KUALA LUMPUR - “Sedih kata-kata penghinaan itu dilontarkan seseorang yang sebelum ini menempa nama dalam dunia politik menggunakan dukungan dan sokongan daripada ahli akar umbi Barisan Nasional (BN),” kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan beliau di sebuah program yang mengisytiharkan bahawa sejarah BN sudah berakhir.
“Tidak mengapalah Pengerusi PN mahu menyatakan apa pun kerana pendukung dan penyokong BN yang setia lebih mengenali bahawa perjuangan BN tidak berpenghujung.
“Rakyat juga sudah melihat BN tidak pernah berundur daripada menjaga kepentingan mereka walau pernah dirobek angkara fitnah dan tipu daya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (PRU-14) yang lepas,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pelbagai tohmahan, fitnah, cercaan, kejian, hinaan dan cacian dari pelbagai hala dilemparkan kepada BN.
Bagaimanapun, katanya, tindakan itu tidak pernah mengurangkan keyakinan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi seluruh pendukung dan penyokong Barisan Nasional di seluruh negara.
Jelasnya, sejarah BN seharusnya diyakini tidak akan terhenti dan sentiasa terus membara selagi ada daya serta upaya, ilham dan kudrat.
“Penghinaan Pengerusi PN itu malah akan menguatkan semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
“Seluruh jentera, ahli dan penyokong BN berpadu dengan semangat membara untuk membuktikan kepada PN bahawa sejarah BN belum berakhir,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan akar umbi UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU ternyata adalah langkah tepat.
“Kata-kata Presiden BERSATU itu, sekaligus menyerlahkan sebuah hipokrasi yang mencerminkan nawaitu sebenar BERSATU ke atas BN dan UMNO amnya,” katanya. - Getaran, 13 November 2021
