada sebagai medan pertemuan kembali (reunion) bersama rakan dari berlainan negeri, atau untuk media, peluang beramah mesra dan mengukuhkan jalinan kerjasama bersama barisan pimpinan parti.

Kekalahan Barisan Nasional (BN) di tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14) sedikit sebanyak menenggelamkan aura dan pesona yang dibawa UMNO selama ini, apatah lagi dengan kes mahkamah yang dihadapi beberapa pemimpin tertinggi parti.

Demi memastikan mereka kekal relevan, parti berkenaan dilihat mengambil beberapa langkah drastik, termasuk kembali berbaiah bersama seteru tradisi mereka, PAS di bawah panji Muafakat Nasional.

Agendanya cuma satu, bersama menggembleng tenaga bagi merampas kembali kuasa dari tangan PH.

Usai peralihan kuasa (segelintir menyifatkannya sebagai kudeta) antara PH ke Perikatan Nasional (PN), negara menyaksikan bagaimana pendekatan dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berhasil membawa UMNO ke dalam jalinan kerjasama PN.

Ia dibuktikan menerusi lantikan beberapa pucuk pimpinan parti untuk memegang beberapa portfolio kanan, antaranya Kementerian Luar yang diterajui Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hari ini dan esok, PAU 2020 akan diadakan dan berbeza dengan tahun sebelum, ia dijangka memberi lebih banyak kejutan, berikutan ia dilihat ramai sebagai detik paling kritikal parti berusia 75 tahun itu.

Mutakhir ini sebenarnya sudah banyak ‘cakap-cakap’ belakang timbul, berhubung simbiosis UMNO bersama BERSATU di bawah panji PN.

Ia ternyata tidak selancar diharapkan, dan ulah BERSATU disebut sebagai faktor utama yang memungkinkan kerjasama berkenaan seolah gagal mencapai objektif sebenar.

Walau bernaung di bawah bendera BERSATU, ramai tidak menafikan aura UMNO sebenarnya masih tebal pada diri Muhyiddin dan ia bukan sesuatu yang menghairankan kerana perjalanan beliau dalam politik bertitik tolak daripada pembabitan Ahli Parlimen Pagoh itu di dalam UMNO.

Sedikit sebanyak, corak pentadbiran diterapkan Perdana Menteri Kelapan itu banyak berlandaskan kepada ‘didikan’ diterimanya dari UMNO selama ini, walaupun percaturan politik menyaksikan akhirnya beliau terbuang daripada parti tertua negara itu.

Mungkin kerana ‘dendam’ masih bersisa, atau boleh jadi ‘amarah’ yang tersimpan masih belum sirna, Muhyiddin sama ada sedar atau tidak, bertindak menghakis kepercayaan diberikan UMNO sebaik Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai dilaksanakan.

Jawatan Ketua Menteri yang pada awalnya disebut-sebut bakal menjadi milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin lenyap dibawa angin lalu, dan berpindah ke tangan ADUN Sulaman, Hajiji Mohd Noor, selaku Pengerusi PN Sabah.

Meski tidak dizahirkan secara nyata, pelantikan berkenaan dalam diam mencambah bara kemarahan di dada UMNO dan hasilnya, mereka mengukir persepakatan bersama musuh tradisi, DAP untuk menyingirkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faisal Azumu.

Tindakan itu membawa keputusan seri 1-1, apatah lagi dengan pelantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad sebagai pengganti.

Persengketaan keduanya seakan tidak boleh disorok lagi apabila pada 4 Mac lalu, Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan BERSATU pada PRU15 nanti.

Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata, kata sepakat berhubung perkara itu dicapai pada mesyuarat MKT di Janda Baik, 19 Februari lalu.

Katanya, kehadiran UMNO di dalam PN bagaimanapun boleh diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Terbaru, 12 daripada 14 bahagian UMNO Kelantan sepakat memutuskan hubungan bersama BERSATU, menerusi konsensus yang dicapai ketika mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri pada 23 Mac lalu.

Mereka turut memberi kata dua kepada PAS untuk membuat keputusan segera dan memilih satu antara dua, sama ada kekal bersama UMNO atau BERSATU dalam PRU15 nanti.

Setiausaha UMNO Kelantan, Akbar Salim dilaporkan berkata mereka turut sepakat menyokong Zahid sebagai Presiden parti.

Bercakap mengenai penerimaan rakyat pula, rasanya seisi negara dapat melihat bagaimana kebencian terhadap UMNO dan BN begitu menebal menjelang PRU14, malah ia adalah faktor utama yang membawa kepada kejatuhan mereka setelah mengepalai tampuk pentadbiran negara selama 69 tahun.

Kesombongan, keangkuhan dan keegoan pucuk pimpinan nyata memberi padah, apabila segenap lapisan masyarakat bangun membantah, meski sebelum itu mereka disogokkan dengan pelbagai janji manis.

Kes mahkamah membabitkan beberapa pemimpin utama UMNO juga menambah kemarahan mereka, termasuk dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan wang ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Oh, jangan dilupa skandal Yayasan Akal Budi melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi yang keputusannya masih dinantikan jutaan rakyat.

Fenomena itu nampaknya sudah berubah dan UMNO tidak lagi mendominasi kebencian rakyat.

Dalam satu tinjauan rambang di Twitter, takhta parti paling dibenci ternyata diungguli BERSATU, dan ia dipercayai disumbangkan oleh kelemahan Muhyiddin dalam menggalas tugas sebagai Perdana Menteri.

Perkembangan ini jelas berita baik buat UMNO, selepas cedera begitu parah apabila tewas di gelanggang pertarungan PRU14 dan ini adalah masa untuk membuktikan, mereka masih relevan sebagai parti yang memperjuangkan hala tuju bangsa Melayu.

Bersatu, Bersetia, Berkhidmat perlu direalisasikan, bukan sekadar satu retorik yang berperanan sebagai slogan semata-mata.

Dengan rentak dan tari yang dimainkan tepat mengikut lagu, UMNO perlu bijak menyusun gerak, biar tidak sumbang serta canggung di mata ramai.

Pedulikan politik kotor dan tikam belakang, rakyat sudah bosan dengan semua itu kerana ia bukan sahaja taktik lapuk serta memualkan, malah jelas tidak bermaruah.

Jika UMNO mahu kekal di persada politik negara, ini masanya untuk bangkit, biar keris yang dihunus itu menjadi simbolik senjata dalam menawan semula hati rakyat.

“Bersatu, kita bersatu, dengan setia berganding bahu,

Jiwa teguh berpadu, kita rumpun Melayu

Bersama kita bersama, menjunjung hasrat semua

Berjasa pada bangsa, agama dan negara.

Lambang kita yang gagah, dipandang mulia dan indah,

Bersatu, Bersetia, Berkhidmat cogan katanya

UMNO terus mara, untuk rakyat Malaysia”.

Apakah UMNO mampu mara selepas ini, mari kita saksikan bersama. – Getaran, 27 Mac 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 hari yang lalu

Sekretariat Diraja Perlu Ditubuh Demi Menjamin Kestabilan Politik, Ekonomi

2

Politik 4 hari yang lalu

Mauduk Kita Orang Parti Perlu Diamal Secara Konsisten - Wan Rosdy

3

Politik 5 hari yang lalu

Tiada Logo UMNO, DAP Dalam Kertas Undi PRN - Ahmad Maslan

4

Politik 5 hari yang lalu

Jelaskan Sebab Utama UMNO Bersama PH, Jika Tidak…

Sorotan

1

Sam Rainsy Sudah Tinggalkan Malaysia – Wisma Putra

2

Bayi Lelaki Dihurung Semut Di Hentian Bas

3

Peruntukan Tinggi Untuk Sabah Dan Sarawak Berdasarkan Keperluan - PM

Disyorkan untuk anda

Semasa 17 jam yang lalu

Mahkamah Tinggi Tolak Saman Fitnah Jason Lo Terhadap Bernama

Semasa 21 jam yang lalu

Kepercayaan, Saling Menghormati Tingkatkan Hubungan Malaysia-China - Pakar

Semasa 18 jam yang lalu

Kematian Kee Kok Thiam Diklasifikasi Mati Mengejut - Polis Selangor

Semasa 1 hari yang lalu

Pilih Bulu, RapidKL ‘Dibelasah’ Benarkan VVIP Guna MRT Tanpa Pelitup Muka

oleh Sophia Ahmad